Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Fiqh Waqi’ diwujudkan untuk mengetahui hakikat realiti kaum muslimin masa kini, dan permasalahan-permasalahan yang timbul agar dapat membentuk dan melahirkan nilai-nilai yang positif. Maka setiap fatwa akan sentiasa berbeza mengikut masa, keadaan dan zaman.
Apabila sesuatu fatwa dikeluarkan berkenaan politik tanpa melihat kepada realiti sebenarnya, maka ia telah menyalahgunakan syariat dan secara realitinya hukum tersebut akan tersasar dari roh syariat . Maka dalam rumusan tersebut biasanya akan mengelirukan masyarakat malah akan secara tidak langsung memperketat dan mempersulitkan sesuatu pemasalahan yang sebenarnya diperbolehkan dan diperluaskan oleh Allah s.w.t.
Ini kerana apabila penetapan hukum syar’i dan pengambilan dalil tersebut walaupun kelihatan benar tetapi penetapan hukum tersebut apabila tidak direalisasikan pada sudut realitinya maka ia terpesong dari kebenaran.Bukan maksudnya bererti hukum itu tunduk kepada realiti. Tetapi realiti tersebut yang mengharuskan adanya hukum, demi terpeliharanya tujuan syariat secara umum dan terpelihara agama, jiwa, akal, harta serta keturunan. Realiti yang baik selalu menyeru kepada kebaikan dan menjauhkan dari keburukan. Sebagai contohnya isu perdamaian antara kedua-dua parti antara PAS dan UMNO yang diistilahkan sebagai kerajaan perpaduan. Penulis ada mengulas isu tersebut pada artikel lepas iaitu “ Belum Masanya Membentuk Kerajaan Perpaduan”. Walaupun ada pihak yang tidak setuju tetapi bagi penulis itu lebih baik daripada membentuk kerajaan perpaduan tersebut. Memang jika dilihat banyak dalil-dalil yang menyeru kepada perdamaian antara kedua-dua parti yang bertelingkah itu supaya dapat mewujudkan suatu suasana politik perdamaian tetapi dari sudut realitinya tidak sebegitu. Ini kerana perdamaian yang merampas hak-hak umat tidak dianggap suatu kebaikan melainkan perampas itu mengembalikan hak tersebut kepada pemiliknya.
Dalam kitab “Ad-Din wa As-Siyasah: Ta’shiilun wa Raddu Syubuhat” oleh Prof. Dr Yusuf Al-Qaradhawi beliau ada menyebut dan menukilkan pandangan Ibnu Qayyim (wafat 751 H) yang telah berhasil menyingkap ‘kabut’ pemahaman tentang politik serta menjelaskan perbezaan antara politik adil dan poliltik zalim. Bentuk politik yang adil disebut sebagai sebahagian daripada syariat, tidak keluar daripada ketentuan syariat, juga bukan merupakan hal yang berlawanan dengan syariat. Ibnu Qayyim RA menyebutkan dalam kitabnya Ath-Turuq al-Hukmiyah berpendapat tentang politik yang dicetuskan oleh seorang ulamak bermazhab Hanbali yang bernama Abdul Wafa’ Ibnu Aqil (wafat 513H), seorang yang menurut Ibnu Taimiyah dikatakan sebagai ‘ salah seorang yang paling cerdas di dunia’. Setiap orang yang mempelajari mengenai Ibnu Aqil akan mengerti bahawa dia adalah seoarng yang sangat cerdas, wawasannya luas dan pemikirannya bebas.
Ibnu Qayyim berkata, “ Ibnu Aqil dalam AL-Funun menulis, ‘ Pemberlakuan as-siyasah asy-syariyah dalam suatu negara, adalah suatu kemestian dan dalam hal ini juga diperlukan seorang imam.” Seorang ulama bermazhab Syafi’I berkata, “ Tidak boleh ada politik, kecuali yang sesuai dengan syariat.”
Ibnu Aqil berkomentar,“Tindakan politik yang memang menghasilkan maslahat dan tidak menimbulkan bahaya kerosakan boleh diserahkan kepada manusia, walaupun tidak ada aturan daripada Rasulullah SAW mahupun wahyu Allah SWT. Jika yang tuan maksudkan denagn perkataan’ yang sesuai dengann syariat’ adalah tidak bertentangan dengan bunyi teks syariat, bererti tuan betul. Tetapi jika yang tuan maksudkan adalah tidak boleh ada politik, kecuali mesti sesuai dengan bunyi teks syariat, maka tuan salah dan bertentangan dengan apa yang dilakukan sahabat-sahabat.
Dalam kenyataan lain Ibnu Qayyim ada menyebut tentang sebahagian golongan yang perhamannya terhadap ketentuan syariat sangat dangkal. Mereka sebenarnya telah menyalahgunakan syariat, mengabaikan kebenaran, membiarkan orang-orang jahat melakukan kerosakan dan menjadikan syariat sebagai ajaran sempit yang jauh daripada maslahat umat. Mereka telah menutup dirinya dari jalan yang benar, jalan yang merupakan cara yang sudah diuji dapat digunakan untuk mencari dan melaksanakan kebenaran. Mereka menutup diri daripada realiti.Mereka juga beranggapan bahawa cara tersebut tidak sesuai dengan kaedah-kaedah syarak. Demi Allah, cara-cara tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW, walaupun kelihatan bertentangan dengan pemahaman mereka terhadap syariat.
Untuk membantah anggapan mereka, saya menjawabnya dengan tiga poin di bawah ini:
- Pandangan mereka adalah bukti adanya pemahaman yang dangkal terhadap syariat.
- Kesalahan dalam memehami realiti,
- Menjadikan syariat dan realiti sebagai dua hal yang bertentangan.
Pemahaman sempit terhadap syariat ini hanya akan menciptakan suasana politik buruk yang berpanjangan dan kerosakan yang benar-benar nyata. Akibat daripada pemahaman sempit ini, kekacauan pun bertebaran kesegenap penjuru dan sukar dicarikan jalan keluarnya.
Sementara golongan lain sangat berlebih-lebihan dalam memahami syariat, berbeza dengan golongan pertama, golongan ini sudah melampaui batas. Mereka berusaha menciptakan aturan yang bertentangan dengan ketentuan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Pandangan kedua golongan tersebut menunjukkan lemahnya pemahaman mereka terhadap ajaran Allah yang disampaikan kepada Rasul-Nya dan firman Allah yang disampaikan dalam kitab-kitab-Nya dengan tujuan agar tercipta keadilan di antara manusia. Keadilan merupakan sebab tegaknya bumi dan langit. Jika keadilan sudah tercipta, bagaimanapun cara yang digunakan, bererti syariat dan agama Allah sudah ditegakkan. Allah SWT Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, dan Maha Adil.Kerana itu Dia tidak menentukan suatu cara untuk menciptakan keadilan kemudian menolak cara lain yang lebih tepat dan lebih sesuai. Bahkan Allah SWT menjelaskan bahawa cara yang sesuai dengan syariat adalah jika cara tersebut sesuai dengan tujuan Allah. Syariat Allah bertujuan untuk menciptakan keadilan maka cara tersebut adalah sebahagian daripada agama, dan tidak dianggap bertentangan dengan agama.
Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan pendapat Ibnu Qayyim adalah sangat tepat. Beliau menjelaskan bahawa letak kesalahan bukan pada syariat, tetapi terletak pada orang-orang yang menutup dengan mengatasnamakan syariat itu sendiri,semua jalan yang dapat digunakan untuk menciptakan maslahat, segala pemikiran tentang tujuan-tujuan syariat, serta segala perbahasan tentang impak yang dapat ditimbulan, keseimbangan dan skala keutamaan.
Mereka telah melakukan penyempitan sesuatu yang telah diperluaskan oleh Allah. Mereka juga menghalang umat daripada pelbagai maslahat akibat pemahaman yang keliru, kelambanan dan kejumudan mereka. Sebaliknya, ada golongan manusia yang pemahamannya melampaui batas iaitu orang-orang yang melepaskan diri dan tidak mahu menjalani ketentuan syariat. Pandangan mereka tidak mahu dibatasi oleh teks al-Quran dan hadis Nabi. Pada masa ini, ramai kita temui orang seperti itu, oarng-orang yang mengatasnamakan agama untuk memenuhi keinginan penguasa-penguasa dan pegawai-pegawai atasan. Di tangan mereka, syariat dianggap seperti adunan lunak dapat dibentuk seperti apa sahaja sesuai hasrat nafsu mereka dan keinginan tuan-tuan mereka.
Kebenaran berada diantara dua titik, penyempitan syariah yang dilakukan oleh golongan pertama dan perluasan tidak semestinya yang dilakukan oleh golongan kedua.
Muhammad Fakhruddin Ismail
No comments:
Post a Comment