Saturday, June 6, 2009

Politik Itu Ada Masanya…

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Artikel ini telah ditulis oleh penulis diblog pertama iaitu Addean's  Web Blog pada tiga bulan yang lalu. Dicadangkan untuk pembacaan.

Memperbaiki aqidah, ibadah, dan akhlak adalah termasuk dalam fardhu 'ain yang perlu ditanam pada setiap umat islam . Malah menjadi wajib ke atas kita untuk mengajak kaum muslimin kepada dakwah yang tulen dan bersih untuk memahamkan mereka kepada Islam yang benar dan mendidik mereka dengan tarbiyah yang benar. Apabila manusia tidak memahami manhaj sebenar Al-Quran dan Sunnah maka berlakulah fitnah-memfitnah, buruk sangka, tuduh menuduh dan pelbagai perkara yang dilarang oleh agama akan berlaku seperti mana yang berlaku pada parti-parti politik masa kini. Apabila manusia menganggap agama ini perlu dimasuki pada jalan politik sahaja maka jadilah mereka orang yang gila berpolitik.

Penulis ingin bertanya adakah setelah anda berjaya merampas kuasa di negeri-negeri tertentu adakah rakyat-rakyat di negeri anda kebanyakannya dapat menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama dalam rujukan? Adakah mereka dapat menghindari daripada menyekutukan Allah ? Adakah mereka dapat menjaga keperibadian akhlak mereka ? Adakah Ibadah mereka benar-benar menepati Al-Quran dan Sunnah? Adakah mulut mereka dapat ditutup daripada fitnah-memfitnah ? Adakah mereka akan memakmurkan masjid-masjid Allah? Adakah mereka dapat menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang tidak berfaedah dan pelbagai lagi persoalan-persoalan yang bermain difikiran penulis.

Penulis tidak mengingkari adanya politik dalam Islam, tetapi menyibukkan sesuatu yang penting daripada sesuatu yang lebih penting adalah termasuk sebagai perkara-perkara yang memalingkan dari dakwah yang utama kerana apabila ditanamkan dahulu umat dengan akidah, akhlak dan ibadah yang tulen maka akan lahirlah umat yang sejahtera, bersikap hormat menghormati, terhindarnya fitnah memfitnah dan pelbagai lagi kebaikan yang akan dilihat dan akhirnya menjadi umat yang bersatu padu.

Tidakkah parti-parti politik terfikir bahawa seolah-olah syaitan telah berjaya melaga-lagakan mereka dan menjadikan umat islam berpecah dan bermusuhan kerana kebanyakan daripada perpecahan yang berlaku di kalangan umat islam masa kini adalah kerana fitnah-memfitnah, berburuk sangka dan mempercayai gosip dusta yang akhirnya hanya membawa kepada keburukan sahaja. Firman Allah s.w.t:

Dan katakanlah kepada hamha-hamba-Ku,supaya mereka berkata dengan kata-kata yang baik; Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. [ al-Isra’ : 53]

Maka hendaklah kita berhati-hati daripada menyebarkan berita-berita fitnah melainkan berita yang benar dan baik sahaja serta berbaik sangkalah kita sesama umat islam.

Bukanlah tanggunggjawab sebenar yang ingin mempertahankan islam pada jalan politik sahaja tetapi hendaklah ia membawa apa islam yang sebenar dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a kerana merekalah sebaik-baik generasi yang perlu dicontohi oleh umat sekarang. Dalam hadis Sahih Bukhari Rasulullah s.a.w bersabda:

Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in).

annadwi

Dalam artikel Dr Asri Zainul Abidin beliau ada menukilkan nasihat al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin. Nasihat ini beliau rakamkan dalam risalahnya yang bertajuk: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya: “Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu”.

Kata al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin:

Wahai ikhwan Muslimin yang mulia!

Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur. Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya….istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera.

Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan ALLAH. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada ALLAH. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. Ini seperti firman ALLAH: (maksud) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….”

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan!

Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia –dengan izin ALLAH- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah ALLAH dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang ALLAH sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.
Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa –setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha ALLAH, kesemuanya pada jalan ALLAH. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada ALLAH. (rujukan: al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Wallahua'lam

 

Muhammad Fakhruddin Ismail

No comments: