Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Saban tahun kes penceraian semakin meningkat. Bukan sahaja dikalangan masyarakat biasa tetapi yang bergelar ustaz dan ustazah pun sama sahaja. Kebanyakan apa yang dilaporkan diakhbar dan media mereka hanya akan menjawab sudah tiada kesefahaman. Ini sesuatu yang pelik. Bagaimana sebelum berkahwin ada kesefahaman bila sudah berkahwin sudah tiada kesefahaman? Adakah kerana sudah tertipu disebalik perwatakan pasangan masing-masing? Itulah yang dikatakan “hanya awal perkenalan sahaja nampak adabnya bila berkahwin nampaklah biadapnya.Di depan anda nampaklah sopannya dibelakang anda, syaitanlah jadinya.” Sebab itu islam menganjurkan untuk kita melakukan istikharah dalam memilih pasangan dan apa sahaja urusan.
Jika dilihat masyarakat kini juga tanpa disedari seolah-olah telah mewujudkan suatu fenomena yang baru dalam percintaan dan perkahwinan. Anda boleh lihat sendiri realiti pasangan masa kini.Dahulu (sebelum perkahwinan) apabila bercinta segala-galanya indah sahaja. Sanggup berpegang-pegang tangan,duduk bersama, bersayang-sayang, ucapannya semuanya manis-manis belaka malah dari topik kecil pun boleh jadi panjang-panjang, yang perempuan memakai yang cantik dan berwangi-wangian , yang lelaki rambutnya kemas dan berpakaian yang segak. Biasalah nak tunjuk lawa dihati pasangan. Barulah nampak bercinta namanya.
Apabila perkahwinan sudah menjangkau usianya semuanya sudah hilang entah kemana. Semuanya dengan hal masing-masing. Bagaikan cinta itu sudah tidak ada dihati mereka. Lihat sajalah realiti pasangan yang sudah berkahwin. Masing-masing menjadi pendiam tidak ada gurau senda dan tawa riang lagi. Bila berjalan bersama, yang suami kedepan yang isteri pula dibelakang. Kenapa tidak seperti dulu bersama-sama sambil berpegang -pegang tangan? Dulu sanggup berhias didepan lakinya bila berkahwin kecantikannya hanya untuk orang luar sahaja. Begitu jugalah kepada si lelaki. Inilah suatu fenomena yang diterapkan oleh masyarakat kini seakan “apabila bertunang biarlah lama, apabila berkahwin biarlah singkat. Sebelum kahwin bagilah cinta , selepas kahwin buanglah cinta.” Inilah realitinya.
Penulis melihat juga ada sebahagian pasangan apabila sudah mendapat cintanya maka ia tidak terkejar-kejar lagi akan cintanya apabila sudah masuk ke alam perkahwinan. Bagi mereka untuk apa lagi mereka terkejar-kejarkan cinta itu? Apabila mereka sudah dapat apa yang dikehendaki selama ini iaitu pasangannya , maka apabila sudah berkahwin tanpa disedari mereka telah mewujudkan suatu dalam proses perkahwinan itu seolah-olah tanggungjawab dalam memberi nafkah itu hanya dalam lingkungan perkara-perkara skop itu sahaja iaitu bekerja memberi nafkah dan seks. Jika ada layanan pun ia bukanlah layanan mesra lagi seperti mana pasangan yang bercinta. Kebanyakannya berlaku kepada pasangan yang kesibukan dalam kerjaya masing-masing. Jika ia berlarutan ia boleh mengakibatkan perasaan cinta terhadap suami dan isteri akan pudar. Jika cinta sudah pudar maka wujudlah sifat-sifat yang buruk pada pasangan masing-masing seperti tiada sifat toleransi, bertengkar,tiada kesefahaman, bermasam muka dan sebagainya. Ia boleh berlaku apabila mereka tidak menjadikan cinta itu sebagai suatu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan iaitu tidak mencurahkan cinta itu kepada pasanganya sendiri. Ini kerana cinta itu juga termasuk dalam dua kategori iaitu nafkah zahir dan batin.
Lebih mendukacitakan lagi seakan tanggungjawab mewujudkan dan memelihara cinta itu hanya dilakukan sebelum perkahwinan. Ini jelas apabila kita boleh lihat sendiri realiti pasangan-pasangan yang bermaksiat sana sini. Semuanya indah-indah belaka bagi mereka. Mereka akan merasakan bahawa pasangannya seorang yang baik, bertanggungjawab, ada tolak ansur dan sebagainya malah sanggup melakukan apa sahaja demi pasangan yang tercinta. Ini kerana wujudnya cinta antara meraka. Tetapi apabila sudah masuk ke alam perkahwinan tidak sampai beberapa bulan sahaja cinta itu seakan tidak wujud lagi.
Maka dari situlah penulis berpandangan setiap pasangan suami isteri perlulah memperbaharui cinta itu semula. Bercintalah berkali-kali. Dapatkanlah cinta suami, Dapatkanlah cinta isteri Jangan jadikannya luput dihati anda. Ia seperti mana juga anda mengejar cinta pasangan yang anda sukai. Sudah tentu anda akan menunjukkan bahawa diri anda itu baik, romantik dan bertanggungjawab untuk dirinya maka ia lebih penting lagi apabila masuk kedalam alam perkahwinan, maka anda perlu juga membuktikan dan menunjukkan sikap sedemikian kepada pasangan. Walaupun asalnya anda bukanlah jenis manusia yang bersifat sedemikian tetapi sebagai suatu tanggungjawab yang wajib dalam memelihara cinta anda perlu melakukannya. Jika tidak terbongkarlah kesemua watak-watak buruk anda yang berselimut selama ini dan ia boleh membawa kepada keretakan rumah tangga anda sendiri. Jika sifat terpuji itu selalu dilakukan dan ditanamkan pada diri sendiri maka akan menjadi suatu kebiasaan bagi anda untuk melakukannya. Ia mungkin dari awal itu seolah-olah anda merasakan sudah tidak berlaku jujur kepada pasangan tetapi demi mewujudkan kasih sayang dan kebahagian rumah tangga itu maka islam membenarkannya.
Berkata Ummu Kultsum:
"Tidak pernah aku mendengar dari Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam memberi keringanan untuk berbohong kecuali pada tiga perkara. Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: 'Tidaklah aku anggap seorang itu berbohong apabila bertujuan mendamaikan di antara manusia, berkata sebuah perkataan tiada lain kecuali untuk perdamaian; orang yang bohong ketika dalam peperangan; dan suami yang berbohong kepada isterinya atau isteri yang berbohong kepada suaminya.;" (HR. Abu Dawud no. 4921, dishahihkan oleh al-Albani dalam ash-Shahihah no. 54).
Imam Nawawi menjelaskan:
"Adapun bohong kepada isteri, atau isteri bohong kepada suami, maka yang diinginkan adalah menampakkan kasih sayang dan janji yang tidak mengikat. Adapun bohong yang tujuannya menipu dengan menahan apa yang wajib ditunaikan atau mengambil yang bukan haknya, maka hal itu diharamkan menurut kesepakatan kaum muslimin." (Syarah Shahih Muslim, 16/121).
Sebagai contoh lain seperti sesuatu hadiah istemewa yang diberikan oleh suami atau isteri anda. Walaupun anda tidak menyukai hadiah tersebut, janganlah anda tunjukkan dengan tindakan yang boleh menyebabkan suami atau isteri anda kecewa dan terus terang mengatakan anda tidak menyukai tetapi tunjukkanlah dengan tindakan atau ucapkanlah bahawa anda memang menyukai hadiah itu.Ia mungkin nampak tidak jujur tetapi dibenarkan dalam islam seperti mana yang dikatakan oleh Imam Nawawi iaitu supaya menampakkan kasih sayang. Perlu diketahui berbohong antara suami dan isteri itu bukanlah dengan sewenang-wenangnya tetapi dalam skop dan situasi tertentu sahaja.
Maka setiap pasangan perlulah ditanamkan pada diri masing-masing akan tanggungjawab dalam memelihara cinta itu. Apabila balik sahaja dari kerja jangan masukkan segala tekanan kerja itu dalam diri anda tetapi wujudkanlah perasaan cinta itu terhadap pasangan anda. Ini dapat mengukuhkan lagi proses perkahwinan itu walaupun ia sudah menjangkau beberapa usia. Ini kerana dari cinta boleh melahirkan dan mewujudkan perasaan kasih sayang antara suami dan isteri, bersikap bertanggungjawab, bersikap sabar dan mempunyai pandangan positif terhadap pasangan. Jika pasangan jadikan cinta itu sebagai satu tanggungjawab maka anda boleh melihat sendiri sehingga keperingkat sudah berusia pun cinta pasangan anda itu akan masih kekal. Kalimat-kalimat cinta seperti “I love you” dan tindakan-tindakan yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang muda sahaja akan anda lakukannya bila sudah anda berusia. Mungkin kalimat dan tindakan itu biasa sahaja tetapi apabila cinta itu masih wujud maka kalimat-kalimat dan tindakan yang dilakukan oleh pasangan anda itu akan menjadi romantik,luar biasa dan mempunyai kesan yang mendalam.
Perlu diingat kita mencintai seseorang itu kerana Allah. Jika kita mencintai seseorang itu, maka nyatakanlah cinta kepadanya. Begitulah juga dalam perhubungan suami isteri, nyatakanlah cinta anda itu.
Dari Anas r.a, bahawasanya ada seorang sahabat duduk di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian ada seseorang yang melintasi tempat itu. Berkata sahabat yang sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w: “ Wahai Rasulullah, saya mencintai orang itu.” Maka Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah kamu sudah memberitahunya?” Ia menjawab: “Belum.” Rasulullah bersabda, Beritahulah kepadanya.Dia pergi menemui sahabatnya itu dan berkata: “Sesungguhnya aku mencintai kamu kerana Allah.” Sahabat itu membalas: “ Semoga kamu juga dicintai oleh Allah yang menjadikan kamu mencintaiku kerana-Nya.” (H.R. Abu Daud: Sahih)
Maka tidak salah melafazkan cinta kepada pasangan yang disukai tetapi janganlah proses dalam perkenalan itu terlalu lama kerana ia boleh membawa kepada unsur-unsur maksiat dan hilangnya keberkatan. Ini kerana apabila unsur maksiat dalam perkenalan itu sudah bertapak maka secara tidak langsung anda telah mewujudkan cinta yang suci itu kedalam perkara yang dilarang dalam islam. Berlainan bagi pasangan suami dan isteri yang menjadikan cinta itu setelah masuk ke alam perkahwinan. Maka dari situ akan lahirlah keberkatan dalam kehidupan mereka.
Seperti yang penulis nyatakan bahawa cinta boleh melahirkan pandangan positif dan sabar terhadap pasangan masing-masing. Pasangan yang bercinta apabila wujudnya sifat-sifat yang buruk atau kurang disenangi pada diri seseorang pasangan itu, maka perasaan cinta itu hanya memfokuskan pada sifat-sifat yang baik sahaja. Secara tidak langsung sifat-sifat yang buruk seolah-olah tidak kelihatan pada diri pasangan tersebut. Dia mengetahui sikap buruk pasangannya tapi cinta itu dapat menghalangi pandangan yang negatif tersebut. Sebab itu islam memerintahkan kepada suami supaya bergaul kepada isterinya dengan cara yang baik dan jika tidak menyukai sesuatu sikapnya maka hendaklah bersabar. Ini kerana sabar itu dapat menghalangi suami daripada melakukan tindakan dan ungkapan yang tidak baik terhadap isteri. Pergaulan yang baik lahir daripada perasaan cinta dan kerana cinta itu juga seseorang dapat memupuk sifat sabar terhadap pasangan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [An Nisaa': 4]
Juga sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain.” [ Sahih Muslim no:1469]
Dalil ini memerintahkan suami agar bersabar jika mendapati isterinya melakukan sesuatu tidak baik. Hendaklah mencari sifat dan tabiat isteri yang positif dan berusaha melenyapkan pandangan negatif yang ada pada si isteri. Ini kerana suami adalah pemimpin dalam rumah tangga Tetapi ia tidak terkecuali juga kepada seorang isteri. Isteri yang solehah perlulah selalu menyenangkan suami dengan semua potensi dan daya tarik yang dimilikinya.
Maka nasihat penulis tanamkanlah dan jadikanlah cinta itu sebagai suatu tanggungjawab yang wajib bagi sesiapa yang ingin mendirikan rumah tangga dan yang paling penting jagalah hubungan kita dengan Allah S.W.T seperti mendirikan solat, puasa dan sebagainya. Jika hubungan dengan Allah baik maka hubungan dengan pasangan juga akan baik dan Insya-Allah perkahwinan anda akan kekal sehingga ke akhir hayat.
Wallahua'lam
Muhammad Fakhruddin Ismail
No comments:
Post a Comment