Wednesday, April 29, 2009

Ustaz Fadhil Dan Perubahan Umat

[artikel ini ditulis oleh DR MAZA hampir sembilan tahun lalu (tahun 2000) dalam Majalah Tamadun semasa beliau masih pelajar di IIUM. Semasa itu al-marhum Dato’ Fadhil Noor masih hidup. Tulisan disiarkan semula sekadar bahan bacaan ‘sejarah’ yang pernah ditulis oleh DR MAZA semasa belum memiliki Ph.D, belum menjadi pensyarah universiti, mufti dan belum dikenali seperti sekarang]

Y.B Dato’ Fadhil Noor terkenal sebagai tokoh yang terbuka dalam menilai keadaan dan suasana. Wataknya ini telah banyak mencetus rentak perubahan berfikir sebahagian mereka yang jumud. Saya menyanggap beliau sebagai tokoh politik pro-Islam yang moderat.

Baru-baru ini saya agak tertarik dengan kenyataan Y.B Dato’ Fadhil Noor, dalam suatu temuramah dengan beliau oleh wakil malaysiakini mengenai penubuhan negara Islam. Kata beliau: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi. Kita perlu mencari strategi bertemu dengan rakyat supaya ia dapat diterima oleh semua pihak”

Mungkin ada sebahagian di kalangan yang kurang faham menganggap Ustaz Fadhil dengan kenyataan ini seolah-olah mula longgar dengan perjuangannya. Namun bagi yang mengkaji nas-nas Islam secara meluas dan mendalam akan menilai kenyataan ini, sebagai suatu kenyataan.yang pengucapnya memahami tabiat Islam. Golongan yang gopoh, yang berkempen negara Islam tanpa ilmu yang masak, seperti yang menghafal sepatah dua ayat dan berceramah tidak mungkin dapat mengucapkan satu unggapan yang begini. Ucapan ini lahir daripada memahami hakikat dan tabiat din yang sebenar.

Kita perlu faham bahawa di dalam agama ada perkara yang sebut sebagai adillah qat`iyyah iaitu dalil-dalil yang putus yang hanya memberi suatu makna jelas yang tidak difahami selain makna tersebut yang ianya juga qat`iyyah al-thubut iaitu yang sampai kepada kita secara mutawatir. Dan ada pula yang disebut sebagai adillah zanniyyah ianya boleh ditafsir lebih dari satu makna dan kepastian tentang ketulenannya juga zan (tidak putus) atau kita katakan tidak sampai ke darjat mutawatir. Bahagian inilah yang mencetuskan khilaf pendapat di kalangan ulamak mujtahidin.
Dalam hukum-hakam dan dalil-dalil syarak kebanyakan adalah zaniyyah dalam ertikata ianya boleh menyebabkan khilaf dalam memahaminya. Inilah yang disebut para penulis Usul al-Fiqh yang klasik mahu yang baru. Kebanyakan hadith-hadith yang termaktub dalam kitab-kitab sahih mengandungi dalil-dalil zaniyyah, samada disebabkan ianya hadith-hadith aahad yang tidak sampai ke darjat mutawatir atau disebabkan ianya boleh difahami dengan berbeza-beza maksud”

Malangnya, ada yang dipanggil ustaz tetapi tidak dapat membezakan dua perkara di atas. Umpamanya, dalam suatu forum kebetulan saya salah seorang panelnya, seorang tokoh, beliau menyatakan Rasulullah dalam baiah tidak bersalam denga perempuan, itu adalah dalil qat`i haram bersalam dengan perempuan” Inilah tanda jahilnya dia terhadap maksud dalil qat`i. Saya bukan menyokong bersalam dengan perempuan ajnabi atau bukan mahram, tetapi ianya adalah masalah khilaf. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam dalam buku al-Fatwa al-Mu`asarah mengharuskannya. Itu adalah tarjih beliau disebabkan dalilnya tidak qat`i. Al-Syeikh `Abd al-Hamid Qafa mentarjihkan sebaliknya.

Semua kita yakin, perlunya ditegakkan kerana pemerintahan yang menjunjung titah perintah Allah dan RasulNya s.a.w. Namun strategi untuk sampai kepadanya memerlukan kebijaksanaan yang cukup. Apatah lagi Islam tidak menentukan suatu cara khusus dalam menegakkan daulah Islamiyyah. Kita juga tidak dapat menerima kenyataan sebahagian orang yang menyatakan bahawa seperti mana Islam mengajar solat demikianlah juga Islam mengajar tentang pembentukan negara Islam. Ini tidak benar, solat diajar oleh Islam dari awal hingga akhir dengan tidak boleh kita membuat sebarang penambahan melebihi apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. kerana itu adalah bid`ah, adapun negara Islam, kita hanya diajar beberapa asas-asas utama sahaja dan baki adalah masalah ijtihadiyyah (ijtihad)

Kita juga perlu tahu bahawa zaman dan tempat tidak menentukan rupa bentu Islam, tetapi Islam meraikan perubahan manusia, tempat dan zaman. Inilah yang disebut oleh ulamak usuliyyin: Taghair al-Fatwa bi taghair al-Amkinah wa al-Azminah iaitu berubahnya fatwa disebabkan berubahnya tempat dan zaman. Umpamanya di dalam hadith-hadith yang sahih termasuk yang diriwayatkan oleh al-Bukhari Rasulullah s.a.w. melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari. Pada tahun berikut para sahabat bertanya Nabi s.a.w.apakah mereka perlu buat seperti tahun lalu? Kata Nabi s.a.w.: Makan dan simpanlah kerana pada tahun lepas orang ramai dalam keadaan susah dan aku mahu kamu menolong mereka”. Dalam riwayat yang lain disebutkan disebabkan daffah iaitu orang ramai yang datang dari luar Madinah. Jelas sekali bahawa adanya larangan Nabi s.a.w. disebabkan oleh keadaan tertentu atau punca tertentu yang sebut dalam usul al-Fiqh sebagai illah al-Hukum. Apabila hilang punca dikeluarkan sesuatu hukum maka hukum pun dipadamkan. Dengan itu, al-Imam as-Syaf`i sebagai tokoh terawal menulis dalam Usul al-Fiqh memasuk bab al-`Ilal fi al-Ahadith (`ilah-ilah di dalam hadith-hadith) dalam kitabnya al-Risalah.

Banyak lagi contoh-contoh yang lain di dalam hadith kalau nak disebutkan, yang menunjukkan perubahan zaman mengubah fatwa. Inilah juga amalan para sahabah yang menghukum beberapa perkara tidak sama seperti hukuman pada zaman Nabi s.a.w. disebabkan perubahan yang berlaku, umpamanya Saidina Umar tidak memberi zakat kepada golongan al-muallaf qulubhum (yang cuba didekatkan kepada Islam) pada zamannya sekalipun hak mereka disebut di dalam al-Quran dan mereka diberikan zakat oleh Rasulullah s.a.w.. Ini disebabkan perubahan keadaan dan suasana dengan kata Umar : Allah telah memuliakan Islam dan tidak memerlukan mereka!” Sesiapa yang ingin pendetilan dia boleh menyemak tuisan para ulama termasuk tulisan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah.

Para ulama ketika mengeluarkan pendapat, fatwa dan huraian juga melihat perubahan keadaan dan masa. `Umar bin `Abd al-Aziz ketika mentadbir Madinah hanya menuntut seorang saksi dan sumpah. Namun ketika di Syam beliau menuntut dua orang saksi disebabkan orang Syam tidak seperti orang Madinah. Inilah juga yang menyebabkan Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah ketika mengulas hadith “Para pemimmpin itu dari kalangan Quraish” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhih: sanadnya jaiyyid) ialah disebabkan kerana ketika itu Quraish memilik kekuatan kaum dan puak. Maka mana-mana bangsa dan individu yang mempunyai kekuatan seperti itu dia layak sekalipun bukan Quraish. Ini disebabkan beliau menilai punca lahirnya arahan Nabi s.a.w.

Begitu juga dalam hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dengan al-Tirmizi mensahihkannya, baginda Nabi s.a.w enggan menetapkan harga barang untuk para peniaga pada zaman baginda sekalipun diminta berbuat demikian. Jika kita laksanakan hadith ini pada zaman ini dengan tidak ditetapkan harga siling untuk para pedagang pasti orang ramai akan kesusahan dan para peniaga akan bermaharajalela dengan menaikkan harga gula, beras, daging dan sebagainya mengikut kehendak mereka. Dengan itu para ulama menyatakan Rasulullah s.a.w tidak menetapkan harga disebabkan tidak ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian ketika itu. Para fuqaha mengizinkan untuk para pemerintah mentapkan harga jika perlu. Ini dibahaskan oleh mereka termasuk al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Turuq al-Hukmiyyah, bahkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa menyatakan kadang-kala wajib ditetapkan harga jika keadaan menuntut demikian.

Apa yang saya ingin nyatakan ialah kita perlu menilai perubahan kerana ini tuntutan Islam itu sendiri. Islam agama yang hidup setiap masa dan zaman. Barangkali inilah yang menyebabkan Ust. Fadhil menyebut: “Penubuhan negara Islam tidak boleh dicapai serta merta sebab umat Islam telah begitu jauh meninggalkannya selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan kebangkitan penjajahan Eropah. Ini memerlukan masa yang panjang dan tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di negara demokrasi”

Sebenarnya dalam banyak keadaan, melaksanakan Islam pada zaman ini jauh lebih susah daripada zaman lampau. Memegang Islam bagaikan memegang bara yang panas. Umpamnya, riba dengan mudah sahaja diharamkan pada zaman Nabi .s.a.w.. Dengan penegasan baginda s.a.w., para sahabah berhenti berurusan dengan riba dan negara bersih dari riba. Namun pada zaman ini pengharaman riba memerlukan usaha yang jauh lebih besar dan susah. Ianya bukan hanya melibatkan individu, tetapi bank-bank, bukan sahaja bank-bank biasa tetapi juga Bank Negara, bank negara pula berusan dengan bank-bank di peringkat antarabangsa yang mengamalkan riba. Usaha kita perlu jauh lebih besar.

Dalam keadaan sekarang jika kita ingin menguasai syarikat-syarikat besar dan utama yang menentukan kepentingan umat seperti elektrik negara, air negara dan seumpamanya, terpaksa terjerumus ke dalam kancah riba. Jika dibiarkan pula golongan pihak lain akan mengambilnya dan masa depan umat dalam bahaya. Inilah menyebabkan beberapa tokoh ekonomi Islam seperti al-Syeikh Mustafa al-Zarza, mengizinkan penglibatan muslim dalam hal yang sebegini.
Pemikiran dan kefahaman terhadap agama perlu mendalam dan jauh menjangkau agar Islam tidak dipinggirkan dan dianggap tidak mampu. Usaha mengujudkan daulah Islamiyyah yang memayungi umat adalah kewajipan kita. Namun usaha ke arah itu perlu dengan kefahaman yang mantap terhadap ruh syariat.

Sumber:http://drmaza.com/home/?p=593

Sunday, April 26, 2009

GARIS PANDUAN SILAT

 

MENURUT ISLAM

1. TUJUAN

1.1. Garis panduan ini disediakan untuk dijadikan panduan kepada umat Islam khususnya mereka yang terlibat dengan amalan seni mempertahankan diri tradisional (silat) supaya terhindar dari amalan yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam yang sebenar.

2. PENDAHULUAN

2.1. Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias adalah ditolak. Kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan tertentu dalam masyarakat Islam di Malaysia sedikit sebanyak ada hubungkaitnya dengan pengaruh fahaman Anamisme, Dinamisme, Hindu, Buddha dan Syiah (Ghulu) yang sebahagiannya telah menjadi darah daging kepada pengamal suci mempertahankan diri tradisional (silat). Oleh itu gari panduan ini perlu dijadikan asas dan panduan supaya dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam penyelewengan akidah dan syariat Islam. Allah berfirman dalam surah Yunus, ayat 106:

ولا تدع من دون الله ما لا ينفعك ولا يضرك فان فعلت فانك اذا من الظالمين

(سورة يونس : 106)

Bermaksud:

“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim”.

2.2. Dalam sejarah Islam memang wujud pahlawan-pahlawan yang tekemuka di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka telah berjuang menentang Musyrikin Quraisy dan penentang-penentang ajaran Islam dari kalangan Munafikin. Antara sahabat berkenaan ialah Saidina Ali, Khalid Ibnu Walid, Amru b. As-As, Abu Ubaidah b. Al-Jarrah, Saad b. Abi Waqas dan lain-lain lagi. Di dalam Al-Quran didapati banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa perlunya umat Islam mempersiapkan diri dan kelengkapan senjata serta kemudahan-kemudahan yang perlu untuk mempertahankan agama, diri dan negara. Antaranya ayat 61 surah Al-Anfaal:

وان جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله انه هو السميع العليم

(الانفال : 61)

Bermaksud:

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

2.3. Di dalam ilmu persilatan terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada ketika hendak masuk silat, setelah masuk atau selepas tamat dan diijazahkan. Di antara syarat-syarat tersebut:

(a) menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih, bayaran pengeras dan sebagainya.

(b) mandi dengan air mandian tertentu sebagai lambang membersihkan segala kekotoran zahir dan batin.

(c) tidak boleh meninggalkan sembahyang.

(d) Tidak boleh banyak bertanya ketika guru sedang mengajar atau mempersoalkan sebarang tindakan guru.

(e) Melakukan gerak silat membuka atau menutup gelanggang setiap kali memula atau menamatkan latihan silat.

2.4. Guru memainkan peranan penting di dalam menyampaikan sesuatu ilmu bagi menjamin kesahihan dan kesempurnaan ilmu tersebut. Di dalam ilmu persilatan, guru adalah lambang kesempurnaan.

2.5. Sesuatu seni mempertahankan diri tradisional (silat) itu perlulah didasarkan kepada garis pandua berikut bagi mengenalpasti ianya terhindar dari perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam:

(a) Asal Usul Silat

(b) Syarat-Syarat Silat

(c) Guru Silat

(d) Ikrar Sumpah dan Taat Setia

(e) Pantang Larang

(f) Adab

(g) Gerak Langkah

(h) Amalan Dalam Silat

(i) Pengijazahkan

(j) Matlamat Silat

3. GARIS PANDUAN SILAT DAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI

3.1. Asal-Usul Silat

3.1.1. Demi menjaga kesucian akidah Islam, beberapa perkara perlu diambil perhatian iaitu setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa:

(a) Silat mereka bersumber dari Nabi Muhammad s.a.w. para anbia atau diambil dari Al-Quran dan Hadis atau berasal dari amalan para sahabat Nabi s.a.w.

(b) Teknik atau pergerakan persilatannya berasal dari ibadat-ibadat tertentu seperti rukun-rukun sembahyang.

(c) Seni silat mereka bersumberkan mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. atau para anbia yang lain atau para sahabat serta ulama.

3.2. Syarat-syarat Silat

3.2.1. Bagi mempastikan syarat-syarat di dalam ilmu persilatan tidak bercanggah dengan ajaran Islam maka:

(a) Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang Islam, yang mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat seperti sembahyang, puasa, jangan durhaka kepada ibubapa, sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan syarat.

(b) Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat yang dipercayai boleh merosakkan pegangan akidah.

(c) Tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial atau mandi-mandi tertentu yang dikaitkan dengan persilatan.

(d) Tidak boleh melakukan gerak silat atau bacaan tertentu yang mengandungi unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk “ghaib” dalam acara “gerak membuka atau menutup gelanggang”, “’ayat kebal” atau “pukulan angin maut” atau sembelih ayam dalam gelanggang.

(e) Tidak boleh mentaati guru atau seseorang pada perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

(f) Sebarang syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

3.3. Guru Silat

3.3.1. Guru silat yang beragama Islam hendaklah bukan terdiri daripada:

(a) mereka yang melakukan perkara-perkara syirik, sama ada melalui perkataan, perbuatan atau iktikad.

(b) mereka yang melakukan maksiat/jenayah dan yang bertentangan dengan moral.

(c) pemecah belah masyarakat.

(d) Mereka yang mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu.

3.3.2. Jika seseorang guru silat hendak melibatkan diri dalam hal agama hendaklah mengetahui asas-asas agama Islam sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah seperti rukun Islam, rukun Iman, cara mengerjakan sembahyang dan sebagainya.

3.3.3. Guru silat dilarang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal di dalam ilmu persilatan.

3.4. Ikrar Sumpah Dan Taat Setia

3.4.1. Sumpah tidak dibolehkan sebaliknya hanya ikrar.

3.4.2. Murid-murid tidak boleh taat secara membuat tuli kepada guru. Mereka hendaklah mengikut perintah guru selama tidak bercanggah dengan perintah Allah.

3.4.3. Sumpah tidak boleh digunakan kepada perkara-perkara yang telahpun diwajibkan di dalam Islam seperti bersumpah akan taat kepada ibubapa, bersumpah akan taat kepada Allah dan Rasul dan sebagainya.

3.4.4. Bacaan-bacaan, amalan dan ikrar yang terdapat di dalam sumpah hendaklah mengandungi perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat Islam seperti memuja dewa, atau nama berhala.

3.4.5. Di dalam upacara sumpah dan bai’ah sama ada dari segi fizikal atau mental hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur yang mensyirikkan Allah dan menjatuhkan maruah seseorang sebagai umat Islam.

3.5. Pantang Larang

3.5.1. Suatu pantang larang hendaklah bukan daripada perkara-perkara yang jelas diwajibkan di dalam Islam seperti tidak meninggalkan sembahyang, jangan berkelahi sesama ahli dan sebagainya.

3.5.2. Suatu pantang larang tidak boleh dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan, meminta izin, perlindungan atau bantuan daripada makhluk-makhluk ghaib seperti larangan berludah kerana ditakuti tidak menjadi.

3.5.3. Tidak boleh memenuhi kehendak pantang larang sehingga melakukan perkara-perkara yang ditegah di dalam Islam seperti meninggalkan tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan sebagainya.

3.5.4. Perkara-perkara yang harus dan halal tidak boleh dihukumkan haram.

3.6. Adab

3.6.1. Adab Murid Dengan Guru:

(a) Guru tidak boleh menganggap dirinya yang paling mulia dan tidak pernah bersalah.

(b) Guru hendaklah mengelakkan diri dari dianggap orang yang perlu ditaati secara mutlak.

(c) Guru tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.

(d) Guru hendaklah melarang murid-muridnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.

3.6.2. Adab Sesama Murid Seperguruan:

(a) Seseorang murid tidak boleh memberikan hak secara khusus kepada murid seperguruannya sahaja, seperti memberi ucapan salam, tidak boleh bergaduh sesama ahli dan sebagainya.

(b) Seseorang murid tidak boleh menanam atau mengapi-apikan perasaan bangga diri dan taksub kepada kumpulannya sehingga memandang hina dan negatif kepada orang lain.

3.6.3. Adab Murid Dengan Orang Lain

(a) Seseorang murid tidak boleh mengutamakan guru silat dan murid-murid seperguruannya sehingga mengabaikan hak dan kewajipannya kepada ibubapa, suami, isteri, anak dan ahli keluarga.

(b) Seseorang murit tidak boleh memandang rendah dan hina terhadap orang bukan dari kalangan ahli silatnya.

(c) Seseorang murid yang beragama mesti menjalinkan ikatan persahabatan sama ada sesama ahli atau orang lain.

3.7. Gerak Langkah

(a) Gerak langkah silat tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya.

(b) Gerak langkah silat tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada ahli atau jasad Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh.

(c) Gerak langkah silat tidak boleh dimaksudkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam atau perlakuan-perlakuan ibadat yang tertentu seperti dua kalimah syahadah dan sembahyang.

3.8. Amalan Dalam Silat

(a) Tidak boleh memuja dan memperhambkan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busut dan sebagainya.

(b) Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami, objek-objek tertentu dan bercampuraduk dengan ayat Al-Quran.

(c) Tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.

(d) Tidak boleh meninggalkan ibadat-ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadan ketika melakukan amalan silat.

3.9. Pengijazahan

(a) Tidak boleh melakukan isyarat sembah atau gerak tubuh yang melambangkan ketundukan yang menyamai atau melebihi ketundukan yang hanya layak kepada Allah sahaja seperti tidak sembah kepada guru.

(b) Tidak boleh melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya.

3.10. Matlamat Silat

(a) Matlamat silat hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, mendisiplinkan diri, hidup bermasyarakat, untuk mempertahankan diri dari bahaya dan sebagainya.

(b) Matlamat silat tidak boleh:

(i) Untuk membalas dendam, menuntut bela, membuat aniaya, menakut-nakutkan dan mengugut orang lain.

(ii) Untuk menanam sifat berani yang keterlaluan sehingga hilang hormat kepada ibubapa, guru, ahli keluarga dan lain-lain.

(iii) Untuk memupuk sentimen perkauman atau taksub golongan/kumpulan ekstrim agama yang melampau di kalangan ahli.

4. PENUTUP

Dengan mengikut garis panduan ini diharapkan para pengamal silat dan seni mempertahankan diri supaya dapat menghindarkan diri menyimpang daripada ajaran Islam yang benar, agar hidup sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,

Kuala Lumpur

http://www.islam.gov.my/e-rujukan/silat.htm

Thursday, April 23, 2009

Mandi Bunga: Suatu Analisis

 

Oleh: Hazman Hassan (ibnarawi99@yahoo.com)

Azie, seorang wanita berkarier yang semakin lanjut usia tetapi belum bersuami, amat rungsing dengan situasi dirinya. Beberapa sahabat karibnya telah menasihatkan Azie untuk pergi berjumpa bomoh Semaun untuk menjalani upacara Mandi Bunga. Pada masa dan hari yang ditetapkan, Azie pun disuruh untuk mandi dengan air yang dicampurkan beberapa bahan seperti daun-daunan dan bunga-bungaan tertentu, limau serta lain-lain bahan. Upacara tersebut juga disertai dengan ayat-ayat dan bacaan khusus untuk dibaca sebelum, semasa dan selepasnya. Akhirnya bomoh Semaun berpesan dengan tegas agar Azie tidak membersihkan sendiri akan bahan sisa mandian tersebut dari lantai bilik air. Sebaliknya, proses pembersihan tersebut mestilah dilakukan oleh orang lain.

Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme, Hinduisme dan ‘Popular Islam’.

mandi bunga

Situasi kes Azie dengan bomoh Semaun ini juga sangat mungkin terjadi dalam kehidupan orang lain dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia. Mandi Bunga dilakukan dengan tujuan untuk membuang sial pada pelakunya, menjauhkan gangguan makhluk halus serta sekaligus menaikkan seri dan mendatangkan tuah bagi diri pelakunya.[1] Artikel ini akan cuba menganalisa beberapa kemungkinan tentang asal-usul dan teori di sebalik amalan Mandi Bunga.

Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme, Hinduisme dan ‘Popular Islam’. Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup, perkataan yang diucap atau ditulis, tanda-tanda yang dirakamkan dan sebagainya.[2] Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai ‘mana’, dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai ‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’ oleh orang Jawa.

Di kalangan orang Melayu tradisional, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’ seperti yang difahami oleh mereka dalam insiden ‘lemah semangat’, ‘kus semangat’ dan sebagainya. ‘Mana’ bagi golongan tertentu mempunyai gelaran yang khusus. ‘Mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’. Sedangkan ‘mana’ bagi para ahli agama baik golongan pawang dan dukun pada zaman Dinamisme, sami dan pendita pada zaman Hinduisme-Buddhisme, mahupun alim-ulama’ pada zaman Islam, dipanggil sebagai ‘berkat’ dan ‘keramat’.

Salah satu ramuan Mandi Bunga ialah limau yang dianggap dapat menjauhkan segala makhluk jahat.[3] Limau bersama-sama sirih pinang adalah merupakan bahan utama untuk pelbagai kepercayaan dan ritual orang Melayu tradisional. Sebagai contoh:

  1. Air tepung tawar yang ‘asasnya’ terdiri daripada campuran air, bahan-bahan lain dan limau purut yang dihiris.[4]
  2. Limau nipis digunakan sebagai pengeras bagi pelajar silat dan perubatan tradisional. Limau purut pula diperah dan dicampurkan dengan air bagi mengubat penyakit terkena buatan orang.[5]
  3. Upacara ‘mandi-mandi’ atau ‘berlimau’ diadakan dalam pakej adat perkahwinan Melayu tradisional iaitu selepas kedua-dua pengantin bersatu. Pengantin akan berpakaian lengkap dan duduk di bawah naungan kain yang diregangkan dengan pegangan dua orang di kiri dan kanan. Air dan campuran limau, sintuk dan lain-lain ramuan akan dijiruskan daripada atas menerusi kain tersebut.[6]
  4. Di Perak, mandi tolak bala dilakukan dengan menggunakan hirisan buah limau nipis yang digosok-gosokkan ke badan seperti mana sabun. Selepas itu, barulah sambungan kepada perkara-perkara yang dilakukan dalam ritual tersebut akan dilanjutkan.[7]
  5. Dalam upacara berdoa’ dan memanggil semangat padi di Sungai Dacing, Lenggeng, Negeri Sembilan; pawang akan ‘menawarkan’ limau-limau yang disediakan dengan cara menepung tawar,  menjampi dan meludahnya sebanyak tiga kali. Selepas itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah untuk ditempatkan di tapak semaian padi, agar padi subur dan selamat dari bencana.[8]
  6. Wujud juga pantang-larang berkenaan limau dalam kehidupan orang Melayu tradisional. Salah satu daripadanya ialah larangan membawa limau purut jika mandi di sungai, nanti dibaham buaya. Kononnya buaya amat marah dan mungkin mengganas kerana buah limau itu menyerupai bonjol di atas kepalanya dan berhubung kait pula dengan asal usul kejadiannya.[9]

Daun, bunga dan limau dengan sifat-sifat tertentu (misalnya daun bertemu urat dengan warna tertentu) dan bilangan tertentu (misalnya tujuh jenis bunga dipetik ketika pagi masih berembun), ditambah dengan mantera yang dibaca oleh bomoh akan mendatangkan ‘mana’ yang akan membawa manfaat yang diinginkan. Oleh yang demikian, unsur kepercayaan Dinamisme dalam amalan Mandi Bunga dapat dikesan apabila ramuan mandi yang telah mempunyai ‘mana’ tersendiri disatukan bagi membentuk gabungan ‘mana’ yang baru pula. Hasil daripada kewujudan ‘mana’ baru yang ‘lebih bertenaga’ ini, maka dipercayai kononnya ‘mana’ pada orang yang melakukan Mandi Bunga juga akan menjadi lebih kuat, berupaya menghalau segala sial dan sihir, serta mampu menarik lebih banyak tuah dan keuntungan.

Bau-bauan yang wangi dalam amalan Mandi Bunga ini juga dipersembahkan kononnya sebagai bahan pengorbanan kepada makhluk-makhluk halus yang akan membantu mengambil hati mereka.[10] Maka apabila perbuatan ini dilakukan, makhluk halus yang jahat dan membawa sial akan meninggalkan diri pihak yang melaksanakan amalan Mandi Bunga itu. Makhluk halus yang baik pula dipercayai akan menggantikan tempat yang dikosongkan oleh makhluk halus yang jahat  tadi dan sekaligus membawa manfaat kepada pihak tersebut.

Seterusnya, sebab yang mungkin untuk individu yang menjalani upacara Mandi Bunga itu dilarang daripada membersihkan sendiri sisa mandiannya ialah kepercayaan ‘sial’ yang dikeluarkan itu sudah ‘tumpah’ ke sisa mandian. Sekiranya individu tersebut juga yang membersihkan sisa mandiannya maka ditakuti ‘sial’ itu  akan ‘hinggap’ semula, tuah yang dijemput akan lari dan apa yang dihajati tidak dicapai. Oleh yang demikian, orang lain pula yang biasanya akan ditugaskan untuk membersihkan sisa tersebut. Ada pula bomoh yang mensyaratkan sisa mandian itu dibungkus dahulu, sebelum ditanam atau dibuang di air yang mengalir dengan disertakan bacaan-bacaan yang tertentu pula.

Mandi turut merupakan salah satu ritual yang popular di kalangan penganut Hindu, misalnya mandi untuk menyucikan dosa-dosa di Sungai Ganges, atau mandi minyak bijan (nallenai) dan minyak jarak (vilakennai) pada pagi hari Deepavali.[11] Oleh itu, wujud kemungkinan bahawa amalan Mandi Bunga ini juga berasal daripada saki-baki kepercayaan Hinduisme yang masih melekat dalam minda orang-orang Melayu tradisional.

Limau yang digunakan dalam amalan Mandi Bunga juga memiliki signifikan tersendiri dalam kepercayaan Hinduisme yang mana limau dipercayai dapat mengusir hantu dan syaitan. Dalam falsafah occultisme Hindu pula, bentuk limau yang bulat-bujur melambangkan dunia sebagai ‘chakra’ dalam sebuah makrokosmos. Justeru itu, satu varieti Kavadi yang diusung ketika perayaan Thaipusam turut melibatkan limau dengan set cangkuk-cangkuk besi yang tajam.

Satu set cangkuk terdiri daripada dua bilah cangkuk besi yang dihubungkan dengan seutas tali khas. Untuk tujuan ini, sebilah cangkuk akan dibenamkan menembusi kulit dan daging pembawa kavadi. Sebilah cangkuk lagi akan pula ditusukkan dengan buah limau nipis yang akan dibiarkan berjuntai, sambil berat limau itu akan menambahkan kesan kesakitan yang berpunca daripada benaman cangkuk yang pertama tadi.

Bau yang harum hasil mandian dapat mengusir pengaruh kejahatan dan menarik pengaruh kebaikan pada diri pelakunya.

Pengaruh Hinduisme dalam amalan Mandi Bunga turut dapat diperhatikan apabila amalan tersebut bertujuan menghasilkan aroma yang wangi. Penganut Hinduisme mempercayai bahawa bau yang harum dapat mengusir pengaruh kejahatan dan menarik pengaruh kebaikan pada diri pelakunya. Hakikat kepercayaan ini juga telah disebutkan dalam Epik Ramayana yang menyatakan:

“Apabila tempat yang sesuai telah ditemui, dan setelah tempat itu disediakan, semuanya menurut peraturan zaman bahari, maka Wasista dan pendita-pendita lainnya pun mulailah melakukan upacara-upacara korban tersebut. Bunyi mantera Veda iaitu syair suci memenuhi angkasa raya dan dari barang-barang korban itu timbullah suatu bau harum yang mengusir segala dosa-dosa Raja Dasarata apabila baginda menyedutnya.”[12]

Akhirnya, amalan Mandi Bunga ini diberikan solekan berupa bid‘ah agar ia dapat menampilkan wajah ‘Islam’. Mandi Bunga cuba dirasionalkan sebagai perbuatan yang ‘Islamik’ sebagaimana mandi junub, mandi kerana menganut Islam, mandi sunnah hari jumaat, mandi sunnah Hari Raya, dan mandi-mandi lain yang telah disyari’atkan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Situasi ini dapat dikesan apabila mantera yang dibaca dalam hampir semua ritual orang Melayu tradisional termasuklah Mandi Bunga, akan dimasukkan lafaz basmalah, dan diakhiri dengan syahadah dan salawat.[13]

Akhirnya, amalan Mandi Bunga yang berasal daripada kepercayaan kurafat agama lain diberi solekan Islamik dengan bacaan Basmalah, al-Fatihah, Selawat dan lain-lain.

Orang yang melakukan upacara Mandi Bunga pula akan disuruh berselawat, membaca surah-surah tertentu, malah ada yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema. Lebih mengelirukan lagi ialah apabila bomoh yang mengendalikan upacara tersebut berpesan pula “Allah sahajalah yang menolong awak, saya cuma berikhtiar”. Amalan Mandi Bunga telah disalahanggap sebagai suatu wasilah kepada ibadah ‘ikhtiar dan tawakkal’ dalam Islam. Maka tidaklah menghairankan apabila wujud juga varieti mandi untuk ‘membuang sial’ yang lain dalam kehidupan orang Melayu tradisional, seperti mandi tolak bala, mandi air selamat, mandi safar, mandi pengantin untuk bakal pengantin, mandi basuh lantai untuk ibu dan bayi yang baru dilahirkan, mandi bertabal untuk pertabalan raja yang baru dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, mandi dengan menggunakan sabun, shower gel dan shampo yang diperbuat daripada khasiat limau, bunga dan daun tertentu tidaklah menjadi masalah asalkan ia adalah untuk membersihkan badan dan bukan untuk member-sihkan sial dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, amalan mandi untuk kesihatan fizikal dengan semata-mata memanfaatkan khasiat limau, bunga dan daun tertentu tidaklah menjadi masalah. Meskipun begitu, apabila disertakan dengan kepercayaan atau amalan yang tidak selaras dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, amalan Mandi Bunga dapat bertukar menjadi perbuatan bid‘ah dan khurafat yang boleh membawa kepada syirik. Islam mengajar penganutnya bahawa tidak ada sial atau tuah pada masa-masa tertentu, serta tidak akan ada pula manfaat, mudarat dan karut-marut berkaitan dengan amalan tertentu. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, yang maksudnya:

“Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada larangan atau pantang pada bulan Safar dan tidak ada kecelakaan yang ditandai oleh suara burung malam.”[14] Malah, kepercayaan dalam amalan Mandi Bunga ini juga boleh merosakkan keimanan seseorang itu terhadap Qada’ dan Qadar Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu kepada mana-mana pembaca yang mengingini kepada Mandi Bunga, tinggallah ia kerana ia tidak lain adalah campur aduk pelbagai amalan kurafat dan bid‘ah. Jika memiliki apa-apa hajat, caranya ialah bertaqwa kepada Allah dengan mentaati segala perintah larangan-Nya, kemudian berdoalah kepada-Nya.

 

Sumber:

Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah Buku 2 oleh Hafiz Firdaus Abdullah


  1. Amran Kassimin - Istiadat Perkahwinan Melayu Yang Bukan Daripada Ajaran Islam (Dinie Publishers, K. Lumpur 1993), hlm. 34
  2. O.K. Rahmat S.H. - Pencemaran Akidah Di Nusantara (Dewan Bahasa dan Pustaka 1983), hlm. 8
  3. Winstedt, R.O. - Shaman, Saiva And Sufi: A Study Of The Evolution Of Malay Magic (Constable & Company Ltd., London 1925), hlm. 117
  4. O.K. Rahmat S.H. - Pencemaran Akidah Di Nusantara, hlm. 11
  5. A.Aziz Bidin & Aishah Muhammad - Kegunaan Tumbuh-tumbuhan dalam Nilai Budaya Masyarakat Desa: Kajian Etnografi Di Wang Kelian Perlis yang disunting oleh Wan Hashim Wan Teh & Ismail Hamid (Dewan Bahasa dan Pustaka 1998) hlm. 180
  6. Syed Alwi Sheikh Al-Hadi - Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu (Dewan Bahasa dan Pustaka 1986), hlm. 41
  7. Skeat, Walter William - Malay Magic: An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular (Frank Cass & Co. Ltd., London 1965), halaman 278
  8. Amat Juhari Moain - Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Dengan Pertanian (Dewan Bahasa dan Pustaka 1990), hlm. 105
  9. Wan Ramli Wan Muhammad & Hanapi Dollah - Pantang Larang Orang Melayu Tradisional (Utusan Publications & Distributors, K. Lumpur 1999), hlm. 59
  10. Skeat, Walter William - Malay Magic: An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular, hlm.75
  11. M. Rajantheran & S. Manimaran - Perayaan Orang India (Fajar Bakti, K. Lumpur 1994), hlm. 11-12
  12. Hikayat Ramayana (edisi terjemahan oleh Daud Baharum.Oxford University Press, K. Lumpur 1963), hlm. 2
  13. Haron Daud - Mantera Melayu: Analisis Pemikiran (Penerbitan USM, P. Pinang 2001)
  14. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5278 (Kitab al-Tibb)

Wednesday, April 22, 2009

Nak “Halalkan” ASW 2020, ASM, ASN, ASB?

 

 

aj1 Ahmad Jailani Abdul Ghani

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan percuma 100 juta unit Amanah Saham Wawasan (ASW 2020) kepada penduduk miskin bandar dan miskin tegar di negara ini. Wow! Epal runtuh! (Instead of durian hehe)

Manakala PM juga mengucapkan tahniah kepada PNB di atas keupayaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menggembleng dana bernilai lebih RM87 bilion mencerminkan kejayaan cemerlang yang dicapai dalam tempoh 28 tahun sejak pelancaran Amanah Saham Nasional (ASN) pada tahun 1981.

Isunya sekarang apakah saham-saham ini mematuhi syariah (syariah compliant)? Kalau tidak mematuhi syariah, nak buat macamana? Takkan nak tolak rezeki yang datang bergolek ni? Lagipun kerajaan nak tolong kita selaku orang miskin, sama ada miskin bandar atau miskin tegar.

Tapi, kalau ambil pulak, problem juga, sebab ramai orang kata “haram”. Bila buka fatwa-fatwa di Malaysia lagi pening. Fatwa-fawa negeri dan ustaz-ustaz ramai kata haram. Suruhanjaya Sekuriti pun kata ianya tak mematuhi syari’ah. Tapi “Fatwa Kebangsaan” pulak kata “harus” atas dasar “maslahah”.

Saya mencadangkan, bagi saudara-saudari yang mempunyai saham-saham seperti ini, supaya membuat sendiri “screening” dan “tazkiyah”. Agar kita mendapat rezeki yang diberkati.

Contohnya ASW 2020. Katalah, 100 syarikat yang dilaburkan wang tersebut. 20 syarikat jelas haramnya. 10 syarikat lagi berada pada tahap ragu-ragu (syubhah). Maknanya 30 (20+10) syarikat perlu dielak. Maka, jika kita dapat RM100 (keuntungan) daripada pelaburan tersebut, RM100 hendaklah ditolak 30% sebagai tazkiyah. Baki 70% bolehlah diambil untuk dimakan atau dimanfaatkan. Ini hanyalah intro sahaja. Saya akan update kemudian.

Sebagai maklumat tambahan, saya copy paste daripada website ASNB:-

MAKLUMAT TABUNG

Nama Tabung
AMANAH SAHAM WAWASAN 2020 (ASW 2020)

Jenis
Pendapatan

Kategori
Ekuiti

Tarikh Pelancaran
28 Ogos 1996

Objektif
Untuk memberi kadar pulangan yang berpatutan kepada pemegang-pemegang unit menerusi pelaburan dalam portfolio terpilih yang terdiri daripada pelaburan yang dibenarkan.

Pelabur Sasaran
Pelabur yang memahami risiko dan pulangan pelaburan serta mengharapkan manfaat dari pertumbuhan jangka panjang tabung hasil pelaburan semula pengagihan pendapatan (sekiranya ada) dan penerimaan pendapatan (sekiranya ada) ke atas pelaburan mereka.

Kelayakan
Warganegara Malaysia.

  • Akaun Dewasa (18 tahun ke atas)
  • Akaun Remaja ( ibu bapa atau penjaga sah berumur tidak kurang 18 tahun yang melabur bagi kanak-kanak  berumur 6 bulan hingga 18 tahun ke bawah).

Pengurus Pelaburan
Permodalan Nasional Berhad

MAKLUMAT URUSNIAGA

Harga Seunit
RM 1.00

Bentuk Pelaburan

  • Buku Pelaburan
  • Sijil
  • Skim Pelaburan Ahli KWSP

Pelaburan Permulaan Minimum

  • Buku Pelaburan - 100 unit

Pelaburan Tambahan Minimum

  • Buku Pelaburan - 1 unit
  • Sijil - Gandaan 1,000 unit
  • KWSP - RM1,000

Pelaburan Maksimum
Tiada had, tertakluk kepada peruntukan saiz tabung

Saiz Tabung
14.00 bilion unit.

Caj Jualan
Tiada

Caj Jualan Balik
Tiada

Pembayaran Jualan Balik
Serta merta, kecuali mereka yang melabur melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP, jumlah wang jualan balik akan dimasukkan semula ke KWSP.

Tempoh Bertenang
Tiada

Tahun Kewangan Berakhir
31 Ogos

PRESTASI TABUNG

Tahun Berakhir 31 Ogos 2006 2007 2008

 

Kadar Pengagihan Pendapatan Seunit (sen) 6.80 8.00 7.00

 

MAKLUMAT TABUNG

Nama Tabung
AMANAH SAHAM MALAYSIA (ASM)

Jenis
Pendapatan

Kategori
Ekuiti

Tarikh Pelancaran
20 April , 2000

Objektif
Untuk memberi peluang kepada pemegang-pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang yang menjana pulangan yang kompetitif dan berterusan menerusi pelaburan dalam portfolio yang dipelbagaikan

Pelabur Sasaran
Pelabur yang memahami risiko dan pulangan pelaburan serta mengharapkan manfaat dari pertumbuhan jangka panjang tabung hasil pelaburan semula pengagihan pendapatan (sekiranya ada)  dan penerimaan pendapatan (sekiranya ada) ke atas pelaburan mereka.

Kelayakan
Warganegara Malaysia.

  • Akaun Dewasa (18 tahun ke atas)
  • Akaun Bijak ( ibu bapa atau penjaga sah berumur tidak kurang 18 tahun yang melabur bagi kanak-kanak  berumur 6 bulan hingga 18 tahun ke bawah).

Pengurus Pelaburan
Permodalan Nasional Berhad

MAKLUMAT URUSNIAGA

Harga Seunit
RM 1.00

Bentuk Pelaburan
Buku Pelaburan

Pelaburan Permulaan Minimum
Buku Pelaburan - 100 unit

Pelaburan Tambahan Minimum
Buku Pelaburan - 1 unit

Pelaburan Maksimum
Tiada had, tertakluk kepada peruntukan saiz tabung

Saiz Tabung
13.0 bilion unit.

Caj Jualan
Tiada

Caj Jualan Balik
Tiada

Pembayaran Jualan Balik
Serta - merta.

Tempoh Bertenang
Tiada

Tahun Kewangan Berakhir
31 Mac

PRESTASI TABUNG

Tahun Berakhir 31 Mac 2006 2007 2008

Kadar Pengagihan Pendapatan Seunit (sen) 6.75 6.80 7.80

ASW 2020

Senarai 20 Pelaburan Terbesar yang Disebut Harga Dari Segi Peratusan Nilai Pasaran Berbanding Dengan Nilai Aset Bersih Tabung Syarikat

Bil Peratusan Dari Nilai Aset Bersih Tabung (%)

1. Malayan Banking Berhad 7.77

2. Tenaga Nasional Berhad 6.60

3. Bumiputra-Commerce Holdings Berhad 5.48

4. Sime Darby Berhad  4.48

5. PNB Structured Investment Fund 3.25

6. TM International Berhad 3.12

7. MISC Berhad 2.66

8. UMW Holdings Berhad 2.58

9. Petronas Gas Berhad 2.43

10. Digi.Com Berhad 1.95

11. IJM Corporation Berhad 1.76

12. Plus Expressways Berhad 1.62

13. Gamuda Berhad 1.50

14. Public Bank Berhad 1.48

15. MISC Berhad – Foreign Shares 1.47

16. YTL Corporation Berhad  1.41

17. Kuala Lumpur Kepong Berhad  1.41

18. YTL Power International Berhad 1.34

19. Telekom Malaysia Berhad 1.30

20. NCB Holdings Berhad 1.22

Sekian.

Ahmad Jailani Abdul Ghani

21/04/2009

www.ustjai.wordpress.com

Tarif Air : Satu Analisa

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa empat syarikat konsesi iaitu Syabas,Konsortium Abbas Sdn Bhd,Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash) mengendalikan perawatan dan penyaluran kepada pengguna di Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut Perjanjian,pihak pemegang konsesi akan menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus bermula 1 April tahun depan.

Ini telah menimbulkan pertikaian dengan kerajaan negeri Selangor yang kemudian menawarkan untuk membeli kempat-empat syarikat konsesi itu pada harga RM5.7 billion dan menguruskan sendiri rawatan dan pembekalan air tetapi tidak dipersetujui oleh pengurusan syarikat konsesi .

Kenaikan tarif air ini tidak sepatutnya berlaku dan ditambah pula dengan kemelesetan ekonomi Negara. Kenaikan tarif air pasti akan membebankan lagi rakyat. Air merupakan hak asasi manusia dan tidak boleh dipindah milik menjadi barangan atau komoditi yang menguntungkan pihak-pihak tertentu. Di dalam syariat islam Allah s.w.t telah menetapkan bahawa air adalah termasuk dalam hak milik awam (al- milkiyah al-amah), dan bukannya hak milik negara atau negeri. Terdapat tiga jenis pemilikan sistem ekonomi islam iaitu:

  • Hak Milik Umum: meliputi mineral-mineral dalam bentuk pepejal, cecair dan gas termasuk petroleum, besi, tembaga, emas dan sebagainya yang didapati sama ada di dalam perut bumi atau di atasnya, termasuk juga segala bentuk tenaga dan intensif tenaga serta industri-industri berat. Semua ini merupakan hak milik umum dan wajib diuruskan (dikelola) oleh Daulah Islamiyah(negara) manakala manfaatnya wajib dikembalikan kepada rakyat
  • Hak Milik Negara meliputi segala bentuk bayaran yang dipungut oleh negara secara syar’ie dari warganegara, bersama dengan perolehan dari pertanian, perdagangan dan aktiviti industri, di luar dari lingkungan pemilikan umum di atas. Negara membelanjakan perolehan tersebut untuk kemaslahatan negara dan rakyat
  • Hak Milik Individu: selain dari kedua jenis pemilikan di atas, harta-harta lain boleh dimiliki oleh individu secara syar’ie dan setiap individu itu perlu membelanjakannya secara syar’ie juga.

Hak milik umum ini termasuk juga air sungai,air laut,mata air dan hujan semua ini milik manusia bersama dan tidak boleh dijual beli selama masih berada di tempat aslinya.

Rasulullah SAW bersabda:

"Manusia berkongsi dalam tiga perkara; air, rumput dan api." (HR. Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah) Dalam riwayat lain ada tambahan: iaitu "garam”

Dalam riwayat yang lain dari Ilyas bin Abd, bahawa Nabi SAW melarang menjual kelebihan air (H.R imam yang lima kecuali Ibnu Majah dan hadis ini disahkan Imam Tirmizi)

Jelas Rasulullah SAW membenarkan semua rakyat berkongsi bersama di dalamnya perkara tersebut.Tidak ada seseorang manusia pun boleh menswastakan suatu aset yang mana Allah telah menyediakannya kepada masyarakat awam.

Iyyas Al-Muzani meriwayatkan, bahawa dia pernah melihat orang-orang menjual air.Kemudian ia berkata: “Jangan kalian menjual air, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah mencegah memperjualbelikan air.

Ia berbeza dengan “Hak Milik Individu” dimana setiap manusia mempunyai hak untuk mengambil dan manfaatkan perkara tersebut dan menjual seperti jika seseorang menggali sungai besar atau tasik dengan memasang alat dia boleh mengambil air untuk kegunaan dirinya sendiri dan juga boleh menjual airnya kepada manusia. Ini kerana kewujudan air itu sebagai “Hak Milik Umum” tidak hilang. Ia berbeza jika sungai itu kecil ini akan menyebabkan segelintir orang sahaja dapat memanfaatkannya, maka dalam hal ini ia tidak boleh dimilik individukan.Ini kerana ia telah menghilangkan “Hak Milik Umum” tersebut.

Di dalam sejarah termaktub, bahawa pada waktu Nabi SAW datang di Madinah ada sebuah sumur yang dikenal dengan sumur rumah milik Yahudi. Si pemilik menjual airnya kepada manusia, dan Nabi mengakui hal ini, baik kepada si penjual mahupun si pembeli. Dengan demikian,jual beli air dalam kaitan ini tidak ubahnya menjualbelikan kayu sesudah dikumpul. Sebelum dikumpulkan, kayu menjadi milik bersama. Jika telah dikumpulkan dan menjadi milik seseorang tertentu, maka sah menjualnya. Rasulullah SAW bersabda:

Sungguh seseorang di antara kalian pergi membawa tali (berusaha) lalu pulang dengan membawa seikat kayu bakar di atas punggungnya kemudian menjualnya dan dengan kayu bakar itu Allah SWT akan menjaga kehormatan dirinya, itu jauh lebih baik ketimbang dia mengemis kepada orang lain, baik mereka memberi ataupun tidak (H.R Bukhari)

Hak Milik Individu dapat diperoleh melalui pewarisan,wasiat,jual beli,pembelian (derma/hadiah),bekerja,bercucuk tanam dan mengerjakan tabah terbiar.

Perlu difahami air tidak boleh menjadi milik kerajaan pemerintah,kerana pemerintah sifatnya sebagai pemelihara rakyat malah air tersebut tidak boleh ‘diperniagakan’ untuk mengambil keuntungan darinya.. Sepatutnya rakyat yang menikmati kemudahan ini dengan percuma tetapi sebaliknya yang berlaku. Walaupun kerajaan menyediakan segala peralatan yang digunakan untuk membekalkan air tersebut kepada orang ramai tetapi kerajaan tidak boleh memperniagakan air tersebut kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan sebagai pemelihara rakyat kerana air adalah salah satu“Hak Milik Umum”.

Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya berjudul Al-Amwal Fi Daulah al-Khilafah (Sistem Kewangan dalam Negara Khilafah), terdapat tiga kaedah pengurusan hak milik umum yang boleh dijalankan oleh negara. Ini termasuklah isu pengurusan air.

1. Negara mengusahakan sendiri pengurusan air dan membekalkannya kepada rakyat. Melalui kewangan negara, negara dapat memperoleh peralatan pemprosesan air sendiri seperti saluran paip, penapis air, menara takungan dan sebagainya bagi tujuan tersebut. Dan dengan alat-alat tersebut, dibentuk suatu usaha (jabatan pengendali) menjalankan proses perbekalan air sepenuhnya tanpa campur tangan dari luar. Negara boleh mengekalkan hak pemilikan ke atas alat-alat perusahaan tersebut atau memindahkan hak miliknya kepada pemilikan umum yakni di bawah akaun pemilikan umum di dalam Baitul Mal. Jika ini berlaku (pemindahan hak milik), maka kesemua peralatan tadi akan menjadi hak milik umum, namun pengendalian dan penyelenggaraannya tetap dilakukan oleh negara.

2. Negara boleh menyewa peralatan pemprosesan air yang dinyatakan di atas dari mana-mana pihak yang memiliki harta tersebut serta mengendalikannya sendiri (oleh jabatan pengendali). Bayaran sewa (ujr) dibayar kepada pemilik peralatan tersebut melalui akaun negara di Baitul Mal atau menggunakan mana-mana masukan kewangan dalam akaun pemilikan umum kerana ia bersangkutan dengan kepentingan umum.

3. Negara boleh menyerahkan urusan bekalan air kepada mana-mana individu atau firma (syarikat pengendali bekalan air) dengan syarat pemilikan ke atas air masih tetap milik umum, bukannya diserahkan atau dimonopoli oleh syarikat terbabit. Dengan kata lain, pihak yang telah diserahkan negara mengendali urusan bekalan air tadi hanya akan dibayar upahnya sahaja, bukan mendapat keuntungan dari pengeluaran bekalan air tadi. Kaedah ini menjadikan rakyat tidak dibebankan oleh kenaikan kos pengeluaran oleh syarikat air, kerana tugas mereka adalah untuk menguruskannya bukannya mengambil keuntungan dari penjualan barangan milik awam ini (air). Dalam suasana sekarang, sebenarnya akibat dari air yang diurus oleh pihak swastalah, harga air akan dinaikkan bila kos penyelenggaraan meningkat.

Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan bukannya mengambil keuntungan darinya yang akhirnya rakyat pula ditindas dan dizalimi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa:

“ Kerajaan negeri terbuka merundingkan harga dengan consortium tetapi ia mestilah menguntungkan rakyat. Penswastaan air sekarang tidak menguntungkan rakyat malah membebankan dengan kenaikan tariff yang tinggi,”katanya.

Beliau menegaskan kerajaan Selangor tidak sama sekali akan melakukan perniagaan dalam hal-hal berkaitan keperluan asas rakyat.

“Kita mengutamakan kepentingan rakyat. Sesebuah kerajaan tidak boleh menjalankan perniagaan.Sebaliknya kita mendapat hasil melalui cukai, bukannya berniaga dengan rakyat,” jelasnya.

Diharapkan apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar Selangor benar-benar dilakukan .Pemberian air percuma yang diberikan oleh Negeri Selangor sehingga 20 meter padu setiap bulan merupakan satu tindakan yang wajar untuk meringankan bebanan rakyat. Tetapi sepatutnya dilakukan pemberian air percuma sepenuhnya tetapi perkara ini mungkin tidak boleh dilakukan secara drastik.

Rujukan:

  • Sinar Harian Rabu 22 April 2009
  • Suara Keadilan 21-28 April 2009 m/s 24
  • Nailul Authar “Himpunan Hadists-Hadits Hukum jilid 4 no.1648
  • Fikih Sunnah jilid 12 m/s 83 & 84 oleh Sayid Sabiq
  • E-Book Sistem Masyarakat Islam dalam Al-Quran dan Sunnah “ Melarang Peribadi Untuk Menguasai Barang-Barang Yang Diperlukan Oleh Mayarakat” oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
  • Ekonomi Islam “Dasar dan Amalan” Edisi Kedua oleh Surtahman Kastin Hasan Sanep Ahmad.

 

 

Muhammad Fakhruddin Ismail

Saturday, April 18, 2009

Thursday, April 16, 2009

Hukum Mengucapkan “Alhamdulillah” Setelah Sendawa dan Berta’awwudz Setelah Menguap

Oleh:

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://www.din86.blogspot.com/

 

Topik bid’ah sudah banyak dibahaskan. Maka penulis hanya meringkaskan sahaja maksud sebenar bid’ah. Al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi rahimahullah (790H) dalam kitabnya  yang masyhur berjudul al-I’tishom dimana kebanyakan para pengkaji bersetuju bahawa ta’rif al-Syatibi adalah yang paling tepat.Secara kesimpulannya bid’ah hasanah hanyalah dari segi bahasa bukan pada istilahnya iaitu hanya membabitkan perkara duniawi. Ini yang menyebabkan berlakunya salah faham di kalangan masyarakat tentang istilah bid’ah dengan apa yang dimaksudkan oleh para tokoh tersebut seperti al-Imam al-Syafi’i rahimahumullah (204H) dan al-Imam ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam rahimahullah (660H) adalah jauh berbeza dengan apa yang mereka fahami.

Malah Dr Syeikh Yusof al-Qaradhawi menyatakan bahawa tiada istilah bid’ah hasanah begitu juga pandangan Dr Said Ramadhan al-Buthi. Beliau menyatakan:

Mereka yang membahagikan Bid'ah itu kepada beberapa bahagian seperti al-Nawawi dan selainnya, sesungguhnya mereka itu memaksudkan bid'ah dari sudut bahasa. iaitu mengada-adakan  sesuatu yang baru yang tidak pernah ada sebelumnya. Inilah makna ibda' (bid'ah) dengan maksudnya yang umum. Ia seperti yang dikehendaki di dalam hadis: "Barangsiapa yang menunjukkan satu sunnah yang baik, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya..." Al-Hadis.

Manakala Bid'ah menurut syarak dan istilah, iaitu mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam urusan agama yang tidak wujud sebelumnya. Ia tidak terbahagi kepada hasanah (baik) atau saiyiah (buruk). Bahkan bid'ah dalam agama sentiasa saiyi'ah (buruk). Ini berbetulan dengan sabdaan s.a.w.: "Setiap Bid'ah itu dhalalah..." [1]

Penulis lebih setuju dengan pandangan bahawa tiada istilah bid’ah hasanah. Sebelum itu perlu diperingatkan bahawa bid’ah hanya merangkumi amal ibadah sahaja kerana ulama’ Ahlu sunnah Wal Jama’ah sudah menetapkan kaedah iaitu:

‘Al-Ashlu fil Ibadah al-Haram Illa Ma Dalla ad-Dalil ‘ala Amrihi

Iaitu “hukum asal dari ibadah adalah haram kecuali ada dalil yang memerintahkan”.Berbeza pula dengan kaedah dalam muamalah yakni:

‘Al-Ashlu fil muamalh al-Ibahah Illa ma dalla ad-Dalil ‘ala khilafihi

Iaitu “ hukum asal di dalam muamah adalah boleh kecuali ada dalil yang menyelisihnya”. [2]

Maka dari kaedah tersebut sudah jelas bahawa setiap ibadah adalah dilarang daripada melakukannya melainkan ada dalil yang membolehkannya melainkan dalam urusan hidup manusia seperi jual beli,makan,minum,pakaian dan pelbagai lagi.Jika kita lihat hadis Kullu Bid'ah Dhalalah” tersebut iaitu kalimah “Kullu” (Setiap). Ianya merujuk pada semua bukan sebahagian atau separuh. Kalimah tersebut jika dilihat pada surah Al-Anbiyaa' 35 ,Allah berfirman yang bermaksud:

"Setiap yang berjiwa akan merasakan mati.."

Kalimah kullu pada ayat tersebut hanya mambawa maksud SEMUA yang hidup akan mati. Maka jelas kedudukan kalimah tersebut mempunyai konsep yang sama dengan hadis tersebut. Dari situ kita dapat lihat tiada dua istilah bid’ah dalam masalah tersebut.Ianya merangkumi semua bukan sebahagian. Maka pandangan seperti Dr Syeikh Yusof al-Qaradhawi adalah tepat bagi penulis.

Berbalik pada topik utama tersebut dimana ada pertanyaan terhadap Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin tentang hukum mengucapkan “Alhamdulillah” setelah sendawa dan berta’awwudz setelah menguap. Beliau menyatakan:

Orang awam,bila bersendawa ada yang mengucapkan kalimah ‘alhamdulillah’, padahal tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa sendawa menuntut ucapan hamdalah. Begitu pula bila menguap ada yang mengucapkan, ‘a’udzu billahi minasy syaithanir rajim’. Semua ini tidak ada dalilnya,tidak pernah disebutkan bahawa Nabi SAW melakukan itu. Bila ada yang mengatakan, “Bukankah sendawa itu suatu nikmat, sementara nikmat itu menjadi hak Allah untuk untuk dipuji?” Kami katakana, memang benar itu nikmat,tapi tidak ada contoh seperti itu dari Nabi SAW bahawa beliau meengucapkan hamdalah ketika sendawa. Jika hal itu tidak dicontohkan bererti tidak disyariatkan. Demikian berdasarkan kaedah yang dkenal oleh para ulama, iaitu bahawa segala sesuatu yang ditemukan penyebabnya pada masa Rasulullah SAW, namun beliau tidak melakukannya,maka itu bukan sunnah,kerana perbuatan Rasulullah SAW adalah sunnah. Sementara meninggalkannya( hal yang tidak dilakukan oleh Rasulullah padahal sebabnya ada saat itu) adalah sunnah.Sendawa itu ada pada masa Rasulullah SAW, namun beliau tidak mengucapkan hamdalah.Jadi meninggalkan hamdalah saat sendawa adalah sunnah, begitu pula meninggalkan ta’awwudz ketika menguap.

Mungkin ada yang mengatakan,bahawa Rasulullah SAW telah mengatakan bahawa menguap itu dari syaitan,sementara Allah s.w.t telah berfirman:

“Dan jika syetan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah” [Fushshilat:36]

Kami katakana bahawa yang dimaksudkan dengan ayat (Dan jika syaitan mengganggumu dengan sesuatu gangguan) adalah bila engkau hendak berbuat maksiat atau hendak meninggalkan suatu kewajipan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah, kerana ajakan berbuat keji itu berasal dari syaitan, sebagaimana firmanNya:

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir).”[ Al Baqarah:268]

Jika terjadi gangguan ini maka memohonlah perlindunagn kepada Allah. Adapun tentang, Rasulullah SAW telah bersabda,

“Menguap itu berasal dari syaitan.Maka jika salah seorang kalian menguap, hendaklah menahannya semampunya. Bila tidak mampu,maka hendaklah menutupkan tangannya ke mulutnya” [HR, al-Bukhari,(3289, Muslim(2994,2995).]

Dalam lafaz lain disebutkan”

“…maka hendaklah menutupkan tangannya ke mulutnya”

Beliau tidak mengatakan, ‘bila salah seorang kalian menguap maka hendaklah memohon perlindungan kepada Allah, walaupun beliau mengatakan,”Menguap itu berasal dari syaitan”.Hal ini menunjukkan bahawa memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan syaitan yang terkutuk (mengucapkan ta’awwudz) ketika menguap bukanlah sunnah.[Liqa’ al-Bak al-Mabtuh, 22/23, Syaikh Ibnu Utsaimin] [3]

Rujukan:

  1. Majalah I Disember 2008 “ Perlukah Bicara Sola Bidaah” oleh Ibn Yusof.
  2. Ensiklopedia Bid’ah m/s 366 & 367 “Kumpulan Fatwa: Syaikh Abdul Aziz bin Baz, Lajnah daimah Lil Buhuts al-illmiyah wal Ifta’, Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Syaikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin dan Syaikh Shalih bin Fauzan al-Fauzan.”

Muhammad Fakhruddin Ismail

Wednesday, April 15, 2009

ASAL HUKUM TRANSAKSI KEWANGAN DI BANK ADALAH HARAM

 

Ada pihak yang cuba bermudah-mudah dengan mengambil kaedah fiqh yang menyebut

"Asal semuanya adalah harus selagi tidak dibuktikan haram"

Namun, perlu difahami secara halus kaedah tersebut. Yang paling tepat, kaedah ini sememangnya terpakai tanpa syak lagi buat semua perkara ciptaan Allah swt. Sepeprti hukum makan tupai, apakah hukumnya?..justeru selagi tiada nas yang haram, dan tidak pula memudaratkan. Ia kekal sebagai hukum HARUS DAN HALAL. Demikian aplikasinya.

Namun dalam instrument kewangan moden di bank khususnya, para ulama kontemporari mempunyai pendapat lain. Dr Md Daud Bakar (Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia) pernah menyebut dalam bengkel Muzakarah Cendiakawan Shariah Nusantara, bahawa asal hukum semua transaksi kewangan di bank adalah haram selagi belum dibuktikan halal.

Saya bersetuju seratus peratus dengan pandangan beliau.  Ini kerana instrument kewangan moden di bank dan pelaburan lain kebanyakkannya adalah hasil ciptaan Yahudi dan puak kapitalis yang sentiasa menjadikan riba, gharar dan judi sebagai tapak ciptaan instrument kewangan moden ini.  

Objektif utama mereka bagaimana ingin mencipta lebih banyak wang untuk mereka tanpa mengira kesan kepada orang lain. Pasaranlah yang akan menentukan kesannya kelak.

Hasilnya, adalah amat wajar dan tepat bagi ulama menganggapnya haram selagi belum dibuktikan harus dan halal.

Pengalaman meneliti produk kewangan moden yang wujud hari ini amat tepat bagi membuat keismpulan, amat sukar untuk disah halal sesuatu skim dan produk kewangan itu. Jika ingin menjadikannya halal mesti akan perlukan banyak atau sedikit modifisikasi. Setelah modifikasi barulah ia mampu menjadi harus dan halal.  

Akhirnya, kerana sebab itulah umat Islam wajib menggunakan perkhidmatan bank-bank Islam dan Takaful. Mereka mempunyai pakar Shariah yang ditugaskan memantaunya serta mengambil tanggungjawab didunia dan akhirat.

Sumber:

www.zaharuddin.net - Zalim Bukan Penentu Riba