Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa empat syarikat konsesi iaitu Syabas,Konsortium Abbas Sdn Bhd,Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash) mengendalikan perawatan dan penyaluran kepada pengguna di Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut Perjanjian,pihak pemegang konsesi akan menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus bermula 1 April tahun depan.
Ini telah menimbulkan pertikaian dengan kerajaan negeri Selangor yang kemudian menawarkan untuk membeli kempat-empat syarikat konsesi itu pada harga RM5.7 billion dan menguruskan sendiri rawatan dan pembekalan air tetapi tidak dipersetujui oleh pengurusan syarikat konsesi .
Kenaikan tarif air ini tidak sepatutnya berlaku dan ditambah pula dengan kemelesetan ekonomi Negara. Kenaikan tarif air pasti akan membebankan lagi rakyat. Air merupakan hak asasi manusia dan tidak boleh dipindah milik menjadi barangan atau komoditi yang menguntungkan pihak-pihak tertentu. Di dalam syariat islam Allah s.w.t telah menetapkan bahawa air adalah termasuk dalam hak milik awam (al- milkiyah al-amah), dan bukannya hak milik negara atau negeri. Terdapat tiga jenis pemilikan sistem ekonomi islam iaitu:
- Hak Milik Umum: meliputi mineral-mineral dalam bentuk pepejal, cecair dan gas termasuk petroleum, besi, tembaga, emas dan sebagainya yang didapati sama ada di dalam perut bumi atau di atasnya, termasuk juga segala bentuk tenaga dan intensif tenaga serta industri-industri berat. Semua ini merupakan hak milik umum dan wajib diuruskan (dikelola) oleh Daulah Islamiyah(negara) manakala manfaatnya wajib dikembalikan kepada rakyat
- Hak Milik Negara meliputi segala bentuk bayaran yang dipungut oleh negara secara syar’ie dari warganegara, bersama dengan perolehan dari pertanian, perdagangan dan aktiviti industri, di luar dari lingkungan pemilikan umum di atas. Negara membelanjakan perolehan tersebut untuk kemaslahatan negara dan rakyat
- Hak Milik Individu: selain dari kedua jenis pemilikan di atas, harta-harta lain boleh dimiliki oleh individu secara syar’ie dan setiap individu itu perlu membelanjakannya secara syar’ie juga.
Hak milik umum ini termasuk juga air sungai,air laut,mata air dan hujan semua ini milik manusia bersama dan tidak boleh dijual beli selama masih berada di tempat aslinya.
Rasulullah SAW bersabda:
"Manusia berkongsi dalam tiga perkara; air, rumput dan api." (HR. Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah) Dalam riwayat lain ada tambahan: iaitu "garam”
Dalam riwayat yang lain dari Ilyas bin Abd, bahawa Nabi SAW melarang menjual kelebihan air (H.R imam yang lima kecuali Ibnu Majah dan hadis ini disahkan Imam Tirmizi)
Jelas Rasulullah SAW membenarkan semua rakyat berkongsi bersama di dalamnya perkara tersebut.Tidak ada seseorang manusia pun boleh menswastakan suatu aset yang mana Allah telah menyediakannya kepada masyarakat awam.
Iyyas Al-Muzani meriwayatkan, bahawa dia pernah melihat orang-orang menjual air.Kemudian ia berkata: “Jangan kalian menjual air, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah mencegah memperjualbelikan air.
Ia berbeza dengan “Hak Milik Individu” dimana setiap manusia mempunyai hak untuk mengambil dan manfaatkan perkara tersebut dan menjual seperti jika seseorang menggali sungai besar atau tasik dengan memasang alat dia boleh mengambil air untuk kegunaan dirinya sendiri dan juga boleh menjual airnya kepada manusia. Ini kerana kewujudan air itu sebagai “Hak Milik Umum” tidak hilang. Ia berbeza jika sungai itu kecil ini akan menyebabkan segelintir orang sahaja dapat memanfaatkannya, maka dalam hal ini ia tidak boleh dimilik individukan.Ini kerana ia telah menghilangkan “Hak Milik Umum” tersebut.
Di dalam sejarah termaktub, bahawa pada waktu Nabi SAW datang di Madinah ada sebuah sumur yang dikenal dengan sumur rumah milik Yahudi. Si pemilik menjual airnya kepada manusia, dan Nabi mengakui hal ini, baik kepada si penjual mahupun si pembeli. Dengan demikian,jual beli air dalam kaitan ini tidak ubahnya menjualbelikan kayu sesudah dikumpul. Sebelum dikumpulkan, kayu menjadi milik bersama. Jika telah dikumpulkan dan menjadi milik seseorang tertentu, maka sah menjualnya. Rasulullah SAW bersabda:
Sungguh seseorang di antara kalian pergi membawa tali (berusaha) lalu pulang dengan membawa seikat kayu bakar di atas punggungnya kemudian menjualnya dan dengan kayu bakar itu Allah SWT akan menjaga kehormatan dirinya, itu jauh lebih baik ketimbang dia mengemis kepada orang lain, baik mereka memberi ataupun tidak (H.R Bukhari)
Hak Milik Individu dapat diperoleh melalui pewarisan,wasiat,jual beli,pembelian (derma/hadiah),bekerja,bercucuk tanam dan mengerjakan tabah terbiar.
Perlu difahami air tidak boleh menjadi milik kerajaan pemerintah,kerana pemerintah sifatnya sebagai pemelihara rakyat malah air tersebut tidak boleh ‘diperniagakan’ untuk mengambil keuntungan darinya.. Sepatutnya rakyat yang menikmati kemudahan ini dengan percuma tetapi sebaliknya yang berlaku. Walaupun kerajaan menyediakan segala peralatan yang digunakan untuk membekalkan air tersebut kepada orang ramai tetapi kerajaan tidak boleh memperniagakan air tersebut kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan sebagai pemelihara rakyat kerana air adalah salah satu“Hak Milik Umum”.
Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya berjudul Al-Amwal Fi Daulah al-Khilafah (Sistem Kewangan dalam Negara Khilafah), terdapat tiga kaedah pengurusan hak milik umum yang boleh dijalankan oleh negara. Ini termasuklah isu pengurusan air.
1. Negara mengusahakan sendiri pengurusan air dan membekalkannya kepada rakyat. Melalui kewangan negara, negara dapat memperoleh peralatan pemprosesan air sendiri seperti saluran paip, penapis air, menara takungan dan sebagainya bagi tujuan tersebut. Dan dengan alat-alat tersebut, dibentuk suatu usaha (jabatan pengendali) menjalankan proses perbekalan air sepenuhnya tanpa campur tangan dari luar. Negara boleh mengekalkan hak pemilikan ke atas alat-alat perusahaan tersebut atau memindahkan hak miliknya kepada pemilikan umum yakni di bawah akaun pemilikan umum di dalam Baitul Mal. Jika ini berlaku (pemindahan hak milik), maka kesemua peralatan tadi akan menjadi hak milik umum, namun pengendalian dan penyelenggaraannya tetap dilakukan oleh negara.
2. Negara boleh menyewa peralatan pemprosesan air yang dinyatakan di atas dari mana-mana pihak yang memiliki harta tersebut serta mengendalikannya sendiri (oleh jabatan pengendali). Bayaran sewa (ujr) dibayar kepada pemilik peralatan tersebut melalui akaun negara di Baitul Mal atau menggunakan mana-mana masukan kewangan dalam akaun pemilikan umum kerana ia bersangkutan dengan kepentingan umum.
3. Negara boleh menyerahkan urusan bekalan air kepada mana-mana individu atau firma (syarikat pengendali bekalan air) dengan syarat pemilikan ke atas air masih tetap milik umum, bukannya diserahkan atau dimonopoli oleh syarikat terbabit. Dengan kata lain, pihak yang telah diserahkan negara mengendali urusan bekalan air tadi hanya akan dibayar upahnya sahaja, bukan mendapat keuntungan dari pengeluaran bekalan air tadi. Kaedah ini menjadikan rakyat tidak dibebankan oleh kenaikan kos pengeluaran oleh syarikat air, kerana tugas mereka adalah untuk menguruskannya bukannya mengambil keuntungan dari penjualan barangan milik awam ini (air). Dalam suasana sekarang, sebenarnya akibat dari air yang diurus oleh pihak swastalah, harga air akan dinaikkan bila kos penyelenggaraan meningkat.
Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan bukannya mengambil keuntungan darinya yang akhirnya rakyat pula ditindas dan dizalimi.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa:
“ Kerajaan negeri terbuka merundingkan harga dengan consortium tetapi ia mestilah menguntungkan rakyat. Penswastaan air sekarang tidak menguntungkan rakyat malah membebankan dengan kenaikan tariff yang tinggi,”katanya.
Beliau menegaskan kerajaan Selangor tidak sama sekali akan melakukan perniagaan dalam hal-hal berkaitan keperluan asas rakyat.
“Kita mengutamakan kepentingan rakyat. Sesebuah kerajaan tidak boleh menjalankan perniagaan.Sebaliknya kita mendapat hasil melalui cukai, bukannya berniaga dengan rakyat,” jelasnya.
Diharapkan apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar Selangor benar-benar dilakukan .Pemberian air percuma yang diberikan oleh Negeri Selangor sehingga 20 meter padu setiap bulan merupakan satu tindakan yang wajar untuk meringankan bebanan rakyat. Tetapi sepatutnya dilakukan pemberian air percuma sepenuhnya tetapi perkara ini mungkin tidak boleh dilakukan secara drastik.
Rujukan:
- Sinar Harian Rabu 22 April 2009
- Suara Keadilan 21-28 April 2009 m/s 24
- Nailul Authar “Himpunan Hadists-Hadits Hukum jilid 4 no.1648
- Fikih Sunnah jilid 12 m/s 83 & 84 oleh Sayid Sabiq
- E-Book Sistem Masyarakat Islam dalam Al-Quran dan Sunnah “ Melarang Peribadi Untuk Menguasai Barang-Barang Yang Diperlukan Oleh Mayarakat” oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
- Ekonomi Islam “Dasar dan Amalan” Edisi Kedua oleh Surtahman Kastin Hasan Sanep Ahmad.
Muhammad Fakhruddin Ismail
No comments:
Post a Comment