Thursday, April 23, 2009

Mandi Bunga: Suatu Analisis

 

Oleh: Hazman Hassan (ibnarawi99@yahoo.com)

Azie, seorang wanita berkarier yang semakin lanjut usia tetapi belum bersuami, amat rungsing dengan situasi dirinya. Beberapa sahabat karibnya telah menasihatkan Azie untuk pergi berjumpa bomoh Semaun untuk menjalani upacara Mandi Bunga. Pada masa dan hari yang ditetapkan, Azie pun disuruh untuk mandi dengan air yang dicampurkan beberapa bahan seperti daun-daunan dan bunga-bungaan tertentu, limau serta lain-lain bahan. Upacara tersebut juga disertai dengan ayat-ayat dan bacaan khusus untuk dibaca sebelum, semasa dan selepasnya. Akhirnya bomoh Semaun berpesan dengan tegas agar Azie tidak membersihkan sendiri akan bahan sisa mandian tersebut dari lantai bilik air. Sebaliknya, proses pembersihan tersebut mestilah dilakukan oleh orang lain.

Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme, Hinduisme dan ‘Popular Islam’.

mandi bunga

Situasi kes Azie dengan bomoh Semaun ini juga sangat mungkin terjadi dalam kehidupan orang lain dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia. Mandi Bunga dilakukan dengan tujuan untuk membuang sial pada pelakunya, menjauhkan gangguan makhluk halus serta sekaligus menaikkan seri dan mendatangkan tuah bagi diri pelakunya.[1] Artikel ini akan cuba menganalisa beberapa kemungkinan tentang asal-usul dan teori di sebalik amalan Mandi Bunga.

Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme, Hinduisme dan ‘Popular Islam’. Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup, perkataan yang diucap atau ditulis, tanda-tanda yang dirakamkan dan sebagainya.[2] Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai ‘mana’, dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai ‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’ oleh orang Jawa.

Di kalangan orang Melayu tradisional, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’ seperti yang difahami oleh mereka dalam insiden ‘lemah semangat’, ‘kus semangat’ dan sebagainya. ‘Mana’ bagi golongan tertentu mempunyai gelaran yang khusus. ‘Mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’. Sedangkan ‘mana’ bagi para ahli agama baik golongan pawang dan dukun pada zaman Dinamisme, sami dan pendita pada zaman Hinduisme-Buddhisme, mahupun alim-ulama’ pada zaman Islam, dipanggil sebagai ‘berkat’ dan ‘keramat’.

Salah satu ramuan Mandi Bunga ialah limau yang dianggap dapat menjauhkan segala makhluk jahat.[3] Limau bersama-sama sirih pinang adalah merupakan bahan utama untuk pelbagai kepercayaan dan ritual orang Melayu tradisional. Sebagai contoh:

  1. Air tepung tawar yang ‘asasnya’ terdiri daripada campuran air, bahan-bahan lain dan limau purut yang dihiris.[4]
  2. Limau nipis digunakan sebagai pengeras bagi pelajar silat dan perubatan tradisional. Limau purut pula diperah dan dicampurkan dengan air bagi mengubat penyakit terkena buatan orang.[5]
  3. Upacara ‘mandi-mandi’ atau ‘berlimau’ diadakan dalam pakej adat perkahwinan Melayu tradisional iaitu selepas kedua-dua pengantin bersatu. Pengantin akan berpakaian lengkap dan duduk di bawah naungan kain yang diregangkan dengan pegangan dua orang di kiri dan kanan. Air dan campuran limau, sintuk dan lain-lain ramuan akan dijiruskan daripada atas menerusi kain tersebut.[6]
  4. Di Perak, mandi tolak bala dilakukan dengan menggunakan hirisan buah limau nipis yang digosok-gosokkan ke badan seperti mana sabun. Selepas itu, barulah sambungan kepada perkara-perkara yang dilakukan dalam ritual tersebut akan dilanjutkan.[7]
  5. Dalam upacara berdoa’ dan memanggil semangat padi di Sungai Dacing, Lenggeng, Negeri Sembilan; pawang akan ‘menawarkan’ limau-limau yang disediakan dengan cara menepung tawar,  menjampi dan meludahnya sebanyak tiga kali. Selepas itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah untuk ditempatkan di tapak semaian padi, agar padi subur dan selamat dari bencana.[8]
  6. Wujud juga pantang-larang berkenaan limau dalam kehidupan orang Melayu tradisional. Salah satu daripadanya ialah larangan membawa limau purut jika mandi di sungai, nanti dibaham buaya. Kononnya buaya amat marah dan mungkin mengganas kerana buah limau itu menyerupai bonjol di atas kepalanya dan berhubung kait pula dengan asal usul kejadiannya.[9]

Daun, bunga dan limau dengan sifat-sifat tertentu (misalnya daun bertemu urat dengan warna tertentu) dan bilangan tertentu (misalnya tujuh jenis bunga dipetik ketika pagi masih berembun), ditambah dengan mantera yang dibaca oleh bomoh akan mendatangkan ‘mana’ yang akan membawa manfaat yang diinginkan. Oleh yang demikian, unsur kepercayaan Dinamisme dalam amalan Mandi Bunga dapat dikesan apabila ramuan mandi yang telah mempunyai ‘mana’ tersendiri disatukan bagi membentuk gabungan ‘mana’ yang baru pula. Hasil daripada kewujudan ‘mana’ baru yang ‘lebih bertenaga’ ini, maka dipercayai kononnya ‘mana’ pada orang yang melakukan Mandi Bunga juga akan menjadi lebih kuat, berupaya menghalau segala sial dan sihir, serta mampu menarik lebih banyak tuah dan keuntungan.

Bau-bauan yang wangi dalam amalan Mandi Bunga ini juga dipersembahkan kononnya sebagai bahan pengorbanan kepada makhluk-makhluk halus yang akan membantu mengambil hati mereka.[10] Maka apabila perbuatan ini dilakukan, makhluk halus yang jahat dan membawa sial akan meninggalkan diri pihak yang melaksanakan amalan Mandi Bunga itu. Makhluk halus yang baik pula dipercayai akan menggantikan tempat yang dikosongkan oleh makhluk halus yang jahat  tadi dan sekaligus membawa manfaat kepada pihak tersebut.

Seterusnya, sebab yang mungkin untuk individu yang menjalani upacara Mandi Bunga itu dilarang daripada membersihkan sendiri sisa mandiannya ialah kepercayaan ‘sial’ yang dikeluarkan itu sudah ‘tumpah’ ke sisa mandian. Sekiranya individu tersebut juga yang membersihkan sisa mandiannya maka ditakuti ‘sial’ itu  akan ‘hinggap’ semula, tuah yang dijemput akan lari dan apa yang dihajati tidak dicapai. Oleh yang demikian, orang lain pula yang biasanya akan ditugaskan untuk membersihkan sisa tersebut. Ada pula bomoh yang mensyaratkan sisa mandian itu dibungkus dahulu, sebelum ditanam atau dibuang di air yang mengalir dengan disertakan bacaan-bacaan yang tertentu pula.

Mandi turut merupakan salah satu ritual yang popular di kalangan penganut Hindu, misalnya mandi untuk menyucikan dosa-dosa di Sungai Ganges, atau mandi minyak bijan (nallenai) dan minyak jarak (vilakennai) pada pagi hari Deepavali.[11] Oleh itu, wujud kemungkinan bahawa amalan Mandi Bunga ini juga berasal daripada saki-baki kepercayaan Hinduisme yang masih melekat dalam minda orang-orang Melayu tradisional.

Limau yang digunakan dalam amalan Mandi Bunga juga memiliki signifikan tersendiri dalam kepercayaan Hinduisme yang mana limau dipercayai dapat mengusir hantu dan syaitan. Dalam falsafah occultisme Hindu pula, bentuk limau yang bulat-bujur melambangkan dunia sebagai ‘chakra’ dalam sebuah makrokosmos. Justeru itu, satu varieti Kavadi yang diusung ketika perayaan Thaipusam turut melibatkan limau dengan set cangkuk-cangkuk besi yang tajam.

Satu set cangkuk terdiri daripada dua bilah cangkuk besi yang dihubungkan dengan seutas tali khas. Untuk tujuan ini, sebilah cangkuk akan dibenamkan menembusi kulit dan daging pembawa kavadi. Sebilah cangkuk lagi akan pula ditusukkan dengan buah limau nipis yang akan dibiarkan berjuntai, sambil berat limau itu akan menambahkan kesan kesakitan yang berpunca daripada benaman cangkuk yang pertama tadi.

Bau yang harum hasil mandian dapat mengusir pengaruh kejahatan dan menarik pengaruh kebaikan pada diri pelakunya.

