Friday, March 12, 2010

Hukum Bermusafir Menyaksikan Perlawanaan Bola Sepak

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

             Menurut Dr Basri Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari (Pensyarah Fakulti Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia),hadis-hadis nabi tidak menentukan jarak musafir. Ini dipegang oleh ulamak mazhab Zahiri, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyyah, dan ulamak-ulamak yang sependapat dengannya, iaitu tidak ada penentuan tertentu berkaitan dengan jarak yang mengharuskan qashar solat, sebaliknya harus mengqasarkan solat pada setiap perjalanan yang dinamakan sebagai musafir dari segi uruf dan juga bahasa, kerana kekuatan dalil-dalilnya dan kelemahan dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulamak lain. Tambahan pula, dalil-dalil yang ada tidak menyatakan dengan terang tentang penentuan jarak perjalanan tersebut.

'Uruf memainkan peranan yang besar di dalam menentukan perjalanan yang tidak layak dinamakan sebagai musafir. Hari ini perjalanan sejauh 80KM sudah boleh dianggap perjalanan yang mengharuskan solat qasar. [1]

soccerball

Berbalik kepada tajuk asal adakah bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak dikira musafir yang bertujuan maksiat dan tidak diharuskan solat jamak dan qasar? Bolasepak dan semua jenis sukan adalah diharuskan didalam Islam berdasarkan kaedah:

"Asal sesuatu hukum itu adalah harus"

Asal sesuatu hukum itu adalah harus selagi tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya dari batasan keharusan itu, seperti melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak dan dilakukan dengan niat untuk menguatkan badan dan jasad untuk melakukan perkara ketaatan kepada Allah SWT. Jika demikian, maka bermusafir untuk menonton bolasepak adalah diharuskan dan boleh melakukan rukhsah solat, dengan syarat perlawanan bolasepak yang dianjurkan tersebut hendaklah mematuhi hukum syarak, iaitu antaranya:

  • Menjaga waktu solat sewaktu perlawanan berlangsung
  • Mengelakkan berlakunya pertaruhan
  • Menutup aurat ketika bermain
  • Tidak bergaduh sesama sendiri atau dengan pihak lawan atau dengan penyokong pihak lawan

Pendek kata, keharusan solat qasar ketika bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak ini bergantung kepada sejauhmana perlawanan itu mematuhi hukum syarak. Selain itu, keharusan sebegini juga membuka ruang terbaik untuk berdakwah yang akan membawa kepada kesempurnaan peribadi muslim, terutamanya di sudut aurat dan memelihara waktu solat. Sukan-sukan lain telah menampakkan hasilnya seperti hoki dan takraw, terdapat pemain di peringkat kebangsaan yang bermain dengan menutup aurat.

Maka adalah tidak wajar ”juara kampung” pula membuka aurat. Islam tidak meghalang aktiviti bersukan dengan syarat ia memelihara batas-batas hukum dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam.

Menurut Dr Yusuf Qardhawi, antara peraturan penting dalam bersukan ialah tidak menimbulkan mudharat yang keterlaluan kepada pemainnya, contohnya seperti dalam acara tinju dan gusti di mana pesertanya boleh membunuh lawannya dengan pukulan mati atau menimbulkan kecacatan yang akan dideritai sepanjang hayat. Jika demikian , ia tidak wajar diadakan dan secara qiasnya bermusafir untuk menonton acara sukan sebegini bukanlah termasuk dalam perkara yang diharuskan oleh syarak. (Hiburan Dan Gurau Senda Menurut Islam, hal 63-64) [2]

______________________________________________________________________

Rujukan:

  1. Dr Basri Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari- Fiqh Perbandingan ,Isu-Isu Fiqh Terpilih Cetakan Al-Hidayah m/s 15-16
  2. Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya - 120 Persolan Jamak dan Qasar Cetakan Faza Publications m/s 36-38