Saturday, December 12, 2009

Salahguna Nama Ijmak

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservetif agama itu sendiri.

Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah ‘tidak laku’ atau menghadapi ‘tarikh luput’ di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.

Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas.


-Sumber Rujukan

Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan.

Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama.

Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.

Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi ‘ijmak ulamak’. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama.

Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijma’. Kesan, membawa kepada kekufuran.

Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut ‘kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama’. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya “Pendapat ulama-ulama kita la..”. Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama.

Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma’ atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma’ yang sebenar?

Takrif bagi perkataan al-Ijma’ ini di sisi majoriti ulama ialah

“Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak”. (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr).

Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman.

Maksudnya, para mujtahidin tanpa pengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak.

Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr ‘Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa ‘arus perdana’ atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.

beza
- Gambar Hiasan

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya.

Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira.

Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid.

Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut:

“Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma’ yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian.

Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak.

Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu’asir .

Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja.

Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily:

“Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma’ (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: “Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu” (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).

Maka jika anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham.

Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

Menjawab Tuduhan Yayasan Sofa

 

TAUHID TIGA SERANGKAI MEMANG BERASASKAN DALIL SYARAK

Oleh Ustaz Ahmad Kamil Halim

Assalamualaikum,

Untuk beberapa minggu , pihak akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Relung Cahaya pada setiap hari Isnin menyiarkan perbahasan tauhid tiga serangkai yang dihasilkan oleh pihak Panel Penyelidikan Yayasan Sofa ( atau singkatannya PPYS), Negeri Sembilan. Setelah mengikuti tulisan-tulisan berkenaan, saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan. Diharap pandangan yang bakal saya tampilkan akan diberi perhatian , dibuat kajian lanjutan oleh pihak PPYS . Jika tidak , maka tidak berbaloilah saya menghabiskan masa menulis artikel ini.

Pihak PPYS cuba menafikan sekeras-sekerasnya kewujudan tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa sifat atas kaedah pembahagian kepada tiga bahagian dengan alasan tiada dalil syarak dari Al Quran , hadis nabi dan athar para sahabat yang menyebut begitu. Benarkah begitu? Jika mahu dicari dalil secara khusus ( spesifik) sudah tidak dijumpai dalilnya. Begitu juga jika mahu dicari dalil bahawa sifat Allah Taala hanya 20 sifat sahaja maka tidak akan dijumpai dalilnya. Jika mahu dicari dalil bahawa hadis Nabi dibahagikan kepada tiga bahagian ( hadis sohih, hasan dan dhaif ) maka tidak dijumpai dalilnya. Dari mana datang nama-nama dalam hukum-hukum tajwid? Dari mana datangnya ilmu usul feqh ? Dari mana datangnya ilmu usul hadis, ilmu usul tafsir dan sebagainya.

Sebagai contoh lebih jelas, Rassulullah sa.w. tidak pernah mengajar para sahabat hukum tajwid seperti hukum idgham , hukum mad, hukum ikhfa’ dan sebagainya. Namun ianya bukanlah satu perkara baru yang dilarang kerana hanya bersifat sebagai perantaraan ( wasilah) dalam memahami ilmu dalam rangka membawa kita memahmi maksudnya ( maqasid). Banyak lagi contoh-contoh lain dalam pelbagai pembahagian bidang ilmu yang tidak akan dijumpai dalil secara khusus .

Apa yang perlu kita sama-sama fahami, pembahagian- pembahagian ini berlaku dari sudut BAHASA sahaja sebagai satu bentuk penjenamaan yang memudahkan pemahaman terhadap apa yang dipelajari hasil dari perkembangan ilmu akibat peralihan zaman.

Kembali kepada persoalan tauhid tiga serangkai . Walaupun secara spesifik penjenamaan itu tidak wujud zaman generasi terawal iaitu di zaman Rasululllah s.a.w. dan para sahabat, tetapi sesiapa yang mengkaji secara mendalam dari sudut bahasa antara Rab ( رب ) dan perkataan Ilah ( إله ) berdasarkan kamus Arab atau mu’jam , maka perbezaan dapat dilihat dengan jelas. Kenapakah ayat pertama Al-Fatihah ia berbunyi ( Alhamdulillah Rabbil Alamiin) didatangkan perkataan Rab, tetapi dalam kalimah tauhid ( syahadah) kita diajar menyebut ( La Ilah Ilallah ) dengan didatangkan perkataan Ilah

Di zaman generasi terawal, pembahagian seperti ini tidak perlu, kerana pemahaman terhadap perkara ini berlaku secara mudah dan para sahabat memahami berdasarkan penggunaan bahasa Arab. Oleh kerana tidak ada keperluan yang mendorong kepada pembahagian itu pada zaman berkenaan maka pembahagian itu tidak wujud secara formal atau tersurat, sekalipun ianya memang wujud secara tersirat. Pembahagian ini hanya sekadar memenuhi kemaslahatan dari sudut pemahaman ilmu. Jika mahu dikatakan pembahagian ini ( secara penjenamaan khusus) sebagai satu bid’ah , maka ia dianggap bid’ah dari sudut lughah sahaja ( bahasa). Apa yang penting bukan soal nama, tetapi maksud dan pengertian yang tersirat disebaliknya. Jika mahu dibuang penjenamaan tauhid rububiyyah , tauhid uluhiyyah dan tauhid asma wasifat bermakna kita juga perlu membuang penjenamaan lain yang tiada dalil khusus seperti hukum nun mati dan tanwin dalam subek tajwid, pembahagian sifat-sifat Allah kepada sifat ma’ani, maknawiyah, nafsi dan salbiyah ( berdasarkan manhaj Asya’irah) dan pelbagi lagi contoh lain. Kaedah ini disusun berdasarkan keperluan dari sudut masolih mursalah dari subjek usul fekh.
Agak menghairankan apabila pihak PPYS mengemukakan soalan apakah terdapat perbezaan antara tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah ? Diminta buat penyelidikan terhadap tafsiran ayat berikut :

1 ) Untuk tauhid Rububiyyah sila lihat contoh ayat-ayat berikut : Surah Al-Mukminun ayat 84-89, Surah Ar Ra’du ayat 16, Surah Luqman ayat 25, Surah Al Ankabut 61-65.

2) Untuk Tauhid Uluhiyyah sila lihat ayat ayat berikut : Surah Al-Baqarah ayat 21, Surah Al Zumar ayat 14 -15 ,Surah Al Bayyinah ayat 5 ) .

Ayat-ayat di atas hanya sekadar contoh sahaja. Banyak lagi ayat-ayat lain yang boleh dijadikan rujukan dan kajian.

Benarkah Ibn Taimiyyah pencipta kaedah tauhid 3 serangkai ?

Dakwaan pihak PPYS bahawa Ibn Taimiyyah ( w. 728H) adalah pereka kepada bid’ah tauhid tiga serangkai tidak benar. Pihak PPYS disyorkan meluaskan lagi penyelidikan terhadap banyak lagi kitab-kitab turath lain yang mudah diperolehi di zaman IT ini. Jika tidak dijumpai dikedai-kedai buku, carilah dalam internet atau kitab secara e-book.

Antara tokoh terdahulu yang telah memperkatakannya ialah :

1 ) Al-Imam Abi Abdillah Ubaidillah bin Muhammad bin Battah Al-Akbariy , meninggal tahun 387 H di dalam kitab Al-Ibanah ‘An Syariah Al Firqah An Najiah Wa Mujanabah Al Firaq Al Mazmumah . Dalam teks kata-kata belaiu , antara lain ..

“ …. Bahawa Asal Iman kepada Allah yang wajib atas sekelian makhluk beri’tikad dengannya dalam mengisbatkan iman adalah tiga perkara :

Pertama : Bahawa seorang hamba beri’tiqad akan sifat ketuhanannya ( rububiyyah) agar jadilah perkara itu satu perbezaan dari mazhab ahl at ta’til yang tidak mengisbatkan adanya pencipta.

Kedua : Bahawa seorang hamba beri’tiad akan keesaanNya ( uluhiyyah) agar jadilah ia satu perbezaan dari golongan ahli syirik yang mengakui kewujudan pencipta ( Allah ) tetapi melakukan syirik dalam amalan ibadah mereka.

Ketiga : Bahawa seorang hamba beri’tiqad bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat yang tidak haruslah Dia melainkan bersifat dengan sifat seperi ilmu, qudrat, hikmah dan semua sifat yang Dia sifatkan didalam kitabNya.”

Seterusnya beliau menyebut sebagai sambungan : “ Kerana kita dapati Allah Taala telah memerintahkan hambaNya kepada I’tiqad dengan setiap satu dari tiga perkara ini dan beriman dengannya.” Tiga perkara yang dimaksudkan oleh Ibn Battah di sini ialah tauhid rububiyyah , uluhiyyah dan asma wa sifat.

2 ) Al Imam Al Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Ishaq bin Yahya Bin Mandah , meninggal tahun 395 H . Di dalam kitab beliau “ Kitab At Tauhid Wa Makrifatu Asma Allah Azzawajalla Wasifati ‘Alal ittifaq Wal iftiraq “ > . Di dalam kitab beliau menjelaskan beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid rabubiyyah, beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid uluhiyyah dan beberapa tajuk lain berkaitan tauhid asma’ wa sifat. Apa yang lebih menarik, di dalam muqaddimah kitab ini Ibn Mandah menyebut bahwa Al-Imam Abu Yusof ( w. 182H) yang merupakan tokoh besar dalam mazhab Abu Hanifah ( w. 150) turut memperkatakan pembahagian tauhid ini semasa kurun kedua lagi .

Sangat menarik sekali bahawa Al-Imam As Syafie secara lisan yang tersirat mengakui kewujudan tauhid uluhiyyah melalui kata-kata beliau “… inilah hakikat tauhid “ dalam satu riwayat dari Imam Al Muzani yang dikemukakan oleh Al-Imam Az Zahabi didalam Siyar I’lam An Nubala’ jilid 10 m.s. 26, terbitan Muassasah Ar Risalah Beirut, Lubnan. Harap pihak PPYS memiliki kitab setebal 23 jilid ini dan membuat rujukan kepadanya.

Tindakan pihak PPYS membesar-besarkan nama Ibn Taimiyyah Rahimahullah sebagai pereka kepada tauhid tiga serangkai sekadar meneruskan agenda pihak yang sudah lama memusuhi Ibn Taimiyyah . Adalah tidak adil sekiranya kita menilai sesuatu permasalahan berdasarkan pandangan pihak yang kita cenderung kepadanya, tanpa melihat hujah-hujjah pihak lain yang kita tidak bersetuju dengannya. Di dalam dunia Islam masa kini, golongan generasi muda yang prihatin dengan perkembangan ilmu Islam, mengambil sikap menilai secara adil dan saksama segala kemelut yang berlaku. Tokoh seperti Muhammad Zahid Al Kauthari dari Negara Turki bermazhab Hanafi dan Hasan Ali As Saqaf dari Jordan antara tokoh yang kuat mengkritik Ibn Taimiyyah dan menentang keras pembahagian tauhid 3 serangkai. Apa yang memusykilkan saya ialah kenapa kaedah mengenali Allah melalui sifat 20 tidak pula diperbesarkan oleh pihak PPYS. Pada hal Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar para sahabat dan kita semua , bahawa Allah hanya memiliki 20 sifat sahaja.

Perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian oleh pihak PPYS ialah ancaman ilmu kalam terhadap kemurniaan sistem pembelajaran ilmu tauhid. Sejarah membuktikan bahawa Al Imam As Syafie tokoh yang paling kuat menentang ilmu kalam dan penggunaannya dalam subjek akidah.

Dakwaan bahawa tauhid 3 serangkai menjadi sebab berlaku pergolakan di Negara timur tengah memerlukan kepada bukti yang jelas dan tepat. Benarkah berlaku tindakan mengkafirkan ke atas pihak yang mengengkari tauhid 3 serangkai ini?? Atau ia andaian yang dibuat kerana salah faham .

Benarkah dakwaan tauhid 3 serangkai penyebab keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah? Semua persoalan di atas perlu dibuktikan dengan dinyatakan bahan rujukannya secara adil dan telus. Tanpa rujukan dari sumber yang boleh dipercayai, ia hanya tinggal satu dakwaan kosong . Ini kerana banyak dakwaan pihak PPYS tidak disertakan bersama bahan rujukannya, nama penulis dan penerbitnya.

Adakah pihak PPYS telah membuat kajian secara adil dan seimbang ?/ Atau sekadar menceduk hujah dan fakta dari tukang-tukang fitnah yang sudah sekelian lama memusuhi Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab ( Wahabi) ? Saya lebih suka mengambil sikap tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya suka melihat, memerhati, mengkaji kesemua pandangan. Kemudian minta petunjuk kepada Allah agar ditunjukkan yang sebenarnya.

Benarkah semua tokoh ulamak Al Azhar menolak konsep tauhid tauhid 3 serangkai ? Jika benar Mufti Mesir menolaknya, nilailah secara adil hujjah dan alasan-alasan beliau. Lihatlah hujjah dan dalil yang dikemukakan berdasarkan prinsip ilmu, manhaj yang tepat bukannya kapasiti seseorang individu dengan jawatan yang dipegangnya. Mungkin beliau ada alasan tersendiri yang boleh diterima . Bukanlah saya bermaksud mengatakan pandangan ulama’ yang menolak pembahagian tauhid 3 serangkai tidak berdasarkan prinsip ilmu atau terkeluar dari manhaj yang betul, mungkin perbezaan berlaku dari sudut kaedah istidlal dan arah pandangan yang berbeza skopnya. Perlu juga disemak dan dikaji pandangan ulamak lain kerana dunia Islam ini sangat luas . Umat Islam dan para ulama’nya ada di mana-mana.

As Syaikh Al Allamah Bakar Abu Zaid Hafizahullah berkata : { Pembahagian ini secara istiqra’ ( kajian pemerhatian) di sisi generasi salaf telah diisyaratkan oleh Ibn Mandah, Ibn Jarir At Tobari, diakui oleh Ibn Taimiyyah , Ibn Al Qayyim , diakui oleh Az Zabidi didalam Tajul Arus, guru kita Syaikh Al Amin As Syanqiti di dalam kitab tafsirnya Adwa’ Al-Bayan , Ia merupakan satu istiqra’ yang lengkap terhadap nas-nas syarak , diguna pakai di sisi ahli setiap cabang ilmu sebagaimana istiqra’ ulama’ nahu terhadap bahasa Arab , membahagikannya kepada isim (kata nama), fiil( kata kerja) dan haraf ( kata penghubung). Tiada seorang pun mencela ulama’ nahu atas pembahagian ini ( isim , fiil dan haraf) . demikianlah semua jenis istiqra’ } . Dipetik dari At Tahzir Min Mukhtasar As Sobuni Fi Tafsir .

Saya mengajak diri saya dan pihak PPYS agar perbahasan masalah ilmu dibahaskan secara penuh keinsafan , adil, berbaik sangka kepada semua pihak . Janganlah rasa kebencian kepada pihak tertentu mendorong kita berlaku tidak adil kepada mereka. Allah mengingatkan hal ini dalam ayat : “ Janganlah kebencian kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, berlaku adillah, kerana ia menghampirkan kepada taqwa….” Surah Al Maidah ayat 8 .

Kaedah Tauhid 3 serangkai bukan sesuatu yang baru di negara kita sebagaimana yang disangka pihak PPYS. Mungkin bagi pihak yang tidak terdedah kepada pendekatan pengajian sebegini merasakan ianya sesuatu yang ganjil dan baru. Semasa menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh sekitar awal 80-an , saya pernah mengikut program usrah yang mengguna pakai buku Risalah Usrah susunan Abu Urwah. Di dalamnya disebut pembahagian tauhid 3 serangkai dan penjelasan maksud setiap satunya dengan jelas. Tiada masalah untuk memahaminya. Buku berkenaan masih ada dalam simpanan saya.

Persoalan adakah orang beriman juga akan terlibat dengan syirik ? Berdasarkan dalil dari Qur’an dan hadis Nabi , jawapannya ya . Lihat tafsiran ayat 106 surah Yusuf . Syirik yang dimaksudkan di sini ialah syirik yang tidak membawa kepada rosaknya agama seseorang ( syirkun duna syirkin ). Termasuklah di dalamnya beramal secara riya’ ( menunjuk-nunjuk). Contoh dari hadis ialah “ Sesungguhnya jampi mentera, tangkal azimat dan ilmu guna-gunaan perbuatan syirik “ Sunan Ibn Majah no : 3530.

Orang-orang beriman yang sempurna tauhidnya kepada Allah , berusaha menjauhi segala unsur-unsur syirik dengan sejauh-jauhnya. Inilah yang disebut oleh Allah dalam ayat 82 Surah Al An’aam. “ Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan keimanan mereka dengan syirik, merekalah yang mendapat keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk. ”

Rasulullah s.a.w. mengajar sebuah doa yang berbunyi : “ Ya Allah ! Aku berlindung denganMu dari perbuatan menyengutukanMu dengan sesuatu pada hal aku mengetahuinya, dan aku mohon keampunan terhadap perbuatan syirik yang aku tidak ketahuinya” Hadis Riwayat Imam Ahmad .
Pihak PPYS mempersoalkan kenyataan yang disebut datang dari Ibn Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya berbunyi :

1 ) Orang musyrik yang menyengutukan Allah adalah ahli tauhid secara tauhid rububiyyah .

Jawapan ; Orang musyrik zaman jahiliah mengakui Allah sebagai pencipta langit dan bumi, namun mereka menyenkutukan Allah dalam ibadah dengan menjadikan berhala sebagai perantaraan. Dalilnya boleh dilihat pada ayat : 61 Surah Al Ankabut. Juga Surah Az Zumar ayat 2 .

Dalam keadaan terdesak dan tertekan , golongan musyrik akan berdoa kepada Allah bukan kepada berhala yang mereka sembah . Namun apabila hilangnya kesusahan mereka kembali kepada keadaan asal ( syirik). Dalilnya dalam ayat 40-41 Surah Al-An’aam. Lihat juga Surah Yunus ayat 22-23.

2 ) Persoalan tawassul , istighasah dan tabbaruk mempunyai perincian tersendiri. Tawassul ada yang dibenarkan , ada yang tidak dibenarkan berdasarkan pendekatan yang digunakan. Istighasah sememangnya menyalahi nas Al – Quran termasuk konsep tauhid dalam ayat 4 surah Al-Fatihah “ Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau kami minta pertolongan “.
Kehairanan PPYS bahawa kenyataan sebegini tidak ditemui dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini Di Malaysia, menggambarkan pengajian ilmu tauhid di Malaysia ketinggalan zaman dan masih berada ditakuk lama. Perbahasan tauhid hanya terhad kepada menghafal sifat dua puluh dan beberapa perkara yang dibahaskan dalam mazhab Asya’irah , Maturidiyyah. Namun, di peringkat antarabangsa, terutama peringkat universiti di dunia Islam pengajian ilmu tauhid termasuk juga pengajian ilmu feqh dibuat secara muqaranah (perbandingan). Perbandingan ini mencakupi mazhab –mazhab lain seperti jahmiyyah, muktazilah, syi’ah, qadariyyah, jabariah , khawarij dan lain-lain. Rujukan bukan setakat kepada kitab-kitab tauhid sahaja bahkan terus kepada meneroka khazanah ilmu tauhid dari sumber asal iaitu Al Qur’an dan As Sunnah. Di dalam sahih Bukhari terdapat bahagian khusus hadis-hadis yang dihimpunkan dalam bab kitab at tauhid .

Kitab-kitab tauhid yang ditulis di zaman awal Islam turut dikaji seperti Al Fiqh Al Akbar oleh Imam Abu Hanifah, Kitab At Tauhid dan Sifat Ar Rab oleh Imam Ibnu Khuzaimah, Yang paling muktamad dalam menerangkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah kitab Syarah Usul I’tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah Min Kitab Wa Sunnah oleh Al Hafiz Abi Qasim Hibbatullah bin Al Hasan bin Mansur Al Lalakai wafat tahun 418H.

Berdasarkan kajian dan analisa oleh Ustaz dr. Ismail Lutfi Al Fatoni di dalam buku beliau Hakikat Ahli Sunnah Wal Jamaah dan peranan ulamanya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan , terdapat 72 buah kitab tauhid bermanhaj as salaf yang ditulis dari pertengahan kurun kedua hijrah hingga pertengahan kurun ketujuh iaitu sebelum zaman wujudnya Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab. Jika pihak PPYS mengkaji kitab-kitab berkenaan, akan terjawablah persoalan bahawa kenyataan yang didakwa kononnya dari rekaan dan ciptaan Ibn Taimiyyah sebenarnya adalah andaian pihak PPYS sendiri.

Sukalah saya mengingatkan pihak PPYS , dalam dunia era globalisasi masa kini , perkembangan ilmu dan maklumat berlaku dengan begitu cepat sekali. Justeru itu, berhati-hatilah dalam membuat telahan terhadap sesuatu permasalahan. Pihak lain juga membuat kajian dan penyelidikan . Seandainya fakta dan maklumat yang disampaikan ada kelemahan dan kecacatan, pihak lain yang mengkajinya akan mengesan dengan cepat.

Kepada Allah Jua dipohon petunjukNya. Maaf dipohon sekiranya ada terkasar bahasa. Saya menulis dengan rasa tenang tanpa dipengaruhi emosi.

Walaupun kita tidak sependapat dalam persoalan tauhid tiga serangkai, namun saya mengasihi pihak PPYS atas sifat kita saudara seagama. Ya semua kita bersaudara. Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara. Salam kasih sayang dan salam ukhuwwah.

Ahmad Kamil Abdul Halim
Kota Bharu Kelantan.

Sumber: Minda Akob

Pembahagian Tauhid Sebelum Ibn Taimiyyah


Written by abdul kadir

Tuesday, 08 December 2009

oleh: Panel Penyelidik Institut al-Qayyim.


Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106). Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang mendiptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

Wassalam.

Wednesday, November 25, 2009

Ikut Mazhab Syafie Atau Mazhab Tradisi ?

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Sesetengah masyarakat islam di Malaysia khususnya amalan-amalan yang diamalkan bukanlah sebenarnya ingin mengikut mazhab al-Syafie tetapi hanya mengikut amalan-amalan tradisi turun-temurun yang sudah sebati dengan jiwa mereka. Mereka yang bising ‘kita perlu ikut mazhab Syafie!’ hanyalah slogan dimulut mereka sahaja tetapi hakikatnya mereka pun tidak mengikut pandangan dalam mazhab Syafie dan masyarkat sendiri pun tidak tahu samaada amalan yang dilakukan itu ada dalam mazhab Syafie atau tidak.

Apa yang penulis lihat amalan seperti qunut subuh, zikir berjemaah selepas solat, kenduri arwah, upah jenazah, tahlil, membaca yasin pada malam jumaat, amalan nifsu sya’ban, doa awal tahun dan akhir tahun, membaca al-quran pada orang yang sudah meninggal samada dikubur atau dirumah, meletak payung, bunga atau membina bangunan dan sebagainya dikuburan, menyentuh wanita membatalkan wuduk, bersanding, kenduri tolak bala,amalan tujuh likur dan pelbagai amalan-amalan sebenarnya hanyalah amalan-amalan yang sudah sebati dijiwa mereka lalu mereka menyandarkan beberapa amalan yang dianggap baik itu adalah bid’ah hasanah dalam mazhab Syafie walaupun ada sesetengah amalan itu sebenarnya tidaklah mengikut mazhab Syafie dan tidak pula imam Syafie menyebut sebagai bid’ah hasanah seperti zikir berjemaah selepas solat, kenduri arwah, upah jenazah, bacaan al-Quran pada si mati dan lain-lain serta ditambah pula tradisi-tradisi nenek moyang mereka yang terdahulu seperti malam tujuh likur, kenduri tolak bala, bersanding dan amalan-amalan lain yang dilakukan mereka malah ada sampai ketahap khurafat. Mereka telah mempercampur adukkan amalan sebenar dalam mazhab Syafie dan amalan-amalan tradisi mereka. Mazhab itu hanyalah slogan mereka sahaja tetapi hakikatnya mereka hanyalah meneruskan tradisi-tradisi amalan yang sudah sebati dijiwa mereka dan amalan-amalan lain yang dianggap baik bagi mereka serta tradisi-tradisi nenek moyong mereka terdahulu yang sudah bercampur dengan kepercayaan khurafat. Itulah realitinya!

Apabila sesuatu amalan itu dikritik maka bangkitlah mereka menentang sesiapa sahaja yang menyanggahi dan menolak amalan-amalan itu dengan slogan ‘kita perlu ikut mazhab Syafie !’ Lebih daripada itu mereka akan melabelkan puak-puak yang menentang amalan itu sebagai wahabi, membawa ajaran yang aneh dan mengelirukan, tidak mengikut mazhab Syafie, sesat, boleh membawa pecah belah, menolak ijmak, qias, menghina ulamak, menolak ulamak dan berbagai tuduhan-tuduhan yang tidak benar dan berasas sama sekali. Malah ada tuduhan ini dilontarkan oleh beberapa kelompok yang merasai kepentingan dan pengaruhnya akan hilang.

Senjata fitnah itu juga pernah dilontarkan terhadap tokoh pembaharuan seperti Dr Hamka,Syed Syeikh al-Hadi, Mustafa Abdurrahman, Za’ba dan ramai lagi.Malah tokoh ilmuan islam sekarang seperti Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi yang diakui beribu ulamak besar pernah dituduh sebagai wahabi pada zaman mudanya, membawa ajaran yang mengelirukan, menghina ulamak dan pelbagai tohmahan yang dilontarkan terhadap beliau sedangkan beliau hanyalah menyeru manusia supaya kembali kepada amalan yang benar berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Syekh Yusuf al-Qaradhawi menceritakan suatu ketika dahulu, beliau berhadapan dengan pelbagai konterversi hanya kerana beliau menegur gurunya berkaitan dengan perkara khurafat yang berlaku di sekitar Mesir. Atas peristiwa ini, beliau digelar oleh gurunya dengan gelaran Wahabi!

Bukan setakat di bilik darjah, di tempat tinggalnya juga beliau terpaksa menangani kekecohan dari penduduk tempatan yang mendakwa beliau telah menghina para ulama kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza.

Dalam Mukadimah buku beliau Fatwa Mu’asarah, beliau menulis, “Pada mulanya saya menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai. Mereka tertanya-tanya: “Bagaimana pemuda ini berani berbeza pandangan dengan syeikh-syeikh besar? Bagaimana dia mengajar orang-orang bukan daripada kitab-kitab muktabar? Bagaimana dia boleh mengeluarkan pandangan-pandangan yang sebelum ini belum pernah kami dengar?” Saya menghadapi hal ii dengan penuh tabah sambil mempertahankan pandangan. Saya katakana kepada orang-orang yang tidak bersetuju: “Di antara saya dan kamu ialah al-Quran dan Sunnah. Oleh itu marilah kita kembali kepadanya.” [1]

Mengapa apabila ada sesuatu masyarakat di Malaysia sebagai contohnya apabila mereka melihat ada masyarkat lain di daerahnya tidak melakukan amalan kebiasaan mereka maka akan dilabelkannya sebagai wahabi, ajaran pelik dan sebagainya? Ini kerana apabila sesuatu ibadah itu dari turun temurun mereka sudah amalkan dan sebati dijiwa masyarakat itu dan tambah pula dengan fanatik pandangan dengan sesuatu yang disandarkan pada mazhab itu tanpa melihat kembali pada al-Quran dan Sunnah ia sebenarnya sudah menjadikan ibadah itu juga sebagai mazhab tradisi mereka. Sebab itu penulis tidak pelik apabila ada yang tidak qunut subuh maka ada yang mengatakan boleh merosak akidah kerana tidak qunut subuh. Ia seperti juga amalan-amalan lain seperti kenduri arwah yang sudah menjadi amalan sebati mereka. Ini kerana masyarakat tidak di ajar untuk melihat kembali pada al-Quran dan Sunnah dalam sesuatu amalan ibadah meraka tetapi hanya bertaklid buta pada si ustaz dan syeikh.

Tidakkah kita lihat ketika dakwah awal Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyeru dan ingin menyelamatkan manusia daripada amalan-amalan tradisi mereka tidakkah baginda juga dituduh gila, difitnah, dibalas maki hamun, membawa ajran pelik, ganjil dan seribu satu kecaman.

Maka tidak peliklah jika di zaman ini juga ada muncul semula tuduhan-tuduhan fitnah seperti itu kepada golongan yang ingin membuat pembaharuan pada umatnya, menghidupkan semula sunnah nabi yang sudah lama dimatikan dengan menyeru masyarakat supaya kembali pada al-quran dan sunnah. Tidakkah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda yang bermaksud:

“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”

[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]

Baginda ditanya, “siapakah orang-orang yang asing itu?”

Baginda menjawab, “iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak”

[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’ud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani]

Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”

Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, “mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya” [2]

 

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail

_______________________________________________________________________

Rujukan:

Jangan bunuh intelektual

 

Artikel ini tulisan Datuk Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersiar di Utusan Malaysia 27 Nov 2009

 

Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) intelektual. Namun, sebagai manusia biasa, beliau tidak bebas daripada kelemahan. Begitu juga intelektual lain. Justeru, mereka boleh dikritik. Tetapi, cara beliau diserang baru-baru ini adalah tidak adil. Begitu juga dengan cara intelektual lain yang pernah diserang.

Islam meletakkan intelektual/ulama di tempat tertinggi, iaitu sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Kita memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban.

Membina intelektual yang hebat, kelas pertama dan bertaraf dunia bukanlah mudah. Kita melakukan segala-galanya untuk melahirkan dan memperkukuhkannya. Antaranya, ialah menyediakan pensyarah universiti berkelulusan PhD atau setaraf.

Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.

Menurut Syed Hussein Alatas (1977), dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, definisi intelektual ialah

“orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya”.

Menurutnya lagi,

“Pengetahuan tentang suatu pokok permasalahan tertentu atau memiliki sesuatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini sering kali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya. Sebaliknya, orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya.”

Intelektual diharapkan memikul amanah tamadun dan peradaban dengan sebaik-baiknya. Mereka perlu mengelakkan diri daripada menjadi fenomena di US, iaitu yang disebut oleh Frank Furedi (2004) dalam bukunya Where Have All the Intellectuals Gone?, di mana pemikir seperti Betrand Russel, Raymond Williams atau Hannah Arendt, iaitu tokoh yang mempunyai ilmu yang tulen, visi yang luas dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat telah diganti oleh peramal yang dangkal, pengkaji yang apologis dan pakar pemutar isu.


Datuk Saifuddin Abdullah

Intelektual subur dalam masyarakat yang menghayati budaya ilmu, yang menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (1991) dalam bukunya, Penjelasan Budaya Ilmu, ialah masyarakat yang meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi, sentiasa menuntut, mengembang dan mengongsi ilmu serta setiap keputusan adalah berasaskan ilmu.

Malangnya, dalam sejarah, berlaku beberapa tragedi intelektual dibunuh. Di barat, ada intelektual dibunuh kerana bertentangan pendapat dengan pihak berkuasa agama. Di timur, ada Revolusi Kebudayaan yang mengorbankan satu generasi intelektual. Di sini, intelektual Kaum Muda dihentam Kaum Tua.

Antara ciri-ciri lazim intelektual dan penentangnya ialah:

  • Intelektual berusia muda, walaupun ada yang berumur. Penentangnya lebih tua, atau kalaupun muda, tetapi tua pemikirannya.
  • Intelektual rajin menulis buku dan rencana, membentang kertas kerja di seminar ilmiah, menjadi kolumnis, sering diundang media elektronik serta ada laman web, blog dan sebagainya. Penentangnya kurang rajin.
  • Intelektual aktif mengeluarkan pendapat tanpa ragu atau ampu. Penentangnya kurang aktif.
  • Intelektual kritis, progresif dan adakalanya berbeza dengan pemikiran arus perdana. Penentangnya jumud, sering bersama arus perdana, manakala arus perdana adakalanya tidak mempunyai apa-apa pemikiran pun.
  • Intelektual artikulasi. Penentangnya tidak mampu berhujah.
  • Intelektual menggunakan pendekatan bijaksana, dinamik dan sesuai dengan keperluan kontemporari. Penentangnya terikat dengan pendekatan lama yang ditolak kumpulan sasar.

Antara cara penentangan yang lazim terhadap intelektual ialah:

  • Tuduh pendapat intelektual bukan idea baru tetapi idea lama yang dikitar semula. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami idea baru yang disampaikan intelektual. Kalaupun ada idea lama yang diungkap semula, bukankah sentiasa ada manusia baru yang perlu diulangkan ajaran yang sama? Contohnya, guru yang sama perlu mengajar subjek yang sama setiap tahun kerana menerima murid baru.
  • Tuduh intelektual bincang perkara ranting dan bukan fundamental atau prioriti. Sebenarnya, penentangnya tidak mengikuti atau memahami ketika banyak perkara fundamental dan prioriti dibincangkan intelektual, lalu diambillah perkara ranting itu untuk ditonjolkan.
  • Tuduh intelektual membawa faham yang salah. Sebenarnya, penentangnya tidak tahu pun apa yang dikatakan salah itu, tidak tahu bahawa apa yang dikatakan salah itu tidak salah pun, dan tidak sedar bahawa dirinya sendiri pun menggunakan apa yang dikatakan salah itu.
  • Tuduh intelektual mengelirukan. Sebenarnya, penentangnya tidak selesa dengan tradisi ilmu yang menggalakkan debat dan lebih suka menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang lain.
  • Tuduh intelektual menonjolkan diri. Sebenarnya, penentangnya yang tidak berbuat apa-apa dan iri hati melihat orang lain lebih.
  • Tuduh intelektual rapat dengan orang yang dianggap kurang baik. Sebenarnya penentangnya bersifat prejudis, menganggap dirinya sempurna.
  • Tuduh intelektual mencerca ulama. Sebenarnya intelektual bukan “mencerca”, tetapi “mengkritik”, yang digalakkan tradisi ilmu. Kecualilah jika ulama maksum lalu tidak boleh dikritik. Masalahnya, ada yang mendakwa ulama itu bukan pun ulama.

Tetapi, apa yang lebih penting ialah mengapakah dibezakan antara “intelektual” dan “ulama“? Masihkah ingin diteruskan unsur sekularisme dalam menguruskan Islam dengan mewujudkan golongan penguasa dan pendominasi agama serta terus menerus memisahkan intelektual dengan ulama?

Lupakah kita pada usaha-usaha, contohnya, “pengislaman ilmu” oleh Ismail Faruqi dan “mengintelektualkan ulama dan mengulamakkan intelektual” oleh Mohd Natsir?

  • Tuduh intelektual muda kurang pengalaman atau tidak menghormati orang tua. Sebenarnya penentangnya lupa bahawa dunia telah berubah. Pengalamannya mungkin tidak lagi relevan, hormat perlu diusahakan bukan dipaksakan dan kini wujud konsep baru seperti penghakupayaan dan partisipasi orang muda.
  • Larang intelektual bercakap tajuk tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.
  • Utamakan seniority dalam peruntukan penyelidikan atau lantikan jawatan hingga intelektual ketinggalan. Ini bertentangan dengan nilai kecemerlangan.
  • Cari, malahan cipta, kelemahan intelektual. Ini dendam peribadi.
  • Apabila berlaku pertelingkahan antara intelektual dan penentangnya, maka penentangnya mencadangkan agar berdamai. Tetapi, perdamaian perlu dilaksanakan dengan adil.
  • Apabila intelektual yang diserang mempertahankan haknya, penentangnya tidak mampu berhujah, lalu menyelamatkan diri dengan mencadangkan berdamai. Kalau perkara ini berulang, maka intelektual akan sentiasa menjadi mangsa penentangnya dalam fenomena pembulian intelektual.

Kesimpulannya, kita perlu memperkukuh, bukannya membunuh intelektual.

 

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

sumber: Utusan Online , Minda Tajdid

sumber: Datuk Saifuddin Abdullah

Tuesday, November 24, 2009

Polemik Bermazhabkan Hadis Sahih: Parameter Syafi’iyyah Dalam Berinteraksi Dengannya

 

 

1.0 Pendahuluan
Sama ada suka atau tidak, sedar atau leka, umat Islam sejak zaman selepas kewafatan Nabi Sallallahu’alaihi Wa Sallam sedang berhadapan dengan virus-virus yang bertujuan memandulkan fikrah dan manhaj golongan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Hal ini dapat dibuktikan melalui kemunculan hadis-hadis palsu oleh golongan pelampau agama yang ternyata merupakan musuh dalam selimut, keselesaan golongan ini untuk menggaulkan cita rasa logika dalam kehidupan beragama melahirkan bibit-bibit pennyelewengan walaupun kadang kala ianya berlaku tanpa sedar, berlaku atas dasar ‘cinta’ pada agama.

Kemunculan golongan-golongan yang mengajak masyarakat beramal dengan hadis yang ternyata sangat lemah (dho’if jiddan) dan palsu tanpa usul periksa atas dasar ‘cinta’ pada agama juga secara tidak lansung menghindarkan manhaj talaqqi yang tidak lagi dititik beratkan dalam soal beragama. Fakta amalan majoriti dijadikan kayu ukur zaman berzaman di merata tempat tanpa keinginan menelusuri kesahihannya, sama ada ianya fakta atau ‘auta’ semata.

Lebih mengejutkan lagi, wujud pula satu golongan merangkumi individu-individu yang bermati-matian menghalang orang awam dari membaca dan berpegang pada hadis sahih, atas dasar ‘cinta’ pada mazhab. Hal ini sangat mengecewakan kerana jika dilihat pada tafsiran golongan ini maka kesannya terlalu ramai umat pada waktu kini dilihat ‘murtad’ dari berpegang pada mazhab yang satu, maka keluh kesah mereka ini cuba ditunjukkan dengan menjumudkan pula sistem pendidikan agama kepada pandangan bahawasanya hanya layaklah orang awam itu berpegang kepada qaul atau pernyataan serta fatwa ulamak Nusantara, dan demi menghormati para Imam mazhab yang diikutinya dan nenek moyangnya sejak zaman berzaman, atas dasar ‘cinta’ pada mazhab.

Penyakit ini dilihat semakin barah apabila mereka ini cuba memahami agama secara textual tetapi tidak kontekstual. Kemudian cuba memaniskan bibir dengan kalimah ‘berlapang dada’, dan kalimah ini hanya diguna pakai apabila ianya melibatkan pandangan mereka, tidak pihak yang berlawanan. Antara contoh yang akan dibawakan dalam artikel ini ialah beberapa pandangan dan panduan yang ditetapkan oleh para ulamak dalam berinteraksi dengan hadis sahih sebagai sumber hukum utama selepas Al-Quran.

2.0 Hadis: Sumber hukum dalam kehidupan beragama
Sudah dimaklumi bahawa kerangka arus perdana di Malaysia khususnya tertumpu pada kerangka fikir Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Manakala apabila berbicara perihal rujukan utama perlulah difahami bahawa rujukan bagi setiap umat yang beriman itu ialah al-Qur'an dan al-Hadis yang sahih. Segala hukum-hakam adalah dirumus daripada kedua-dua sumber hukum ini. Tanpa merujuk kepada dua sumber utama ini, maka tiadalah hukum yang boleh dinisbahkan kepada agama Islam.

Al-Quran dengan ilmu dan kefahaman, rujukan serta tafsiran para ulamak tafsir dapat difahami dan ditelusuri makna dan hukumnya. Adapun al-Hadis menjadi perbahasan para ulamak hadis sejak zaman berzaman, dalam menentukan status sanad dan kandungannya demi menjaga agama dari parasit yang mampu menghakis ketulenannya. Akan tetapi para ulamak silam telah lebih awal mennasihatkan orang awam dalam berinteraksi dengan hadis, sebagai contoh kalam popular yang dituturkan oleh Ibn `Uyaynah seorang tokoh hadis berkata: “Hadis adalah tempat yang menyesatkan melainkan bagi fuqaha (orang-orang yang memahami secara mendalam)”. Hal yang ssama juga disentuh oleh Abu Muhammad `Abdullah bin Wahab (salah seorang murid Imam Malik) dan Imam Layth bin Sa`ad: "Hadis adalah tempat yang menyesatkan melainkan bagi ulama (orang-orang berilmu). (Qadi `Iyad, Tartib al-Madarik, juz 1, hlm 96, 1989, Maktabah al-Hayah).

Maksud pernyataan Ibn Uyainah itu menurut al-Qayrawani bermaksud: orang lain daripada mereka barangkali memahami maknanya secara zahir sedangkan ia mempunyai takwilan daripada hadis lain atau dalil yang tersembunyi atau hadis tersebut ditinggalkan kerana ia dituntut untuk ditinggalkan oleh bukan satu perkara sahaja, yang mana ia semua tidak dapat dilakukan melainkan oleh seorang yang meluas pengetahuannya dan faqih (memahami secara mendalam. (Ibn Abi Zayd al-Qayrawani, al-Jami`, sunt Muhammad Abu al-Ajfan, hlm. 118, 1402, t.tmp )

Maka menjadi kerisauan juga bagi umat akhir zaman yang hanya sejengkal ilmunya, tiba-tiba dengan mudah berkata pandangan tokoh fuqaha ini bercanggah dengan hadis. Hal ini adalah kerana salah faham dalam memahami dan menggunakan sumber utama agama yakni al-Quran dan terutamanya al-Hadis (dalam konteks perbincangan ini).