Pengaruh Hinduisme dalam amalan Mandi Bunga turut dapat diperhatikan apabila amalan tersebut bertujuan menghasilkan aroma yang wangi. Penganut Hinduisme mempercayai bahawa bau yang harum dapat mengusir pengaruh kejahatan dan menarik pengaruh kebaikan pada diri pelakunya. Hakikat kepercayaan ini juga telah disebutkan dalam Epik Ramayana yang menyatakan:

“Apabila tempat yang sesuai telah ditemui, dan setelah tempat itu disediakan, semuanya menurut peraturan zaman bahari, maka Wasista dan pendita-pendita lainnya pun mulailah melakukan upacara-upacara korban tersebut. Bunyi mantera Veda iaitu syair suci memenuhi angkasa raya dan dari barang-barang korban itu timbullah suatu bau harum yang mengusir segala dosa-dosa Raja Dasarata apabila baginda menyedutnya.”[12]

Akhirnya, amalan Mandi Bunga ini diberikan solekan berupa bid‘ah agar ia dapat menampilkan wajah ‘Islam’. Mandi Bunga cuba dirasionalkan sebagai perbuatan yang ‘Islamik’ sebagaimana mandi junub, mandi kerana menganut Islam, mandi sunnah hari jumaat, mandi sunnah Hari Raya, dan mandi-mandi lain yang telah disyari’atkan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Situasi ini dapat dikesan apabila mantera yang dibaca dalam hampir semua ritual orang Melayu tradisional termasuklah Mandi Bunga, akan dimasukkan lafaz basmalah, dan diakhiri dengan syahadah dan salawat.[13]

Akhirnya, amalan Mandi Bunga yang berasal daripada kepercayaan kurafat agama lain diberi solekan Islamik dengan bacaan Basmalah, al-Fatihah, Selawat dan lain-lain.

Orang yang melakukan upacara Mandi Bunga pula akan disuruh berselawat, membaca surah-surah tertentu, malah ada yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema. Lebih mengelirukan lagi ialah apabila bomoh yang mengendalikan upacara tersebut berpesan pula “Allah sahajalah yang menolong awak, saya cuma berikhtiar”. Amalan Mandi Bunga telah disalahanggap sebagai suatu wasilah kepada ibadah ‘ikhtiar dan tawakkal’ dalam Islam. Maka tidaklah menghairankan apabila wujud juga varieti mandi untuk ‘membuang sial’ yang lain dalam kehidupan orang Melayu tradisional, seperti mandi tolak bala, mandi air selamat, mandi safar, mandi pengantin untuk bakal pengantin, mandi basuh lantai untuk ibu dan bayi yang baru dilahirkan, mandi bertabal untuk pertabalan raja yang baru dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, mandi dengan menggunakan sabun, shower gel dan shampo yang diperbuat daripada khasiat limau, bunga dan daun tertentu tidaklah menjadi masalah asalkan ia adalah untuk membersihkan badan dan bukan untuk member-sihkan sial dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, amalan mandi untuk kesihatan fizikal dengan semata-mata memanfaatkan khasiat limau, bunga dan daun tertentu tidaklah menjadi masalah. Meskipun begitu, apabila disertakan dengan kepercayaan atau amalan yang tidak selaras dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, amalan Mandi Bunga dapat bertukar menjadi perbuatan bid‘ah dan khurafat yang boleh membawa kepada syirik. Islam mengajar penganutnya bahawa tidak ada sial atau tuah pada masa-masa tertentu, serta tidak akan ada pula manfaat, mudarat dan karut-marut berkaitan dengan amalan tertentu. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, yang maksudnya:

“Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada larangan atau pantang pada bulan Safar dan tidak ada kecelakaan yang ditandai oleh suara burung malam.”[14] Malah, kepercayaan dalam amalan Mandi Bunga ini juga boleh merosakkan keimanan seseorang itu terhadap Qada’ dan Qadar Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu kepada mana-mana pembaca yang mengingini kepada Mandi Bunga, tinggallah ia kerana ia tidak lain adalah campur aduk pelbagai amalan kurafat dan bid‘ah. Jika memiliki apa-apa hajat, caranya ialah bertaqwa kepada Allah dengan mentaati segala perintah larangan-Nya, kemudian berdoalah kepada-Nya.

 

Sumber:

Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah Buku 2 oleh Hafiz Firdaus Abdullah


  1. Amran Kassimin - Istiadat Perkahwinan Melayu Yang Bukan Daripada Ajaran Islam (Dinie Publishers, K. Lumpur 1993), hlm. 34
  2. O.K. Rahmat S.H. - Pencemaran Akidah Di Nusantara (Dewan Bahasa dan Pustaka 1983), hlm. 8
  3. Winstedt, R.O. - Shaman, Saiva And Sufi: A Study Of The Evolution Of Malay Magic (Constable & Company Ltd., London 1925), hlm. 117
  4. O.K. Rahmat S.H. - Pencemaran Akidah Di Nusantara, hlm. 11
  5. A.Aziz Bidin & Aishah Muhammad - Kegunaan Tumbuh-tumbuhan dalam Nilai Budaya Masyarakat Desa: Kajian Etnografi Di Wang Kelian Perlis yang disunting oleh Wan Hashim Wan Teh & Ismail Hamid (Dewan Bahasa dan Pustaka 1998) hlm. 180
  6. Syed Alwi Sheikh Al-Hadi - Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu (Dewan Bahasa dan Pustaka 1986), hlm. 41
  7. Skeat, Walter William - Malay Magic: An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular (Frank Cass & Co. Ltd., London 1965), halaman 278
  8. Amat Juhari Moain - Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Dengan Pertanian (Dewan Bahasa dan Pustaka 1990), hlm. 105
  9. Wan Ramli Wan Muhammad & Hanapi Dollah - Pantang Larang Orang Melayu Tradisional (Utusan Publications & Distributors, K. Lumpur 1999), hlm. 59
  10. Skeat, Walter William - Malay Magic: An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular, hlm.75
  11. M. Rajantheran & S. Manimaran - Perayaan Orang India (Fajar Bakti, K. Lumpur 1994), hlm. 11-12
  12. Hikayat Ramayana (edisi terjemahan oleh Daud Baharum.Oxford University Press, K. Lumpur 1963), hlm. 2
  13. Haron Daud - Mantera Melayu: Analisis Pemikiran (Penerbitan USM, P. Pinang 2001)
  14. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5278 (Kitab al-Tibb)

2 comments:

Mariah said...

Assalamualaikum..
Kejadian alam ini dapat dibahagikan kepada Fizik dan Metafizik . Diperingkat awal perkembangannya, sains moden hanya menerima sains Fizik sebagai Ilmu (sains ):sesuatu yang dapat ditanggapi oleh pancaindera dan diukur menggunakan peralatan yang dicipta .
Bagaimanapun ,apa yang tidak dapat ditanggapi dahulunya sudah sediki demi sedikit terbuka kepada pengetahuan manusia (dengan izin Allah )apabila terciptanya peralatan yang lebih canggih yang dengannya manusia dapat mengkaji dan meneroka sesuatu yang lebih halus sifatnya ( metafizik ).

Contohnya Dr.Masuru Emoto telah menggunakan alat "Magnetic Resonance Analyser(MRA)"untuk mengkaji sifat 'The planet's most critical life-giving substance" iaitu air. Mengikut Dr Emoto penemuannya tentang sifat-sifat air telah memberinya satu sudut pandangan yang baru tentang kehidupan.

Hasil kajiannya berkaitan air itu telah dapat menjelaskan perbuatan orang2 tua dahulu membacakan doa pada air yang HIDUP (bukan air mati ,kerana air mati tidak dapat menyimpan dan memindah maklumat ) kemudian diberi minum pada orang sakit itu ada asas ilmunya ; dimana sebelum ini hanya berdasarkan pengalaman sahaja .

Cuma caranya yang perlu diperhatikan, apa yang dibaca dan kepada siapa permohonan itu ditujukan.Ini yang membezakan antara yang hak dengan yang batil.
(Setelah maneliti hasil kajiannya ,saya berpendapat makna ayat "Arasy Allah di atas Air " hampir dapat dijelaskan.. )

Demikian juga apabila Medan elektro magnet badan ( tenaga biologi ) dapat diambil fotonya maka bermulalah kajian secara ilmiah tentang AURA dan kaitannya dengan tahap kesihatan seseorang ;kesan getaran warna-warna terhadap aura dll.

Penggunaan bunga pelbagai warna dalam air mandian dapat dibuktikan boleh memperbaiki AURA tubuh seseorang. Lebih berkesan lagi bila disertakan dengan ucapan2 yang positif(dengan mengelakkan lafaz2 yang berunsur syirik ;secara jelas atau tidak ) dan berdoa kepada Allah.

Bunga-bungaan berbagai warna itu masing-masing memerangkap tenaga dari cahaya matahari, berdasarkan warna masing-masing.Setiap warna punya gelombang dengan frekuensi tertentu, masing masing frekuensi punya kesan yang tersendiri pada tubuh.

Jadilah mandi bunga itu satu kaedah yang sangat sederhana memulihkan tenaga biologi badan, kaedah yang lebih canggih adalah seperti yang digunakan dalam terapi Color Vibration ,misalnya.

Sebagai kesimpulan ,boleh mandi bunga ,InsyaAllah ,dengan syarat dibersihkan dari segala khurafat dan kepercaYAAN karut ; sebaliknya diisi dengan doa dan niat yang benar, memohon kepada Allah agar dijadikan sebab penyembuh kerana Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.Apabila bertemu penyakit dengan penawarnya , sembuhlah, dengan izin Allah (tak perlulah berupacara , boleh buat sendiri )

Untuk tidak terpengaruh dengan KHURAfat ,Ilmu berkaitan dengan getaran warna dll dapat membantu ,disamping itu dapatjuga manambahkan keimanan dan rasa gentar terhadap keagungan serta kebesaran Allah melalui pemerhatian kita atas hebatnya apa yang Ia ciptakan (ayat-ayat Allah yang berhubung kait dengan penciptaan -kauniyyah ).

Sekian pandangan saya .Wabillahi taufiq,Wallahu a'alam .

Wassalam.

DIN said...

Wa’alaikumussalam...

Terima kasih atas pandangan saudari..

Sains bukan satu platform untuk menghalalkan segala perkara. Contohnya teori Darwin di mana manusia berasal dari beruk sudah menjadikan pengamal ilmu sains ini menjadi rosak akidah.


Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya kamu akan ikut cara umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hatta jika mereka masuk lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya.” Sahabat bertanya: Golongan Yahudi dan Nasranikah(yang kamu maksudkan)? Baginda menjawab: (Kalau tidak mereka) Siapa lagi?” (Riwayat Al-Bukari dan Muslim).

kenapa YOGA diharamkan?

Dr Azwira menyatakan:

Hadis dimana para Sahabat pernah meminta baginda jadikan untuk mereka sebatang pokok sebagai tempat berkumpul sebagaimana golongan musyrikin pernah jadikan sebatang pokok dikenali Zat Anwat yg digunakan untuk tempat berkumpul dan memohon berkat. Mendengar permintaan itu, Nabi SAW bersabda: Maha Suci Allah permintaan ini sama permintaan Bani Israel kepada Nabi Musa AS: Buatkanlah untuk kami (patung) tuhan sebagaimana mereka juga ada beberapa tuhan.Demi Yang nyawaku di TanganNya! Sesungguhnya kamu akan tiru amalan umat sebelum kamu satu persatu (Riwayat Ahmad dan Tarmizi disahihkan AlBani).

Jika diperhatikan hadis ini Nabi SAW sedar bahawa niat dan tujuan Sahabat itu baik kerana pokok yang diminta oleh mereka tidak sama dengan patung yang diminta oleh Bani Israel. Namun peniruan zahir adalah sebahagian daripada komponen penyerupaan meskipun niat dan tujuannya berbeza. Daripada prinsip inilah senaman Yoga diharamkan kerana menyerupai ajaran Hindu meskipun ia dilakukan tanpa mentera dan tanpa matlamat penyatuan dengan Tuhan sebagaimana yoga asli, namun pergerakan dan cara duduknya adalah sejenis peniruan yang menepati sebahagian komponen penyerupaan (tasybih).

Fatwa Dr Yusuf Qardhawi:
Dan sesiapa yang mengamalkan senaman yoga-iaitu latihan pergerakan tubuh dan tidak terlintas di fikirannya unsur penyembahan, tidak juga untuk mengikuti golongan penyembah berhala, tidak juga menyerupai mereka, maka yang lebih selamat dan lebih berhati-hati ialah menjauhkan diri daripada menyerupai mereka, lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa asal-usul senaman yoga yang mempunyai unsur keberhalaan, sebagai beramal dengan hadith: "Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan". Malah Islam telah melarang tegas sebarang penyerupaan dengan penyembah berhala walaupun hanya dari segi rupa dan bentuk. Oleh sebab itu Islam telah menegah solat pada waktu terbit matahari dan ketika tenggelamnya, kerana penyembah matahari menyembah matahari pada kedua-dua waktu ini. Tidak diragukan lagi bahawa larangan daripada solat pada kedua-dua waktu tersebut ialah menyekat jalan-jalan kerosakan walaupun ia tidak terlintas di benak orang yang solat untuk menyembah matahari atau menghadap ke arahnya di dalam solat".


Rawatan mandi bunga berasal dari orang hindu yang mempercayai aliran tenaga yang boleh berpindah dari bunga serta warna bunga dan ajaran ini memang selari dengan aura dan tenaga dalaman.

Bagi penulis lbh baik:

"Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan".