Wednesday, June 10, 2009

Pemerintah Kawan atau Lawan?

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Apabila rakyat menganggap pemimpin pemerintahan sebagai lawan atau musuhnya maka akan lahirnya sikap ketidakpuashatian terhadap pemerintah walaupun adakalanya perkara yang benar dilakukan oleh pemerintah maka ia akan dianggap salah oleh pihak lawannya. Apa yang dipandang oleh mereka hanyalah pada sudut keburukan sahaja walaupun mereka sendiri tidak sedari betapa banyak keburukan yang mereka telah lakukan terhadap pemerintah mereka dengan lontaran fitnahnya, memaki hamunnya, buruk sangka, mengumpat dan pelbagai perkara yang jelas dilarang dalam islam. Jika diambil kira seseorang yang mengumpat sahaja yang bukan pada jalannya dosanya lebih besar daripada yang berzina. Ini kerana dosa mengumpat hanya layak diampun oleh orang yang diumpatkan berbeza dengan zina. Ini belum dikira dosa-dosa yang lain dengan makinya dan pelbagai lagi yang tidak disedari oleh diri sendiri.

Berapa ramaikah yang sudah berdoa kepada Allah s.w.t supaya pemerintah diberi taufiq dan hidayah untuk mereka dan agar mereka melaksanakan kewajipannya sebagaimana mestinya? Malah ada sesetengah orang yang bodoh menganggap pemerintah tersebut tidak layak untuk didoakan kerana kezalimannya tidak berhak untuk rakyat mendoakannya. Memang jelas itu adalah termasuk kebodohan mereka berfikir. Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda daripada Abdullah bin Mas’ud:

“Sesungguhnya kamu akan melihat selepasku sikap (pemerintah) mementingkan diri dan kamu akan melihat perkara-perkara yang kamu ketahui ia mungkar (pada pemerintah). Mereka berkata: Apa yang engkau perintahkan kami (lakukan) wahai Rasulullah? Sabda baginda: Tunaikan untuk mereka hak mereka dan mintalah kepada ALLAH hak kamu.” [Riwayat al-Bukhari, jil 6, no.2588]

Termasuk permintaan hak kita kepada Allah sepertimana dalam hadis tersebut “ Dan mintalah kepada ALLAH hak kamu” adalah rakyat memohon kepada Allah supaya pemerintah diberi hidayah dan melaksanakan tanggungjawabnya yang telah diamanahkan. Hak rakyat akan dipenuhi jika pemerintah tersebut adalah yang adil dan baik. Di antara sebab kebaikan dan keadilan pemerintah tersebut adalah doa yang ikhlas kita kepada Allah s.w.t. Doa adalah senjata orang mukmin. Maka semakin ramai yang berdoa untuk kebaikan pemerintah semakin dekatlah pemerintah kepada kebenaran. Diriwayatkan dari Abu  Musa  al-Asy'ari  bahwasanya  Nabi  saw bersabda:

"Orang mukmin dengan mukmin yang lainnya bagaikan satu bangunan yang saling menguatkan antara satu bahagian dengan bahagian yang lainnya." [Muttafaq 'Alaih]

Jika rakyat berjalan di atas nasihat Nabi s.w.t ini, nescaya kabaikan akan diperolehi. Jika rakyat berjalan atas andaian nafsu mereka maka lebih banyak keburukan dan kesan yang akan dirasai.

Apabila rakyat mengganggap pemerintah sabagai temannya mereka akan sentiasa mendoakan kepada pemerintah tersebut dan tidak memburukkan dan memalukannya secara terbuka malah sentiasa menasihatinya. Pemerintah juga adalah manusia biasa seperti kita. Apabila meletakkan diri kita ditempatnya sudah tentu kita tidak mahu dicemuh dan dipermalukan oleh masyarakat. Apa reaksi anda apabila kesalahan yang dilakukan oleh anda sendiri dihebohkan oleh khalayak ramai? Sudah tentu malu dan kemungkinan bertindak luar batasan untuk menutup pintu kesalahan tersebut. Imam al-Syafi‘i rahimahullah (204H) berkata :

Bahawa barangsiapa yang menasihati temannya dengan rahsia, maka dia telah menasihati dan menghiasainya dan barangsiapa yang menasihatinya dengan terang-terangan, maka dia telah mempermalukan dan merosakanya. [Syarah Shahih Muslim (2/22) Kitab al Iman No. 49]

Begitu juga dalam menasihatii pemerintah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;

" Sesiapa yang ingin menasihati orang yang berkuasa, janganlah melakukannya secara terang-terangan. Sebaliknya dia hendaklah memegang tangnanya (penguasa itu) dan bersendirian dengannya (menasihati tanpa mendedahkan aibnya secara terbuka) Jika diterima, maka dia berjaya. Jika tidak, dia (penasihat itu) dianggap telah menunaikan kewajipannya." [ Riwayat Ibn Abi 'Asim dalam al-Sunnah. Sanadnya sahih.]

Jika nasihat tersebut tidak berjaya maka pemberi nasihat itu dianggap telah menunaikan tenggungjawabnya. Pemerintah juga akan tahu akibat perbuatannya disisi ALLAH.

Al-'Azhim al-Abadi r.h berkata:

"Para ulama berpendapat, kewajipan amar makruf nahi mungkar tidak gugur hanya disebabkan ia tidak memberikan sebarang kesan (kepada pemerintah). Bahkan dia wajib melakukannya kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin. [Al-'Azhim al-Abadi, 'Aun al-Ma'bud, jil: 11, m/s: 330. Dinukilkan oleh Dr Asri Zainul Abdidn "Membela Islam Tanggungjawab & Dispilin"].

Apabila seseorang hendak mengkritik pemerintah hendaklah dilakukan secara rasional dan benar agar pemeintah kembali pada jalan yang benar maka hendaklah dilakukan secara makruf bukan dengan memaki hamun, berkata keras atau hanya untuk kepentingan diri atau parti tertentu. Ibn al-Jauzi r.h berkata:

“Tujuan amar makruf nahi mungkar ialah menghapuskan mungkar. Menggunakan perkataan yang keras akan menyebabkab pemerintah bertindak balas dengan melakukan perbuatan mungkar. Ini lebih mungkar daripada kemungkaran yang hendak dihapuskan.” [Ibn Muflih, al-Adab al-Syar’iyyah jil:1,m/s:197 dinukilkan oleh Dr Asri Zainul Abidin “Membela Islam Tanggungjawab & Dispilin"].

Memang kesabaran lebih diperlukan dalam meluruskan penyimpangan pemerintah. Maka tidak bolehlah kita menghilangkan kezaliman tersebut dengan cara yang salah dan menyimpang. Setiap pihak samada pengkritik pemerintah atau sebaliknya sudah saatnya melihat kaedah-kaedah yang penting dan meluruskan niat sehingga semua perkara akan terciptanya kebaikan bersama. Maka jadikanlah pemerintah sebagai kawan bukan lawan anda.

 

Wallahua'lam

 

Muhammad Fakhruddin Ismail

No comments: