Showing posts with label Perkahwinan dan Cinta. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan dan Cinta. Show all posts

Wednesday, October 6, 2010

Cinta Praktikal

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

              Cinta praktikal ialah cinta dengan cara yang praktis atau juga boleh dikenali sebagai cinta yang sebetulnya. Penulisan ini bukan khusus pada cinta selepas kahwin tetapi kepada yang sudah terlanjur cinta sebelum kahwin. Batasan cinta sebelum kahwin lebih sukar cabarannya berbanding cinta selepas kahwin. Ini kerana bagi yang bercinta sebelum kahwin mereka terpaksa menjaga batasan-batasan dalam pergaulan, pandangan dan sebagainya supaya tidak tergelincir kelembah dosa dan maksiat. Ia memang sukar untuk dielakkan melainkan diminta petunjuk kepada Allah supaya dihindari daripada melakukan perkara dosa dan maksiat tersebut.

images

Lebih sukar lagi jika percintaan itu berlaku dimana mereka terpaksa berjumpa satu sama lain, terpaksa duduk bersebelahan maka banyaklah pula cabarannya seperti cinta di tempat satu kerja.Perkara itu tidak mustahil boleh berlaku. Dengan duit yang masih belum mencukupi dan karenah Ibu Bapa yang pelbagai menyebabkan sukar untuk meneruskan hajat niat yang suci. Apabila perkara ini berlaku maka perasaan rindu itu sukar dihilangkan. Lebih-lebih lagi apabila kerap pertemuan itu maka semakin kuat dorongan anda untuk mendekatinya kerana rindu itu hanyalah satu tekanan perasaan anda untuk mendekati padanya. Rindu hanya boleh dihilangkan pada perkahwinan sahaja kerana itulah ubat mujarab yang berkesan untuk menghilangkan perasaan tersebut. Rindu memerlukan sentuhan, tanpa sentuhan, rindu tidak dapat dihilangkan kerana sentuhanlah membawa kemanisan rindu . Kemanisan rindu itu hanyalah pada persetubuhan yang sah. Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya: Apabila seseorang kamu melihat seseorang perempuan lalu dia jatuh hati kepadanya, maka hendaklah dia menyetubuhi isterinya. Kerana yang demikian itu akan menghilangkan perasaan (rindu) yang ada dalam dirinya. [Sahih muslim , No.2491].

Jika perasaan rindu itu mula bertapak dihati maka janganlah menyibukkan hati merindui makhluk yang masih tidak halal lagi pada kita. Ini kerana kita sudah meletakkan perasaan itu bukan pada tempatnya.Maka ia memudahkan lagi syaitan menjalankan agendanya untuk mereka yang sudah bercinta supaya lalai daripada mengingati-Nya dan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Jika ia tetap berlaku hendaklah dikawal perasaan kerana islam tidak menyekat perasaan itu tetapi islam mengajar kita untuk mengawal perasaan .

Bagi penulis cinta selepas kahwin adalah lebih manis daripada cinta sebelum kahwin kerana ia dapat menghindari diri daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Ini kerana dosa dan maksiat yang dilakukan sepanjang perhubungan cinta sebelum perkahwinan itu yang akan membawa musibah selepas perkahwinan.

Lihat sahajalah realiti zaman ini berdasarkan petikan akhbar Utusan Malaysia 3 Mac 2009, memaparkan kadar kes perceraian di Malaysia meningkat mendadak mencecah 75,299 kes. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Salah satu sebabnya hilangnya keberkatan dalam perkahwinan tersebut. Ini kerana perkahwinan itu terbina atas dasar maksiat kepada Allah. Maka bagi pasangan yang pernah melakukan dosa dan maksiat sepanjang perhubungan mereka sebelum perkahwinan perlulah bertaubat kepada Allah S.W.T kerana dengan pintu taubat sahaja yang dapat menghapuskan dosa mereka dan dapat mempertahankan bahtera perkahwinan yang dibina itu daripada berlaku penceraian.

Mungkin sesetengah orang sudah merancang untuk bercinta selepas kahwin tetapi kemungkinan apa yang dirancang akan sebaliknya yang berlaku. Jika ia berlaku seperti mana penulis katakan islam tidak menyekat tetapi islam memerintah kita untuk mengawal. Cinta  adalah suatu fitrah manusia yang diberikan oleh Allah Azza wajalla kepada makhluknya. Maka islam tidak menyekat fitrah manusia tetapi islam memerintahkan mereka supaya mengawal daripada terjerumus melakukan dosa dan maksiat.Cinta adalah fitrah yang diberikan oleh Allah kepada makhluknya maka yang patut lebih dicintai ialah Allah kerana Dia yang memberikan manusia cinta,maka Dia yang patut lebih dicintai. Cinta adalah seperti hadiah Allah kepada makhluknya maka bukan hadiah itu kita cintai tetapi kepada pemberinya yang patut dicintai iaitu Allah. Jika hadiah yang dicintai maka kita telah mempertuhankan cinta  bukannya Allah. Jika ia berlaku maka kita telah tersasar daripada landasannya

Cinta tanpa kawalan membawa padah. Mereka seolah berada didalam khayalan dunia yang lain. Hati apabila sudah tertawan itulah yang menyebabkan tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang. Itulah cinta buta. Cinta yang didasari tanpa panduan syariat islam. Cinta ini membuatkan seseorang itu terbang seakan layang-layang, mata bertentangan mata meninggalkan kesan dihati, bila berjauhan seakan dekat dihati.

Cinta berdasarkan peraturan Allah akan membawa natijah yang baik. Mereka tidak perlu berdating, berpegang tangan, berbual telefon, senyuman manis, SMS romantik dan sebagainya. Mungkin ada remaja akan mengeluh dan berkata “ itu bukan cinta namanya. Jika cinta mestilah ada sentuhan tangan, bersms, berbual telefon dan berdating” Ya,itu hanyalah pandangan dari sudut kita tetapi bukan dari pandangan Allah Azza wajalla. Cinta sebelum perkahwinan adalah suatu ujian dan cabaran kepada hambanya. Jika cabaran perasaan itu pun sukar dikawal sehingga melakukan dosa dan maksiat bagaimana pula cabaran tanggungjawab selepas perkahwinan yang jauh lebih besar dan sulit cabarannya daripada sekadar cabaran menolak ajakan nafsu yang berkeinginan berdating, berpegang tangan, bergaul mesra dan sebagainya? Seperti mana juga yang disebut oleh ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya ‘ Aku Terima Nikahnya’ bahawa jangan buktikan jati dirimu selemah itu. Jika menolak zina sudah sampai mencetuskan porak peranda hidupmu, dimanakah kejantananmu untuk memimpin isteri dan anak-anak?

Cinta berdasarkan peraturan Allah lebih baik dan membawa berkat daripada cinta berdasarkan peraturan manusia. Mungkin golongan yang berdating berasa pelik bagi golongan yang tidak berdating. Ya, lihat sahaja ramai manusia yang berbuat demikian maka mengapa mereka tidak berbuat demikian.? Jika pun ramai yang melakukannya tetapi salah disisi islam maka ia tetap salah. Bukan bermakna majoriti yang melakukannya maka ia menjadi benar. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)” [Al-An’aam 116]

_______________________________________________________________________

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail

Thursday, October 22, 2009

Jadikan Cinta Sebagai Tanggungjawab

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Saban tahun kes penceraian semakin meningkat. Bukan sahaja dikalangan masyarakat biasa tetapi yang bergelar ustaz dan ustazah pun sama sahaja. Kebanyakan apa yang dilaporkan diakhbar dan media mereka hanya akan menjawab sudah tiada kesefahaman. Ini sesuatu yang pelik. Bagaimana sebelum berkahwin ada kesefahaman bila sudah berkahwin sudah tiada kesefahaman? Adakah kerana sudah tertipu disebalik perwatakan  pasangan masing-masing? Itulah yang dikatakan “hanya awal perkenalan sahaja nampak adabnya bila berkahwin nampaklah biadapnya.Di depan anda nampaklah sopannya dibelakang anda, syaitanlah jadinya.” Sebab itu islam menganjurkan untuk kita melakukan istikharah dalam memilih pasangan dan apa sahaja urusan.

Jika dilihat masyarakat kini juga tanpa disedari seolah-olah telah mewujudkan suatu fenomena yang baru dalam percintaan dan perkahwinan. Anda boleh lihat sendiri realiti pasangan masa kini.Dahulu (sebelum perkahwinan) apabila bercinta segala-galanya indah sahaja. Sanggup berpegang-pegang tangan,duduk bersama, bersayang-sayang, ucapannya semuanya manis-manis belaka malah dari topik kecil pun boleh jadi panjang-panjang, yang perempuan memakai yang cantik dan berwangi-wangian , yang lelaki rambutnya kemas dan berpakaian yang segak. Biasalah nak tunjuk lawa dihati pasangan. Barulah nampak bercinta namanya.

Apabila perkahwinan sudah menjangkau usianya semuanya sudah hilang entah kemana. Semuanya dengan hal masing-masing. Bagaikan cinta itu sudah tidak ada dihati mereka. Lihat sajalah realiti pasangan yang sudah berkahwin. Masing-masing menjadi pendiam tidak ada gurau senda dan tawa riang lagi. Bila berjalan bersama, yang suami kedepan yang isteri pula dibelakang. Kenapa tidak seperti dulu bersama-sama sambil berpegang -pegang tangan? Dulu sanggup berhias didepan lakinya bila berkahwin kecantikannya hanya untuk orang luar sahaja. Begitu jugalah kepada si lelaki. Inilah suatu fenomena yang diterapkan oleh masyarakat kini seakan “apabila  bertunang biarlah lama, apabila berkahwin biarlah singkat. Sebelum kahwin bagilah cinta , selepas kahwin buanglah cinta.” Inilah realitinya.

clip_image002[1]

Penulis melihat juga ada sebahagian pasangan apabila sudah mendapat cintanya maka ia tidak terkejar-kejar lagi akan cintanya apabila sudah masuk ke alam perkahwinan. Bagi mereka untuk apa lagi mereka terkejar-kejarkan cinta itu? Apabila mereka  sudah dapat apa yang dikehendaki selama ini iaitu pasangannya , maka apabila sudah berkahwin tanpa disedari mereka telah mewujudkan suatu dalam proses perkahwinan itu seolah-olah tanggungjawab dalam memberi nafkah itu hanya dalam lingkungan perkara-perkara skop itu sahaja iaitu bekerja memberi nafkah dan seks. Jika ada layanan pun ia bukanlah layanan mesra lagi seperti mana pasangan yang bercinta. Kebanyakannya berlaku kepada pasangan yang kesibukan dalam kerjaya masing-masing. Jika ia berlarutan ia boleh mengakibatkan perasaan cinta terhadap suami dan isteri akan pudar. Jika cinta sudah pudar maka wujudlah sifat-sifat yang buruk pada pasangan masing-masing seperti tiada sifat toleransi, bertengkar,tiada kesefahaman, bermasam muka dan sebagainya. Ia boleh berlaku  apabila mereka tidak menjadikan cinta itu sebagai suatu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan iaitu tidak mencurahkan cinta itu kepada pasanganya sendiri. Ini kerana cinta itu juga termasuk dalam dua kategori iaitu nafkah zahir dan batin.

Lebih mendukacitakan lagi seakan tanggungjawab mewujudkan dan memelihara cinta itu hanya dilakukan sebelum perkahwinan. Ini jelas apabila kita boleh lihat sendiri realiti pasangan-pasangan yang bermaksiat sana sini. Semuanya indah-indah belaka bagi mereka. Mereka akan merasakan bahawa pasangannya seorang yang baik, bertanggungjawab, ada tolak ansur dan sebagainya malah sanggup melakukan apa sahaja demi pasangan yang tercinta. Ini kerana wujudnya cinta antara meraka. Tetapi apabila sudah masuk ke alam perkahwinan tidak sampai beberapa bulan sahaja cinta itu seakan tidak wujud lagi.

Maka dari situlah penulis berpandangan setiap pasangan suami isteri perlulah memperbaharui cinta itu semula. Bercintalah berkali-kali. Dapatkanlah cinta suami, Dapatkanlah cinta isteri Jangan jadikannya luput dihati anda. Ia seperti mana juga anda mengejar cinta pasangan yang anda sukai. Sudah tentu  anda akan menunjukkan bahawa diri anda itu baik, romantik dan bertanggungjawab untuk dirinya maka ia lebih penting lagi apabila masuk kedalam alam perkahwinan, maka anda perlu juga membuktikan dan menunjukkan sikap sedemikian kepada pasangan. Walaupun asalnya anda bukanlah jenis manusia yang bersifat sedemikian tetapi sebagai suatu tanggungjawab yang wajib dalam memelihara cinta anda perlu melakukannya. Jika tidak terbongkarlah kesemua watak-watak buruk anda yang berselimut selama ini dan  ia boleh membawa kepada keretakan rumah tangga anda sendiri. Jika sifat terpuji itu selalu dilakukan dan ditanamkan pada diri sendiri maka akan menjadi suatu kebiasaan bagi anda untuk melakukannya. Ia mungkin dari awal itu seolah-olah anda merasakan sudah tidak berlaku jujur kepada pasangan tetapi demi mewujudkan kasih sayang dan kebahagian rumah tangga itu maka islam membenarkannya.

Berkata Ummu Kultsum:

"Tidak pernah aku mendengar dari Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam memberi keringanan untuk berbohong kecuali pada tiga perkara. Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: 'Tidaklah aku anggap seorang itu berbohong apabila bertujuan mendamaikan di antara manusia, berkata sebuah perkataan tiada lain kecuali untuk perdamaian; orang yang bohong ketika dalam peperangan; dan suami yang berbohong kepada isterinya atau isteri yang berbohong kepada suaminya.;" (HR. Abu Dawud no. 4921, dishahihkan oleh al-Albani dalam ash-Shahihah no. 54).

Imam Nawawi menjelaskan:

"Adapun bohong kepada isteri, atau isteri bohong kepada suami, maka yang diinginkan adalah menampakkan kasih sayang dan janji yang tidak mengikat. Adapun bohong yang tujuannya menipu dengan menahan apa yang wajib ditunaikan atau mengambil yang bukan haknya, maka hal itu diharamkan menurut kesepakatan kaum muslimin." (Syarah Shahih Muslim, 16/121).

Sebagai contoh lain seperti sesuatu hadiah istemewa yang diberikan oleh suami atau isteri anda. Walaupun anda tidak menyukai hadiah tersebut, janganlah anda  tunjukkan dengan tindakan yang boleh  menyebabkan suami atau isteri anda kecewa dan terus terang mengatakan anda tidak menyukai tetapi tunjukkanlah dengan tindakan atau ucapkanlah bahawa anda memang menyukai hadiah itu.Ia mungkin nampak tidak jujur tetapi dibenarkan dalam islam seperti mana yang dikatakan oleh Imam Nawawi iaitu supaya menampakkan kasih sayang. Perlu diketahui berbohong antara suami dan isteri itu  bukanlah dengan sewenang-wenangnya tetapi dalam skop dan situasi tertentu sahaja.

Maka setiap pasangan perlulah ditanamkan pada diri masing-masing akan tanggungjawab dalam  memelihara cinta itu. Apabila balik sahaja dari kerja jangan masukkan segala tekanan kerja itu dalam diri anda tetapi wujudkanlah perasaan cinta itu terhadap pasangan anda. Ini dapat mengukuhkan lagi proses perkahwinan itu walaupun ia sudah menjangkau beberapa usia. Ini kerana dari cinta boleh melahirkan dan mewujudkan perasaan kasih sayang antara suami dan isteri, bersikap bertanggungjawab, bersikap sabar dan mempunyai pandangan positif terhadap pasangan. Jika pasangan jadikan cinta itu sebagai satu tanggungjawab maka anda boleh melihat sendiri sehingga keperingkat sudah berusia pun cinta pasangan anda itu akan masih kekal. Kalimat-kalimat cinta seperti “I love you” dan tindakan-tindakan yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang muda sahaja akan anda lakukannya bila sudah anda berusia. Mungkin kalimat  dan tindakan itu biasa sahaja tetapi apabila cinta itu masih wujud maka kalimat-kalimat dan tindakan yang dilakukan oleh pasangan anda itu akan menjadi romantik,luar biasa dan mempunyai kesan yang mendalam.

Perlu diingat kita mencintai seseorang itu kerana Allah. Jika kita mencintai seseorang itu, maka nyatakanlah cinta kepadanya. Begitulah juga dalam perhubungan suami isteri, nyatakanlah cinta anda itu.

Dari Anas r.a, bahawasanya ada seorang sahabat duduk di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian ada seseorang yang melintasi tempat itu. Berkata sahabat yang sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w: “ Wahai Rasulullah, saya mencintai orang itu.” Maka Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah kamu sudah memberitahunya?” Ia menjawab: “Belum.” Rasulullah bersabda, Beritahulah kepadanya.Dia pergi menemui sahabatnya itu dan berkata: “Sesungguhnya aku mencintai kamu kerana Allah.” Sahabat itu membalas: “ Semoga kamu juga dicintai oleh Allah yang menjadikan kamu mencintaiku kerana-Nya.” (H.R. Abu Daud: Sahih)

Maka tidak salah melafazkan cinta kepada pasangan yang disukai tetapi janganlah proses dalam perkenalan itu terlalu lama kerana ia boleh membawa kepada unsur-unsur maksiat dan hilangnya keberkatan. Ini kerana apabila unsur maksiat dalam perkenalan itu sudah bertapak maka secara tidak langsung anda telah mewujudkan cinta yang suci itu kedalam perkara yang dilarang dalam islam. Berlainan bagi pasangan suami dan isteri yang menjadikan cinta itu setelah masuk ke alam perkahwinan. Maka dari situ akan lahirlah keberkatan dalam kehidupan mereka.

Seperti yang penulis nyatakan bahawa cinta boleh melahirkan pandangan positif dan sabar terhadap pasangan masing-masing. Pasangan yang bercinta apabila wujudnya sifat-sifat yang buruk atau kurang disenangi pada diri seseorang pasangan itu, maka perasaan cinta itu hanya memfokuskan pada sifat-sifat yang baik sahaja. Secara tidak langsung sifat-sifat yang buruk seolah-olah tidak kelihatan pada diri pasangan tersebut. Dia mengetahui sikap buruk pasangannya tapi cinta itu dapat menghalangi pandangan yang negatif tersebut. Sebab itu islam memerintahkan kepada suami supaya bergaul kepada isterinya dengan cara yang baik dan jika tidak menyukai sesuatu sikapnya maka hendaklah bersabar. Ini kerana sabar itu dapat menghalangi suami daripada melakukan tindakan dan ungkapan yang tidak baik terhadap isteri. Pergaulan yang baik lahir daripada perasaan cinta dan kerana cinta itu juga seseorang dapat memupuk sifat sabar terhadap pasangan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [An Nisaa': 4]

Juga sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain.” [ Sahih Muslim no:1469]

Dalil ini memerintahkan suami agar bersabar jika mendapati isterinya melakukan sesuatu tidak baik. Hendaklah mencari sifat dan tabiat isteri yang positif dan berusaha melenyapkan pandangan negatif yang ada pada si isteri.  Ini kerana suami adalah pemimpin dalam rumah tangga Tetapi ia tidak terkecuali juga kepada seorang isteri. Isteri yang solehah perlulah selalu menyenangkan suami dengan semua potensi dan daya tarik yang dimilikinya.

Maka nasihat penulis tanamkanlah dan jadikanlah cinta itu sebagai suatu tanggungjawab yang wajib bagi sesiapa yang ingin mendirikan rumah tangga dan yang paling penting jagalah hubungan kita dengan Allah S.W.T seperti mendirikan solat, puasa dan sebagainya. Jika hubungan dengan Allah baik maka hubungan dengan pasangan juga akan baik dan Insya-Allah perkahwinan anda akan kekal sehingga ke akhir hayat.

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail

Friday, July 3, 2009

Adat Kolot Dijunjung, Dosa Anak Bergelumang

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Artikel ini telah ditulis oleh penulis diblog pertama iaitu Addean's  Web Blog pada bulan yang lalu. Dicadangkan untuk pembacaan.

Apabila bermulanya alam remaja, maka berlakulah keinginan untuk berpasangan dan meneruskan hubungan hingga ke alam perkahwinan. Perubahan masa dan zaman menyebabkan berlakunya adat-adat yang pelbagai. Apabila adat dilaksanakan , maka membawa kesan kepada masyarakat jumud dalam pemikiran. Dari adatlah, penyebab punca kesukaran dalam urusan perkahwinan.Adatlah ramai umat Islam terutamanya ibu bapa yang menjadikan masalah perkahwinan syari’ sebagai suatu hal yang sangat sukar dan payah, sehingga menyebabkan anak-anak mereka melakukan maksiat di dalam masyarakat. Maka bagi yang ingin berkahwin terpaksa berfikir berpuluh kali untuk melaksanakan perkahwinan. Mereka memerlukan berpuluh-puluh ribu ringgit hanya untuk perkahwinan saja itupun dengan hanya jalan hutang dan ditambah lagi hutang PTPTN dan bermacam-macam lagi hutang seolah-olah berhutanglah jalan penyelesaian terbaik. Akhirnya hidup hanya dengan maksiat bagi manusia yang lemah iman dan lemah akal pemikiran, maka mudahlah mereka dihanyutkan oleh arus hedonisme dan liberalisme.

Adakah ibu bapa tidak berasa bersalah dan membiarkan anak-anak mereka hidup diselubungi budaya maksiat seperti coupling" (berpacaran) dan "sex before marriage" (seks sebelum nikah) kerana dengan maksiatlah kemungkinan akan mendapat pasangan yang sama taraf dengan sikapnya?

Dan Firman Allah:

Wanita-wanita yang jahat adalah untuk laki-laki yang jahat, dan laki-laki yang jahat untuk wanita-wanita yang jahat; dan (sebaliknya) wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. [al-Nur 24:26] .

Ibu bapa perlu bertanggungjawab jika membiarkan mereka hidup sedemikian.

Rasulullah (SAW) bersabda:

“Cukup berdosa bagi jika dia mengabaikan mereka yang diwajibkan menanggung [Riwayat Abu Daud, 1692; di anggap hasan oleh Shaykh al-Albaani dalam Saheeh al-Jaami’, 4481].

Sepatutnya ibu bapa perlu membantu mereka daripada perkara tersebut. Patutkah mereka berhutang disebabkan ingin melaksanakan tuntutan syarak sedangkan perkara tersebut boleh dipermudahkan mengikut kemampuan mereka dalam hal perkahwinan supaya menepati roh syariat yang dituntut oleh agama.

Rasulullah bersabda:

“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah kamu, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” [Riwayat al-Bukhari].

Hanya perkahwinan sajalah yang membebaskan tanggungjawab ibu bapa dalam perkara tersabut.Jangan kita menjadikan konsep seolah-olah berzina lebih mudah daripada berkahwin. Jika masyarakat hari ini menyusahkan perkara yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi roh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Majlis Perkahwinan

Janganlah disebabkan mementingkan status nama keluarga majlis perkahwinan yang sepatutnya dilakukan sekadar kemampuan tetapi bertukar dengan berlebih-lebihan dan memaksakan diri. Jarang sekali mereka yang mengadakan pesta perkahwinan itu dengan sederhana sahaja. Di antaranya mereka berlebih-lebihan dalam perkara yang hanya berstatus harus (mubah)  sahaja. Mereka perluas ruangnya dan sehingga  berlebih-lebihan, melebihi cara yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain. Seharusnya umat Islam mempermudahkan amalan tradisi yang menyebabkan pesta-pesta perkahwinan mereka itu hanya penuh dengan nafsu makan, riya’ dan perbuatan- dan tidak bererti itu.Contohilah isteri dan anak-anak nabi SAW berkahwin , dengan suatu majlis yang tidak memberat-beratkan diri dan tidak berhutang.

Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah suri taladan yang baik” [Al-Ahzab:21].

Maka perintahkanlah anak-anak kita melaksanakan sekadar keperluan saja seperti mana Nabi SAW dan sahabat melakukannya

.Dari Anas berkata:Nabi SAW singgah disatu tempat diantara Khaibar dan Madinah selama 3 hari bersama Syafiah. Lalu aku mengundang orang-orang muslim menghadiri walimah baginda, tanpa ada hidangan roti dan daging, lalu baginda memerintah mengelar kulit, lalu ada yang meletakkan kurma, keju dan samin [Bukhari dan Muslim].Dalam ertikata lain, buatlah apa-apa saja makanan yang halal asalkan ada walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan.

clip_image002

Mahar

Dalam persoalan mahar dan hantaran adalah hak isteri dalam menentukan maharnya bukan si bapa. Dalam masyarakat kita, hantaran adalah paling tinggi daripada mahar. Sewajarnya hantaran dimasukkan terus kedalam mahar sebagai contoh RM2000 ke atas( berdasarkan tahap pendidikan) dan secara tidak langsung menjadi hak mutlak isteri yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Malah suami dan isteri boleh memanfaatkan mahar tersebut bersama-sama. Kebanyakan kes apabila hantaran suami yang beribu ringgit tidak dijadikan mahar maka si bapalah yang akan mengambil dan duit tersebut digunakan untuk membeli lembu dan dijadikan kenduri kahwin dan mahar hanya beratus ringgit saja diberi kepada isteri. Ini tidak wajar berlaku. Mahar pula diberikan pada isteri berdasarkan kemampuan lelaki tersebut supaya menepati syara’. Ini berdasarkan pada sabda Rasulullah SAW:

Dari Aisyah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Nikah yang paling besar barokahnya itu adalah yang murah maharnya.” (HR Ahmad 6/145) .Dalam hadis yang lain

Rasulullah bersabda :

“Sebaik-baik Mahar adalah yang paling mudah (mengikut kemampuan)” [Hadith Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi]. Nabi juga pernah bersabda kepada seseorang yang ingin berkahwin, katanya :-

“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi” [Hadith Muttafaq 'Alaih]

Dari hadith diatas, kemuliaan seseorang wanita bukanlah terletak kepada mahar yang mahal dan yang membebankan, seolah-olah disana mereka berbangga dengannya (seperti menjual anak perempuan mereka). [al-Fiqh al-Manhaji, 2/82].Jika kita menetapkan mahar yang berlebihan diluar kemampuan suami ,sesungguhnya ia sudah menyalahi ajaran syara’ .

Anjuran untuk memperkecilkan bilangan mahar ini merupakan kemudahan sehingga para pemuda boleh segera menikahi tanpa harus tertunda karena masalah harta. Setelah mahar diberikan kepada isteri, maka mahar menjadi hak mutlak isteri sepenuhnya. Akan tetapi, suami dan isteri boleh memanfaatkan mahar tersebut bersama-sama.

Allah berfirman :

Berikanlah kepada para wanita (yang kalian nikahi) mahar (mas kawin)-nya sebagai pemberian yang disertai dengan kerelaan. Kemudian, jika mereka memberikan sebagiannya kepada kalian dengan senang hati, kalian boleh memakannya (sebagai makanan) yang sedap dan bermanfaat. (QS an-Nisâ’ [4]: 4).

Ijab dan Qabul

Dalam artikel Dr Asri Zainul Abidin ( Bekas Mufti Perlis) bertajuk “Apabila Zina Lebih Mudah Kahwin” ada menyebut permasalahan ijab. Beliau mengatakan apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:

“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Sebab dan Cadangan

Jika para ibu bapa mempunyai tahap kepercayaan yang begitu tinggi kepada anak-anak mereka, itu adalah sesuatu yang baik. Namun, sangkaan yang baik semata-mata tidak cukup. Mereka perlu memahami realiti, anak-anak itu tinggal jauh di mata. Suasana persekitaran tidak membantu. Tarikan naluri orang muda adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, hatta di kalangan siswa dan siswi institusi pengajian berorientasikan agama. Jikalaulah mereka sudah mempunyai perubahan pada tingkah laku dan perlakuan seharian, maka selidikilah. Jika mereka sudah mempunyai pasangan, berbuallah mereka dengan cara yang matang dan rasional. Ingatlah, mereka sudah besar, mereka ingin dilayan seperti orang dewasa juga. Kadar intelektual mereka perlulah dihargai. Gunakanlah cara sehikmah yang mungkin untuk melakukan "penyelidikan" terhadap anak-anak muda.

Ibu bapa perlu ingat anak-anak mereka bukanlah anak-anak kecil lagi.Tidak perlulah membuat keputusan melulu jika mereka ingin berkahwin. Ada sesetengah ibu bapa yang langsung mencemuh, memperlekehkan dan terus menutup peluang untuk anak-anak mereka bersuara. "Dah gatal!", "Belajar dulu!", "Dah tak tahan lagi!", "Awak tu muda lagi!", "Janganlah hampakan harapan mak!" dan pelbagai ayat yang berbentuk cemuhan, prejudis dan juga mematikan hujah tidak akan membantu. Sekali lagi perlu diingat, mereka bukan lagi anak-anak kecil.

Kebanyakan ibu bapa yang risau kemungkinan mengenai prestasi pembelajaran anak-anak yang bakal merudum selepas perkahwinan. Mungkin juga ada di antara ibu bapa yang begitu skeptik dan merasakan bahawa anak-anak mereka tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran selepas perkahwinan. Sesuatu yang biasa juga bagi ibu bapa yang mengandaikan seribu satu andaian liar. Bagi yang mempunyai anak-anak perempuan, maka mereka akan terfikirkan, Bagaimanakah nanti anak-anak mereka akan dapat membahagikan masa untuk pelajaran dan melayan suami, Mereka juga terfikir, bagaimana pulakah jika anak mereka mengandung?, melahirkan anak? .

Seperti mana yang dicadangkan oleh ustaz Mazlee Malik tentang “nikah khitbah”. Beliau mengatakan “Hayat para pelajar di IPT tidak patut disia-siakan. Waktu yang mereka habiskan untuk berpacaran dan juga melayan lamunan, akan lebih terjaga jika mereka telah bernikah. Segalanya akan menjadi halal, dan masa tidak akan terbuang sia-sia. Segalanya mendapat keberkatan, dan tiada kerungsingan dan juga ketidak tentuan perasaan. Jika persoalan natijah selepas pernikahan yang menjadi persoalannya, maka solusi "nikah khitbah" telah dicadangkan. Mudah sahaja, selama hayat mereka di IPT, mereka tidak perlu mengandung, tidak perlu melahirkan anak, tidak perlu untuk tinggal di dalam sebuah rumah yang khusus, dan tidak perlu menjalani kehidupan seperti pasangan suami-isteri yang mempunyai pekerjaan tetap. Mereka hidup sebagai suami isteri di dalam segala keterbatasan yang ada, yang penting hubungan tersebut halal dan mereka tidak melakukan maksiat.”[Petikan ini diambil dari artikel Ustaz Mazlee Malik pensyarah UIA].

Janji Allah

Sebagian para pemuda ada yang merasa resah dan bimbang untuk bernikah. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan tetap. Dan anehnya apabila sudah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang. Sebahagian mereka merasa ragu dengan gaji yang didapatinya. Mereka merasakan gaji mereka tidak mencukupi untuk menampung apabila berkeluarga. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.

Allah Maha Adil, bila tanggungjawab para suami bertambah dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di masyarakat, banyak mereka yang miskin dan tidak punyai apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberikannya rezeki yang berlimpah dan mencukupi untuk keperluan keluarga?.

Allah berfirman:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32) dan

Rasulullah SAW bersabda:

“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, yaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasa’i, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)

Ini adalah janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah niscaya akan diperkenankan-Nya dan orang yang menikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah SAW dalam hadits ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

Selain itu kita perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia dan perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga melakukan apa yang diharamkan Allah, dan lain-lain. Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum memberi salam. Namun, ramai yang tidak melakukannya. Padahal di situ antara waktu mustajabnya doa.

Sabda Nabi SAW:

“Paling dekat hamba dengan Tuhannya ialah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.”[ Riwayat Muslim]

Nabi SAW memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

“ Berdoalah, pasti mustajab; mintalah, pasti akan diberikan.” [Riwayat an-Nasai, sanadnya sahih] Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

“ Berdoalah kamu kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa” [ Riwayat at-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani].

Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus dipegang oleh setiap umat islam.

Jadi, kenapa anda ragu dengan janji Allah?

 

Muhammad Fakhruddin Ismail