Maka tidaklah juga mengejutkan apabila ada golongan agamawan yang khuatir dengan sikap orang awam dalam cubaan mendalami dan memahami ilmu hadis. Maka akan disogok orang awam bahawa ilmu hadis ini adalah ilmu yang mampu menyesatkan (melalui kata-kata Ibn `Uyaynah atau Abu Muhammad `Abdullah bin Wahab), terutama jika dipelajari bukan dengan ahlinya. Maka hiduplah orang awam itu hanya bertangguk pada hujah golongan agamawan, hatta jika hadis yang didengarinya itu dalam ceramah atau ucapan diketahui ianya lemah atau palsu, ditanamkan dalam diri mereka supaya raguilah diri mereka, bukan hujah golongan agamawan itu.

Adapun kalam Imam Syafie rahimahullah yang mayhur bahawa beliau berkata:
“Apabila hadith itu sahih maka itulah mazhabku”

Imam Nawawi menghuraikan ungkapan Imam Syafie di atas dengan katanya: "Ia tidak bermaksud bahawa setiap orang yang melihat satu hadis sahih lalu berkata: "ini adalah mazhab Syafie" dan beramal dengan zahirnya. Tetapi ini adalah bagi orang yang mempunyai martabat ijtihad dalam mazhab. Syaratnya ialah berat sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadis ini atau tidak mengetahui kesahihannya. Ini hanya dapat diketahui setelah mengkaji tulisan-tulisan Syafie keseluruhannya dan seumpamanya juga tulisan-tulisan Ashab Syafie yang mengambil daripadanya dan seumpamanya. Syarat ini sangat sukar lagi sedikit yang bersifat dengannya.Syarat ini kami syaratkan kerana Imam Syafie meninggalkan beramal dengan zahir hadis-hadis yang banyak yang beliau telah lihat dan mengetahuinya tetapi tertegak dalil baginya tertang pertikaian terhadap hadis atau nasakhnya (pembatalannya) atau pengkhususannya atau takwilannya atau seumpamanya " (al-Majmu`, jilid 1, hlm. 104).

Golongan agamawan maka dengan itu dengan tegas menjelaskan bahawa ianya perlu difahami mengikut konteksnya, dengan erti kata lain tidaklah boleh mengambil hadis sahih sewenang-wenangnya hatta dalam Kitab Sahih Bukhari mahupun Sahih Muslim dan menyatakan ianya sebahagian daripada mazhab Syafie kerana kalam mulia Imam Syafie itu ditujukan kepada para mujtahid dan bukannya orang awam. Dan diulangilah pula penjelasan formula yang sama bahawa hadis itu boleh menyesatkan orang awam jika ditelusuri mereka. Cuma sahaja masih belum lagi hingga kini Kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim itu dimansuhkan dari muka bumi ini atas alasan formula yang sama.

2.1 Mazhab Syafie berinteraksi dengan hadis sahih : Sudut pandang kedua
Penerangan di atas adalah satu sisi perbahasan yang telah lama diguna pakai kepada orang awam dalam menasihati mereka supaya berhati-hati dengan hadis, bukan sahaja hadis yang lemah dan palsu statusnya, hatta hadis sahih perlu juga ditelusuri sebelum mengikutinya. Maka jelas bahawa syarat-syarat yang perlu diperhatikan sebelum seseorang itu mengubah mazhab imam yang diikutinya (dalam konteks perbahasan ini; Mazhab Syafie).

Adapun atas tujuan selain itu, seseorang individu apakah diperbolehkan mereka berpegang dan beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya sekalipun dia belum mencapai darjat seorang mujtahid dilihat tidaklah menjadi satu pandangan dominan untuk diketengahkan perbahasannya. Oleh itu penulis melihat ada baiknya dibawa kedua-dua sisi pandangan ini supaya lebih adil di samping mengetengahkan kepentingan berpegang kepada hadis sahih di dalam era membuaknya hadis terlalu lemah dan palsu dan golongan yang menyanjungnya.Maka perlulah difahami bahawa tulisan ini merujuk kepada hadis yang telah jelas sahih dan bukannya yang diperselisihi statusnya.

Sebelum pergi kepada penjelasan lebih mendalam, kita perlu memahami bahawa Imam As-Syafie rahimahullah sangat menghormati kalam Nabi Sallallahu’alai Wa Sallam dan ini boleh difahami daripada pelbagai wasiatnya. Berkata Imam As-Syafie rahimahullah:

Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam adalah juga merupakan ajaran aku walaupun engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku sebelum ini (Riwayat Ibn Abi Hatim di dalam al-Adab, ms. 93-94.)

Pernyataan di atas hanyalah satu kalam dari sekian banyaknya wasiat Imam As-Syafie rahimahullah yang menggambarkan (rendah dirinya (tawadhu’) beliau dalam berinteraksi dengan hadis sahih yakni sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Daripada kefahaman dan kemuliaan kalam Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam sebagai sumber dalam beragama yang difahami oleh Imam As-Syafie rahimahullah, Ibn Sholah, seorang ulamak Syafi’iyyah yang tersohor dalam bidang hadis, dinukilkan kata-kata beliau oleh seorang ulamak Syafi’iyyah lain yang juga terkenal dalam bidang usul fiqh yakni Imam Az-Zarkasyi:

“Sesiapa yang (pada mulanya) bertaqlid kepada sebahagian imam (mazhab) lalu kemudian darjatnya naik sedikit sehingga mampu memahami dan mengkaji dalil-dalil syari‘at , maka apabila dia menemui sebuah hadis yang dapat digunakan sebagai hujah dan hadis itu pula digunakan oleh sebahagian orang namun berselisihan dengan pendapat imam mazhabnya, maka adakah dibolehkan dia berijtihad (dengan mengamalkan hadis tersebut dan meninggalkan pendapat imam mazhabnya) ?

Berkata Abu ‘Amr (Ibn al-Sholah): Dalam hal ini kami berpendapat, jika seseorang itu memiliki sarana untuk berijtihad secara mutlak atau (sekurang-kurangnya berijtihad) dalam sesebuah bab atau masalah tertentu, maka dibolehkan bagi dia beramal dengan hadis tersebut. (Juga dibolehkan) sekalipun jika dia tidak memiliki saranan untuk berijtihad secara sempurna dan wujud di hatinya keraguan terhadap hadis tersebut asalkan dia tidak mendapati hadis lain yang bertentangan dengan hadis yang ingin diamalkan itu. Jika terdapat seorang imam di luar mazhabnya yang beramal dengan hadis tersebut, maka dia boleh bermazhab kepadanya. Demikian merupakan alasan yang membolehkan dia meninggalkan pendapat imam mazhabnya (yang asal).” (al-Bahr al-Muhith ,Dar al-Kitabiy : Beirut, jilid 8, hlm. 343-344)

Maka jelas bahawa kata-kata Imam Ibn Solah diatas ini adalah sedikit berbeza dengan pandangan Imam an-Nawawi rahimahullah yang meletakkan syarat yang ketat sebelum seseorang itu dapat mengubah mazhab seorang imam sesama-mata berdasarkan hadis sahih yang ditemuinya. Apa yang Imam Az-Zarkasyi nukilkan daripada kalam Imam Ibn Solah ini membolehkan orang perseorangan mengamalkan hadis sahih yang ditemuinya hatta bertentangan dengan pandangan Imam mazhab yang diikutinya selama ini selagi mana ada mazhab lain atau pandangan lain yang dirasakannya lebih kuat. Justeru bagi menjelaskan individu perseorangan yang dimaksudkan dalam pernyataan di atas ialah:

  • Sesiapa yang (pada mulanya) bertaqlid kepada sebahagian imam (mazhab) lalu kemudian darjatnya naik sedikit sehingga mampu memahami dan mengkaji dalil-dalil syari‘at
  • Sesiapa yang memiliki sarana untuk berijtihad secara mutlak atau (sekurang-kurangnya berijtihad) dalam sesebuah bab atau masalah tertentu
  • Sesiapa yang tidak memiliki saranan untuk berijtihad secara sempurna.

Maka dengan itu dapat difahami bahawa orang awam yang mengikut pendapat yang dikuatkannya berdasarkan penelitiannya terhadap nas-nas yang menjadi dalil ke atasnya hendaklah dipastikan bahawa pendapatnya itu selari dengan pendapat sekurang-kurangnya salah seorang imam Ahl sunnah Wal Jamaah yang muktabar sekalipun ia berbeza dengan pendapat imam mazhab yang menjadi ikutannya berserta dengan nas-nas tersebut selamat daripada sebarang pertentangan dengan nas yang lain untuk diamalkan. Maka jelas bahawa orang awam itu berhak beramal dengan pendapat yang dirasakannya kuat selagimana dia mempunyai ilmu dan pemahaman ke atas perkara yang diyakininya itu.

Maka golongan agamawan dalam era globalisasi ini seharusnya menjadi pendidik berkualiti, bukannya penghalang dengan cubaan mengongkong minda orang awam mengikut telunjuk mereka, tetapi hendaklah mengikut telunjuk nas dan dalil. Tunjuk ajar golongan agamawan yakni para ulamak kontemporari sangat releven bagi menjadi penunjuk arah kepada orang awam supaya mereka mampu berinteraksi dengan dalil dengan kesesuaian kapasiti dan ilmu pengetahuan mereka dalam beragama tanpa sebarang cubaan serta kongkongan supaya berpegang pada mazhab yang satu, baik dalam ibadah apatah lagi dalam hal ehwal muamalah. Walhal Imam As-Syafi’e rahimahullah sendiri tidak menuntut pengikutnya berpegang pada pandangannya sekiranya terdapat sudut pandang lain yang dirasakan lebih hampir dengan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam, kata beliau :

“Dalam setiap isu, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi Shallallahu‘alaihi Wasallam dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku sudah meninggal dunia nanti.” (Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I’lamul Muwaqqi‘in, jilid 2, hlm. 363.).

3.0 Kesimpulan
Ilmu hadis merupakan suatu ilmu yang penting dalam kedupan beragama, akan tetapi kepentingannya dilihat semakin kabur di sisi masyarakat, hatta golongan agamawan. Maka perlulah difahami juga bahawa para ulamak silam dalam berinteraksi dengan hadis tidaklah semudah yang disangkakan, maka ianya terbuka kepada pentafsiran dan pemahaman yang berbeza. Hukum hakam membuktikan dua orang Imam besar memahami dan mengeluarkan hukum yang berbeza hatta daripada sebutir hadis yang sama. Justeru seseorang individu itu tidaklah boleh menghukum imam mazhab sebagai silap semata-mata kerana hadis sahih yang baru ditemuinya. Metodologi Imam As-Syafi’e rahimahullah dalam berinteraksi dengan hadis -hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam tidak semestinya sama dengan metodologi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik ataupunImam Ahmad.


Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah, seorang tokoh besar dalam bidang hadis dan fiqh merumuskan dengan kemas perbahasan ini dengan berkata:

"Daripada keterangan-keterangan para imam mazhab ini (berkenaan mengikut sunnah atau hadis sahih –pen), adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walaupun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka. Sikap yang lebih utama ialah mengamalkan hadis-hadis yang baru diketahui kesahihannya sepeninggalan mazhab kerana imam mazhab itu sendiri berpesan sedemikian.

Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Dan adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi pesuruh Allah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah

mana-mana makhluk lain.
Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. (Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam kitabnya Iqaz al-Himan, hlm. 93).

Maka hendaklah kita berbalik kepada kitaran kehidupan beragama ini yang kembali kepada persoalan sikap seseorang individu itu dalam berkompromi serta bertoleransi dengan perbezaan pendapat dan pandangan yang difahami oleh individu lain selagi mana ianya dalam ruang lingkup syarak. Tidaklah slogan berlapang dada itu dikhususkan pada pihak-pihak tertentu, tetapi ianya buat keseluruhan ummah dalam memahami perbezaan pentafsiran yang bertujuan meninggikan kalam Allah dan Rasul-Nya.

Selari juga dengan keinginanan dan harapan kempat-empat para Imam mazhab supaya mengikut telunjuk Al-quran dan As-Sunnah. Cabaran ummah kini yang perlulah kita semua tangani dengan hikmah dan adab. Semoga tulisan ini memberi kita sudut pandang kedua dalam menilai perbezaan pendapat dalam Syafi’iyyah untuk berinteraksi dengan hadis sahih yang selama ini hanya disogokkan dengan satu pendapat dengan formula betapa bahayanya hadis sahih ini. Walhal perlulah diluaskan skop pandangnya sesuai dengan saranan Syafi’iyyah yang semestinya lebih luas penjiwaan mereka dalam hal ehwal ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam.

Ibn Yusof
22 November 2009 / 4 Zulhijjah 1430
2.23 p.m
www.ibnyusof.blogspot.com


p/s: Ucapan terima kasih diucapkan kepada Ustaz Abdul Razak atas perkongsian idea, scan kitab dan tambahan dalil dalam artikel ini.

Wahabi: Apa Kata Orang-orang Bijak?

 

 

Oleh:

A. Razak Muthalib

(www.abdulrazak.com)

truth-small

Gambar hiasan

Sejak akhir-akhir ini antara istilah popular yang disebut oleh kebanyakkan orang ialah “Wahabi”. Istilah ini biasanya dinisbahkan kepada gerakan dakwah yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, walaupun pada asalnya gelaran ini diberikan kepada golongan lain. Peliknya, istilah ini tidak pernah pun diisytiharkan oleh tuan empunya badan, tetapi dilontarkan oleh pihak musuh, lalu menimbulkan seribu satu persoalan.

Di Malaysia, ada yang menyebut-menyebut istilah ini dengan tujuan ingin mencari kebenaran. Kurang selesa dengan pelbagai pandangan yang berkeliaran, lantas terus dicari dan dikaji melalui sumber yang dipercayai. Tidak kurang juga mereka yang tiba-tiba sengaja menggembar gemburkan istilah ini, dengan tujuan keburukan. Bukan fakta dan hujah yang diberikan, tetapi kata-kata nista dan fitnah yang dihamburkan. Malah, sampai tahap sanggup menyesatkan dan mengkafirkan. Apakah punca semua ini? Mungkin kejahilan yang telah menipu mereka, atau kedengkian yang menghiasi mereka.

Persoalannya, apakah benar segala dakwaan negatif yang dilontarkan kepada gerakan ini? Sesungguhnya hanya orang yang bijak dan mampu menilai dengan akal yang waras sahaja yang mampu menilai kebaikan gerakan dakwah yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sebab itulah, ramai tokoh-tokoh Islam terkemuka dunia yang telah menzahirkan pujian dan sokongan mereka terhadap usaha dakwah yang telah dijalankan oleh beliau.  

Antara tokoh-tokoh tersebut ialah:

  1. Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi telah menyatakan pandangannya terhadap Syeikh Muhammad bin Abd Wahab di dalam beberapa buah kitab, antaranya:

a) Fiqh al-Awlawiyat:

            “Al-Imam Muhammad bin Abd Wahab yang berada di semenanjung tanah Arab telah menjadikan akidah sebagai keutamaan disisinya, bagi memelihara tauhid daripada unsur-unsur syirik dan khurafat yang mencemarkan kesuciannya. Dia telah mengarang beberapa buah kitab dan risalah-risalah tentang perkara ini. Dengan kemampuannya, dia telah menggerakkan dakwah dan amal dalam memusnahkan segala gambaran-gambaran syirik”.

b) Thaqafat  al-Daa‘iyah:

            “Hendaklah diberi perhatian kepada gerakan-gerakan pembaikan dan tajdid yang telah tercatat di dalam sejarah Islam, dan dengan tokoh-tokoh gerakan tajdid yang telah dibangkitkan oleh Allah di kalangan umat ini dari masa ke semasa bagi melakukan tajdid terhadap agamanya, tidak kira dari latar belakang mana sekalipun mereka itu. Diantara mereka ialah para khulafa’ seperti Umar bin Abd al-Aziz, atau dari kalangan raja dan pemerintah seperti Nuruddin dan Salahuddin, atau para fuqaha’ dan pendakwah seperti al-Syafie, al-Ghazali, Ibn Taimiyah dan Ibn Abd al-Wahab. Dan yang dikatakan mujaddid itu boleh jadi samada individu tertentu atau sebuah jamaah atau pusat pengajian yang jelas nyata tujuannya di dalam melakukan pembaikan…”

c) Haqiqat al-tauhid: Di dalam kitab ini Syeikh Yusof al-Qaradhawi telah menggelarkan Syeikh Muhammad bin Abd Wahab dengan gelaran “Syeikh al-Islam”.

d) Al-Sahwat al-Islamiyah, di bawah tajuk Harakat al-Tajdid wa al-Da’wah wa Atharuha fi al-Sahwat, al-Qaradhawi berkata:

“…sesungguhnya kebangkitan ini merupakan pembaharuan kepada gerakan-gerakan Islam dan pusat-pusat pemikiran dan amal yang telah didirikan sebelum ini, sebahagiannya telah lenyap dan sebahagiannya masih wujud berdiri dengan bentuk yang sama atau bentuk yang lain sehingga ke hari ini. Gerakan-gerakan ini telah didirikan oleh para tokoh yang benar. Masing-masing berusaha untuk melakukan pembaharuan (tajdid) agama atau menghidupkan kembali ummah di satu tempat yang tertentu atau di pelbagai tempat daripada tanah air Islam…Sejarah telah mencatatkan bahawa diantara mereka itu ialah mujaddid kepulauan tanah arab, pencetus kepada dakwah salafiyah, tokoh keluaran madrasah Hanbali, iaitulah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang mana negara Saudi telah didirikan di atas asas dakwahnya”.

2. Pandangan Syeikh Muhammad Qutb di dalam kitabnya “Halummu nakhruj min al-zhulumat”:

“Sesungguhnya kebangkitan yang benar lagi sejati itu tidak dapat dimasuki oleh unsur-unsur kristianisasi, maka sesungguhnya gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab ialah satu berita gembira yang hakiki kepada kebangkitan ummah ini daripada kelalaiannya…”

“Sesungguhnya gerakan yang telah dipelopori oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab bagi menjernihkan kembali akidah adalah satu gerakan yang hakiki dalam menggerakkan kebangkitan dunia Islam…”

Di dalam kitab “Kaifa Naktub al-Tarikh al-Islami” Syeikh Muhammad Qutb menyatakan bahawa:

“Manusia menyangkakan bahawa Islam ini telah berakhir dengan berakhirnya Daulah Umawiyah, zamannya telah tamat dengan tamatnya zaman Abbasi, dan akhirnya manusia juga menyangkakan bahawa Islam ini telah lenyap dengan lenyapnya zaman Khilafah Uthmaniyah dan jadilah Islam itu sebahagian daripada lagenda sejarah…tetapi semua sangkaan mereka ini tidak benar sama sekali. Islam tidak akan berakhir dalam mana jua keadaan getir yang dihadapinya, walaupun keadaan getir yang melanda tersebut seolah-olah telah menghancurkannya. Ini kerana Allah swt telah menetapkan bahawa Islam ini akan terus kekal di atas muka bumi ini sehingga hari Kiamat…dan diantara penyebab yang dijadikan Allah bagi mengekalkan Islam ini setelah menghadapi suasana getirnya ialah dengan kebangkitan Islam. Benarlah bahawa gerakan utama kepada kebangkitan ini ialah gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab di kepulauan tanah Arab…”

3. Pandangan Syeikh Muhammad al-Ghazali di dalam kitabnya “al-Da’wah al-Islamiyah Tastaqbil Qarnuha al-Khamis ‘asyar” :

“…sesungguhnya kami menyatakan bahawa satu-satunya gerakan yang telah membangkitkan kembali umat Arab bagi memperbaiki semula akidah dan ibadah dan yang seumpama dengannya daripada segala bentuk penyelewengan…yang kami maksudkan itu ialah gerakan pembaharuan yang telah diasaskan oleh Muhammad bin Abd Wahab di kepulauan tanah Arab…”

Di dalam kitabnya “Mi‘ah sual ‘an al-Islam”, Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata: “Syeikh Muhammad bin Abd Wahab telah mengangkat syiar tauhid, dan benarlah yang dia telah melakukannya. Dia telah mendapati dirinya berada di dalam suasana yang mana kubur disembah, mereka memohon kepada yang telah mati perkara-perkara yang tidak boleh dipohon kecuali daripada Allah swt…”

4. Pandangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya “Taathur al-da’wat al-islahiyah al-Islamiyah bida’wah al-Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahab”:

“Sesungguhnya yang paling jelas suara kebenarannya, yang paling besar seruan ke arah pembaikan, dan jihad bagi mengembalikan keperibadian Islam dengan berpegang kembali dengan manhaj salaf al-soleh ialah dakwah Syeikh Muhammad bin Abd Wahab pada kurun ke-12 hijrah, bagi melakukan pembaharuan (tajdid) terhadap suasana kehidupan Islam, selepas didapati berlakunya ditengah masyarakat pelbagai khurafat, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad Abdul Wahab adalah benar, seorang ketua kepada kebangkitan dan pembaikan agama yang ditunggu-tunggu, yang telah membetulkan semula neraca akidah Islam dan menjelaskan hakikat tauhid yang suci kepada Allah Azza wa Jalla…”.

5. Pandangan Syeikh Ali al-Tantawi di dalam kitabnya “Muhammad bin Abd al-Wahab”:

“…manusia beri’tikad segala manfaat dan mudharat bergantung kepada Rasul dan para solehin, dengan kubur dan pokok-pokok, mereka memohon daripadanya segala hajat, mereka mengembalikan urusan mereka dikala kesusahan kepadanya, bernazar dan menyembelih kepadanya dan mereka sangat membesarkan orang yang telah mati…Dalam suasana begini, muncullah Muhammad bin Abdul Wahab rahimahullah…dan Allah mengkehendaki baginya kebaikan, maka ditakdirkan bahawa dialah diantara salah seorang yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah sesungguhnya mereka itu diutuskan bagi melakukan tajdid terhadap agama, dan Allah telah menetapkan bahawa di tangannyalah bumi Najd ini telah kembali kepada tauhid yang sahih dan al-din yang benar, dan kembali wujudnya kesatuan selepas daripada perselisihan dan perpaduan selepas daripada perpecahan…”

6. Pandangan Syeikh Muhammad Abduh terhadap Syeikh Muhammad bin Abd wahab seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Hafiz Wahbah di dalam kitabnya “50 ‘aam fi jazirat al-arab”, bahawa Syeikh Muhammad Abduh semasa sessi mengajar di al-Azhar telah memuji Syeikh Muhammad bin Abd Wahab, dan dia telah menggelarkannya sebagai “reformis yang agung”.

7. Pandangan Al-Sayyid Muhammad Rasyid Ridha di dalam pendahuluan kitab “Siyanat al-Insan”:

“Setiap kurun daripada kurun-kurun yang banyak berlaku padanya perkara-perkara bidaah tidak akan pernah sunyi daripada ulamak rabbani; yang melakukan tajdid terhadap umat ini berkaitan urusan agama mereka, dengan melakukan dakwah, pengajaran dan contoh ikutan yang baik, dan (ia juga tidak akan sunyi) daripada mereka yang adil yang melakukan penentangan terhadap penyelewengan golongan yang melampau, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwil golongan yang jahil, seperti yang disebutkan di dalam hadis.

Sesungguhnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab al-Najdi adalah dari kalangan mereka yang adil, mujaddid yang telah bangun  menyeru ke arah pemurnian tauhid dan ikhlas beribadah hanya kepadaNya, dengan apa yang telah disyariatkan di dalam kitabNya dan daripada lisan RasulNya s.a.w dan seruan ke arah meninggalkan segala perkara bidaah dan maksiat serta menghidupkan semula syiar Islam yang telah ditinggalkan…”

8. Pandangan Syeikh Muhammad Abu Zahrah:

“Munculnya gerakan al-Wahabiyah di tengah-tengah bumi sahara Arab ini  merupakan tindak balas daripada sikap melampau dalam memuliakan tokoh-tokoh tertentu dan mengambil berkat daripada mereka, begitu juga dengan menziarahi mereka dengan tujuan ingin menghampirkan diri (taqarrub) kepada Allah. Ia juga merupakan kesan daripada tersebarnya banyak amalan bidaah yang bukan daripada agama, yang mana ia berlaku ketika musim-musim tertentu yang ada kaitan dengan agama dan dalam amalan-amalan keduniaan. Maka datanglah gerakan al-Wahabiyah untuk menentang semua ini dan menghidupkan kembali mazhab Ibn Taimiyah”.

9. Pandangan Dr. Taha Hussain:

“Gerakan ini, iaitu gerakan al-Wahabiyyin yang telah diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahab, seorang alim daripada ulamak Najd…sesungguhnya gerakan ini baru tetapi hakikatnya telah lama, ia baru jika dinisbahkan kepada generasi terkemudian ini, tetapi ia telah lama kerana seruannya tidak lain tidak bukan kecuali kepada Islam yang tulen, suci dan bersih dari sebarang unsur syirik dan penyembahan yang lain. Ia adalah dakwah kepada Islam seperti mana yang telah dibawa oleh Nabi s.a.w tulus suci hanya kerana Allah dan menghapuskan semua perantaraan di antara manusia dan Allah…”

10. Pandangan Syeikh Salman bin Fahd al-Awdah di dalam kitabnya “Jazirat al-Islam”:

“Sesungguhnya di semenanjung tanah Arab ini terdapatnya ilmu, para ulamak, tajdid dan para mujaddid yang merentasi setiap zaman. Kebanyakan ahli ilmu pula terdapat di Mekah atau pun Madinah. Sedikit sekali untuk di dapati orang alim kecuali mereka berada di bumi Mekah atau Madinah ini. Mudah-mudahan kesudahan yang baik ialah dakwah yang telah dilakukan oleh mujaddid Muhammad bin Abdul Wahab rahimahullah yang telah dikurniakan Allah kepada bumi Arab ini dan menghidupkan (tajdid) kembali agama di bumi ini”.

11. Pandangan Prof. Dr. Hafiz Wahbah di dalam “Jazirat al-Arab fi al-qarn al-‘isyrin”:

“Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab itu bukanlah nabi seperti yang dianggap oleh Neibhar al-Denmarki, tetapi dia adalah seorang reformis dan mujaddid yang menyeru supaya kembali kepada agama yang benar. Syeikh Muhammad tidak mempunyai ajarannya yang khas, tidak juga pendapatnya yang tersendiri tetapi setiap apa yang diamalkan di bumi Najd itu apa yang telah dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, dan di dalam perkara akidah pula dia mengikuti fahaman yang telah dibawa oleh golongan salaf al-soleh dan menentang sesiapa yang bercanggah dengannya. Pegangan akidah dan ibadah yang mereka praktikkan adalah  sama seperti mana yang ditulis oleh Ibn Taimiyah dan anak-anak muridnya di dalam kitab-kitab mereka…”.

Demikianlah pandangan yang adil dari sebahagian tokoh-tokoh dan bijak pandai dunia Islam kini terhadap Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan gerakan dakwahnya. Pujian dan penilaian yang baik yang telah diberikan oleh mereka, tidaklah menafikan kekurangan dan kelemahan yang ada pada gerakan dakwah tersebut. Tetapi, ia tidaklah seperti gambaran jahat dan menyeleweng yang dihebahkan oleh sekelompok manusia yang butakan kebenaran kerana telah ditutupi oleh hasad kedengkian. Nilailah dengan neraca yang adil, hindari taksub yang merosakkan. Hanya orang bijak yang kenal kebenaran.

Tuesday, November 17, 2009

Perlukah Sampai Ketahap Mujtahid Untuk Berpindah Mazhab?

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

             Ada pandangan yang menyatakan seseorang itu tidak boleh berpindah mazhab kerana syarat-syarat berpindah mazhab mestilah seorang itu sudah sampai ketahap mujtahid.Bagi mereka jika telah sampai ketahap mujtahid sahaja yang boleh berpindah mazhab kerana mereka sudah mampu untuk berijtihad seperti imam-imam yang terdahulu iaitu al-Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad Bin Hambal , Sufyan al-Thauri, , Daud al-Zhohiri, al-Auza’ie dan lain-lain. Sedangkan syarat-syarat seorang mujtahid hendaklah memahami ilmu nahu, ilmu bahasa arab termasuk ilmu balaghah, perlu menguasai ilmu Rijal, Nasikh dan Mansukh, Mantuq dan Mafhum, Khas dan Am , Mubayyan dan Mujmal, Muqayyad dan Mutlaq, menguasai ilmu asbab nuzul dan lain-lain syarat yang perlu dipenuhi untuk layak digelar mujtahid.

Jika kita lihat dari segi teorinya memang kelihatan benar tetapi ia sebenarnya salah dari sudut kaedahnya. Tidak semestinya seseorang itu perlu sampai ketahap mujtahid maka dibolehkan berpindah mazhab. Ini kerana beberapa sebab. Antaranya:

Qaradawi

Pertama:

Kita tidak boleh meletakkan syarat-syarat untuk berpindah mazhab mesti menjadi mujtahid. Memang jika hendak dibandingkan ilmu kita dengan para ulamak memang terlalu jauh berbeza tetapi bukan menjadi syarat bagi seseorang itu perlu ketahap menjadi ahli mujtahid untuk dibenarkan berpindah mazhab yang lain.Yang tidak dibenarkan hanyalah berijtihad dan memberi fatwa sendiri kerana kekurangan ilmu agama yang ada pada diri mereka. Tetapi mengikuti dan mengambil pandangan ulamak tertentu yang dirasai yakin akan hujahnya maka tidak salah dan ini dipersetujui oleh kebanyakan para ulamak.

Sebagai contohnya jika anda ditanya perbezaan antara kereta Proton dan Perodua yang mana anda rasai lebih baik dari segi kualitinya? Jika anda mengatakan kereta Perodua lebih baik dan berkualiti daripada kereta Proton maka penulis ingin bertanya mengapa anda begitu pasti mengatakan kereta Perodua lebih baik dan berkualiti daripada Proton sedangkan anda tiada kepakaran dan juga bukan ahli jurutera kereta? Sepatutnya  perlu sampai ketahap keahliannya iaitu mampu dan pakar dalam membuat kereta tersebut jika tidak maka tidak layak menilai kereta itu lebih baik daripada kereta tersebut.

Jika begitulah jawapannya maka terpaksalah kita diam kerana tidak sampai syarat-syarat ketahap kepakaran tersebut. Ini seperti menutup pintu kebenaran untuk memilih pandangan yang tepat dalam menjelaskan fakta-fakta yang sebenarnya. Memang kita tidak menjadi seperti mereka secara keseluruhannya kerana tiada kepakaran dalam membuatnya tetapi sedikit sebanyak pengalaman atau kajian-kajian maklumat yang diperolehi menunjukkan yang sebenarnya akan  kualiti kereta tersebut dan kita perlu ketahui seseorang itu dapat menilai dan menentukan beberapa juzuk hukum dalam kereta tersebut berdasarkan kajian-kajian, perbandingan dan kekuatan kebenaran maklumat yang diperolehinya. Ini kerana antara kedua-dua kereta itu adalah berlainan pembuatannya maka sudah tentu kualitinya juga berlainan.Orang yang menciptanya pasti menyakini teknologi pembuatan keretanya bagus tetapi orang yang memandunya dapat memilih dan menilai perbezaaan kedua-kedua kereta tersebut yang mana bagus dan yang mana tidak. Seperti juga dalam ijtihad-ijtihad ulamak kesemuanya datang dari mujtahid yang berbeza maka jawapannya juga akan ada yang berbeza. Daripada perbezaan itulah seseorang dapat membezakan mana yang benar dan salah antara kedua-dua hujah pandangan itu berdasarkan penilaian dan fakta-fakta yang diyakini oleh seseorang itu.

Sebagai contohnya dalam isu-isu semasa  di Malaysia seperti ada pandangan tokoh agama yang membenarkan dan ada juga yang tidak membenarkan bukan islam memasuki masjid, tidak boleh membaca Al-Quran dan sebagainya. Maka apakah orang awam tidak mampu menilai dan memilih setiap pandangan  tokoh-tokoh yang mengeluarkan pendapat itu? Perlukah mereka sampai ketahap memahami usul-fiqh, bahasa arab  dan sebagainya atau ketahap mujtahid baru boleh difahami apa yang mereka jelaskan? Sudah tentu tidak!

Begitu juga dalam persoalan bermazhab memang kebanyakan umat islam tidak ada kepakaran untuk berijtihad sendiri tetapi sedikit sebanyak ilmu mereka itu ia dapat membezakan yang mana benar dan salah dalam sesuatu ijtihad ulamak berdasarkan kemampuan dan cara mereka menilai. Mereka tidak berijtihad tetapi hanya menilai berdasarkan hujah-hujah yang telah dijelaskan oleh ulamak-ulamak tersebut bukannya dalil dan hujah daripada mereka sendiri. Maka apabila mereka memegang pandangan seseorang ulamak itu berdasarkan kenyakinan dan kekuatan dalil dan hujah tersebut maka ia tidak salah kerana secara tidak langsung mereka  lebih mengutamakan Al-Quran dan As-Sunnah serta hujah-hujah yang diyakini daripada pandangan mazhab. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [An Nisaa' : 59].

faisalmawlawi_new

Kedua:

Kesemua ijtihad ulamak-ulamak tersebut mereka semua kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam sesuatu permasalahan hukum dan amalan. Maka jika kita mengikuti mazhab selain mazhab kita dengan mengetahui dalil-dalil mazhab lain maka ia juga tidak salah kerana secara tidak langsung kita telah mengamalkan dan mengetahui sesuatu hukum berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah juga. Malah ia lebih baik lagi apabila melakukan sesuatu amalan itu berdasarkan akan kekuatannya dalil dan hujah yang kita yakininya. Firman Allah SWT :

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” [Al Israa': 36].

Mazhab itu hanyalah sebagai suatu wasilah untuk memahami hukum-hukum islam. Maka sepatutnya amalan hendaklah berteraskan kepada dalil dan fakta bukannya berteraskan pada mazhab tanpa mengetahui dalil. Jika sekadar mengetahui sesuatu hukum berdasarkan mazhab tanpa mengetahui dalil ia seperti menjadikan mazhab itu sebagai rujukan utama bukannya Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah yang dikatakan sebagai bertaklid buta. Ini seolah-olah menjadikan mazhab itu sebagai pembuat syariat .Syariat islam  adalah hujah bagi setiap mazhab bukannya mazhab itu hujah bagi syariat.

Maka bagi orang awam yang tidak mampu mencari dalil mereka berkewajipan untuk merujuk kepada pakar-pakar ilmu sebagaimana manusia kebiasaannya merujuk dalam sesuatu masalah kepada pakarnya. Firman Allah:

Maksudnya: "Maka bertanyalah kamu kepada "Ahli Zikir" jika kamu tidak mengetahui." [Al-Anbiya': 7]

Maka jelas yang dikatakan "Ahli Zikir" itu bukannya pada satu mazhab sahaja tetapi kepada semua mazhab yang mewakili Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Allah tidak berfirman tanyalah kepada imam Syafie jika kamu tidak mengetahui tetapi Allah hanya mewajibkan umatnya bertanya kepada siapa-siapa sahaja ahli ilmu iaitu Ahli Zikir yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang itu samaada bidang agama , perubatan dan sebagainya.

hasanalbannanu0

Ketiga:

Apabila bertembungnya pandangan dalam masalah hukum fiqh sebagai contohnya dalam bab thaharah dimana jika kita memegang pandangan ulamak tersebut maka ia akan membebankan dan memberatkan kepada diri kita sendiri. Maka apabila mazhab yang kita pegang dalam ijtihadnya itu memberatkan kita untuk melaksanakan perintah Allah maka dibenarkan berpindah mazhab lain yang lebih mudah dilaksanakan  dalam memenuhi tuntutan islam  maka dia  boleh berpindah mazhab yang mana dia yakini lebih meringankan selagi menepati syariat islam. Jika mengambil pandangan yang mudah dan meninggalkan pandangan mazhabnya dalam sesuatu masalah  maka sebenarnya dia telah melaksanakan tuntutan tersebut selari dengan ruh syariat  yang diperintah supaya dimudahkan. Sebagai contohnya ada Mazhab menyatakan seorang yang cedera atau luka yang berbalut disuruh berwuduk yakni membasuh diatas anggota yang tidak cedera , menyapu air atas balutan dan bertayammum. Bukankah ia akan menyukarkan seseorang itu untuk melakukannya. Ini kerana kita perlu malakukan tiga langkah yang menyukarkan tetapi orang yang sihat hanya perlu berwuduk sahaja. Maka dibolehkan seseorang itu mengambil mazhab lain yang tidak membebankan dirinya sendiri selagi ia menepati syariat. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” [Al Baqarah : 286]

Seperti juga hukum batal atau tidak apabila bersentuhan antara lelaki dan wanita. Tidak mungkin bagi pasangan suami isteri terutama sekali yang baru berkahwin dan duduk sebumbung tetapi pada masa yang sama dihalangi dengan hukum persentuhan biasa yang perlu dijaga. Jika sudah tinggal satu bumbung maka sememangnya tidak akan lari daripada tersentuh antara satu sama lain maka tidak munasabah menghukumnya sebagai batal wuduk.  Sedangkan Nabi s.a.w sendiri mencium isterinya ketika hendak mengerjakan solat tanpa memperbaharui wuduknya semula. Aisyah r.a berkata:

Maksudnya: " Sesungguhnya Nabi s.a.w mencium sebahagian isteri-isterinya lalu pergi mengerjakan solat tanpa memperbaharui wuduknya semula" [Riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi, no: 79]

Malah ramai dari kalangan ulamak yang cenderung untuk memilih pendapat tidak batal wuduk menyentuh wanita jika tidak disertai dengan syahwat. Mengapa apabila melaksanakan ibadah haji atau umrah kita mengambil pandangan tidak membatalkan wuduk dan apabila di Malaysia menjadi batal. Apakah hukum islam di Mekah tidak sama hukum di Malaysia? Islam bukan hanya pada satu mazhab sahaja tetapi kesemua mazhab yang telah diiktiraf selagi pandangannya tidak bercanggah dengan syariat islam.

Jika diteliti bukankah  pandangan imam-imam itu ijtihad mereka semuanya berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah juga?  Maka mengapa tidak sahaja kita kembali sahaja kepada Al-Quran dan As-Sunnah juga yang sememangnya ingin memudahkan umatnya. Jika kita mengambil pandangan yang mudah selagi ia menepati syariat maka secara tidak langsung kita telah melaksanakan jalan yang selari dengan ruh syariat yang sememangnya ingin dimudahkan.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka." [ Riwayat al-Bukhari, jil 1. ms. 23]

Malah Rasulullah s.a.w juga apabila diberi pilihan antara yang susah dan mudah maka baginda sendiri akan memilih yang mudah selagi menepati syariat islam. Jika Baginda sendiri mengajar umat untuk  memilih yang mudah maka mengapa tidak kita mengikutinya? Dalam hadis Umm al-Mukminin ‘Aisyah r.a menyebut:

Maksudnya: “ Rasulullah tidak diberi pilihan antara dua perkara kecuali baginda mengambil yang paling mudah. Ini selagi ia tidak merupakan dosa” [ Riwayat Bukhari jil. 3 ms 1306].

Perlu dijelaskan jika 'talfiq' itu bertujuan mencari hukum yang termudah berdasarkan kepada hawa nafsu sahaja tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus.

Wahbah Zuhaili

Keempat:

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya ' al-Rukhas al-Syar'iyyah' mengatakan itu adalah pendapat majoriti ulamak bahawa seseorang itu diharuskan bertaklid pada mana-mana mujtahid yang dia mahu dan boleh bertukar-tukar mazhab. Ini kerana, tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Malah kata beliau lagi mereka yang berfatwa pada zaman sahabat dan tabiian tidak terikat dengan pendapat tertentu. Bahkan mereka bertanya kepada sesiapa sahaja yang mampu. Tanpa terhad kepada seorang sahaja. Hal ini adalah ijmak (kesepakatan) daripada mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seorang imam atau mazhab tertentu dalam semua masalah. [Ringkasan oleh penulis dari buku kecil 'Fanatik Mazhab'  oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin ]

Kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan mudah melabelkan seseorang itu sebagai wahabi, sesat atau sebagainya tanpa kita menyelidiki dan mengetahui pengetahuan mengenainya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “ Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya” [al-Nur ayat 15]

Dan juga Firman Allah SWT :

Maksudnya: “ Dan jangan memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman” [Al Hujuraat ayat 11]

______________________________________________________________________

 

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail