Saturday, January 30, 2010

Isu Kalimah Allah: Pandangan Penulis

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Sudah banyak ulasan-ulasan yang diberikan berkenaan isu penggunaan Kalimah Allah kepada non-muslim di Malaysia. Dari kesimpulan apa yang penulis lihat ada tiga pandangan dalam isu ini iaitu:

  1. Allah hanya khusus untuk Islam
  2. Asasnya dibolehkan kristian menggunakannya tetapi untuk menutup pintu kerosakan maka dilarang non-muslim menggunakannya
  3. Dibenarkan menggunakan Kalimah Allah dengan beberapa syarat seperti dilarang menyebut Allah pada berhalanya, menggunakan Kalimah Allah sebagai umpan untuk mengelirukan umat islam dan sebagainya.

Antara ketiga-tiga pandangan ini bagi penulis pandangan ketiga adalah lebih adil dan menepati kaedah-kaedah syariat.

Allah_Is_One

Perbezaaan agama islam dan kristian dalam sebutan kalimah Allah adalah perbezaaan dari sifat-sifatnya. Bagi Tuhan Islam, Allah itu bersifat Esa sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia".(al-Ikhlas: 1-4).

Manakala bagi Tuhan Kristian dan Yahudi, Allah itu mempunyai anak sebagaimana dalam firman Allah :

Maksudnya; "Berkata yahudi, Uzair adalah anak Allah. Berkata Nasrani, Isa adalah anak Allah" (surah At-Taubah : 30)

Dalam agama kristian dan yahudi sememangnya mereka tidak mempercayai Allah itu Esa. Jika mereka mempercayai Allah itu Esa bermakna mereka bukannya kristian atau yahudi tetapi islam. Jika kepercayaan mereka sebegitu mengapa ada sesetengah pihak melarang daripada mereka menggunakan Kalimah Allah? Seolah-olah mereka hanya dibenarkan menggunakan Kalimah Allah jika mereka memasuki islam atau mempercayai Allah itu Esa. Itu adalah suatu paksaan yang dilarang dalam islam. Sedangkan konteks dalam bermua`malah dengan bukan Islam mestilah berasaskan prinsip 'la ikraha fi al-din' dan 'lakum di nukum wa li yadin'.

Jika kita melarang mereka menyebut Kalimah Allah bermakna kita sudah melarang mereka daripada mengamalkan ajaran agama mereka sendiri. Sedangkan dalam agamanya mereka sudah menyakini Allah itu adalah Tuhannya.

Dari riwayat Abus Syaikh di dalam kitabul Adhamah dari Aban yang bersumber dari Anas yang meriwayatkan bahwa Yahudi Khaibar menghadap kepada Nabi saw. dan berkata:

"Hai Abal Qasim! Allah menjadikan malaikat dari cahaya hijab, Adam dari tanah hitam, Iblis dari api yang menjulang, langit dari asap, dan bumi dari buih air. Cubalah terangkan kepada kami tentang Tuhanmu." Rasulullah saw tidak menjawab, sehingga turunlah Jibril membawa wahyu surah ini (Al Ikhlash :1-4) yang menggambarkan sifat-sifat Allah. [1]

Ayat dalam surah ini hanya menerangkan sifat-sifat Allah yang sebenarnya bukannya melarang mereka daripada menyebut Kalimah Allah. Malah sebelum dan selepas ayat ini diturunkan tidak ada satu larangan daripada Nabi s.a.w melarang mereka daripada menyebut Kalimah Allah. Jika ada yang mengatakan bahawa ayat-ayat surah seperti Al 'Ankabut, Luqman, az-Zukhruf dan sebagainya mengikut tafsiran mereka adalah dilarang non-muslim menggunakan Kalimah Allah tetapi kenapa tiada dikalangan para sahabat, tabi’en dan generasi para salafusoleh tidak ada satupun dikalangan mereka mengeluarkan fatwa bahawa dilarang non-muslim menggunakan Kalimah Allah ? Sedangkan pada zaman Umar dan Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain yahudi dan kristian sudah lama menggunakan Kalimah Allah itu tetapi mengapakah sahabat nabi tidak melarangnya? Maka tidak lain sebenarnya tafsiran mereka terhadap surah itu adalah salah.

Mungkin timbul pernyataan mengapa baru sekarang pihak Gereja Katholik meminta menggunakan kalimah Allah ini? Jelas mereka ini sebenarnya mempunyai agenda yang jahat.

Setiap agama semestinya ada agenda mereka yang tersendiri hatta islam pun dengan tujuan untuk menyebarkan aliran dan fahaman agama mereka. Jika kita menganggap agenda itu sebagai ancaman bukan peluang bagi islam lalu menyekat mereka daripada menggunakannya bermakna kita telah menzalimi dan menampakkan lagi ketidakadilan serta memburukkan lagi imej islam dikaca-mata masyarakat non-muslim terhadap islam itu sendiri. Ini sekaligus mengharamkan kita dari memperolehi peluang untuk menyampaikan dakwah islam kepada mereka kerana sikap umat sendiri yang memburukkan islam itu sendiri dan memberikan kesan pandangan buruk non-muslim terhadap islam dan menyebabkan mereka sukar menerima ajaran islam itu sendiri. Kita tidak akan akan menemui lagi sebarang gantian yang boleh mengambil tempatnya. Ini kerana sekali kita membuat mereka hilang minat kepada islam maka sukarlah kita untuk mendekatkan mereka kepada islam itu.

Di Sabah dan Sarawak kebanyakan Kristian disana mereka menyebut Allah dan tidak ada kedengaran satu kes pun orang islam dimurtadkan kerana Kalimah Allah itu  yang digunakan oleh golongan Kristian malah peratusan kenaikan islam di kedua-dua negeri tersebut semakin meningkat. Sedangkan di Sabah dan Sarawak bukannya seperti di negeri-negeri lain yang mempunyai ramai penceramah dan pendakwah tetapi mengapa tidak memberi kesan kepada islam di sana? Bagaimana pula negara-negara diluar Malaysia kebanyakannya golongan kristian menggunakan Kalimah Allah juga tetapi mengapa tiada kedengaran umat islam itu dimurtadkan kerana Kalimah Allah itu.

Kebanyakan umat islam yang murtad itu antaranya adalah kerana masalah kewangan maka pihak gereja sanggup memberi bantuan dan kesediaan oleh mubaligh mereka untuk membantu, percintaan dengan non-muslim dan islam itu yang tidak jelas pada diri muslim itu sendiri. Maka kerja jabatan-jabatan agama dan umat islam adalah menjelaskan islam itu pada masyarakat bukannya menumpukan satu isu yang kurang penting sedangkan agenda Kristian bukanlah Kalimah Allah itu sahaja tetapi ada agenda yang lebih memberikan kesan kepada akidah muslim itu seperti kerja-kerja kebajikan yang mereka lakukan dengan memberi bantuan kepada muslim yang susah dan kesediaan mubaligh mereka membantu apa-apa sahaja bantuan dan sebagainya.

Sepatutnya apabila muncul peluang kita untuk menyebarkan dakwah hendaklah kita mengambil kesempatan tersebut walaupun mereka ada agenda yang tersendiri sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dalam perjanjian Hudaibiyah dimana kita dapat melihat Rasulullah saw  yang  mulia mengutamakan maslahah dasar dan asas, serta kepentingan masa depan atas  kepentingan  yang  bersifat asas dan tidak penting, yang suka digemburkan oleh sesetengah orang. Rasulullah saw menerima syarat-syarat yang pada awalnya dianggap merugikan jamaah Islam atau menunjukkan mereka mengambil sikap mengalah .Pada  saat  itu baginda  yang mulia menerima permintaan orang kafir untuk  menghapuskan  "Basmalah"  yang  tertulis  pada   lembar perjanjian,   dan   sebagai   gantinya   ditulislah   "Bismika allahumma.( (dengan namaMu Ya Allah!)"  Selain   itu,   beliau   juga   merelakan   untuk menghapuskan  sifat  kerasulan yang tertulis setelah nama Nabi saw yang mulia "Muhammad Rasulullah" dan  cukup  hanya  dengan menuliskan nama beliau saja "Muhammad bin Abdullah". Rasulullah s.a.w ingin menggunakan ruang itu untuk menyebarkan dakwah dan menghantar surat kepada raja-raja di  dunia  pada masa itu [2] serta untuk memberi gambaran unsur-unsur toleransi dan keadilan dalam bermuamalah dengan non-muslim.

Maka jika penggunaan nama Allah bagi non-muslim merupakan salah satu kesempurnaan dakwah dan peluang serta wasilah untuk pendakwah islam menunaikan amanah dakwah dan menentang kebatilan maka penggunaan Kalimah Allah sepatutnya dibenarkan oleh non-muslim menggunakannya. Ini kerana dalam kaedah fiqh ada menyebut:

“Sesuatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dengannya, hukumnya adalah wajib”

Maka adalah suatu kewajipan bagi kerajaan membenarkan non-muslim menggunakan Kalimah Allah itu jika ia adalah salah satu wasilah untuk menyempurnakan lagi dakwah itu.

Antara kaedah-kaedah penting yang boleh dikaitkan dengan isu ini juga ialah:

“Membendung kemudaratan hendaklah didahulukan dari mengutamakan maslahah”.

Kaedah ini dilengkapkan oleh kaedah-kaedah yang lain iaitu:

“Maslahah yang telah pasti hendaklah didahulukan dari mengutamakan kemudaratan yang masih tidak jelas.”

Maka dalam isu ini ia membabitkan:

“ kemudaratan yang jelas hendaklah didahulukan dari mengutamakan kemudaratan yang masih tidak jelas”

Kemudaratan yang jelas sepertimana yang telah disebut iaitu jika tidak membenarkan non-muslim menggunakan Kalimah Allah maka secara tidak langsung sudah tidak menghormati agama mereka maka ia akan lagi memburukkan imej islam itu sendiri lebih-lebih lagi pada zaman ini dimana banyak gambaran buruk islam itu pada non-muslim, menambahkan lagi gambaran buruk bahawa islam itu tiada unsur toleransi dan ketidakadilan, menimbulkan lagi ketidakpuashatian non-muslim kepada islam, Ada unsur paksaan masuk islam jika ingin menggunakan Kalimah Allah itu , menzalimi mereka dan merampas hak-hak mereka yang sebenarnya telah diberikan oleh Allah. Ini kerana Allah itu bukan untuk islam sahaja tetapi kepada seluruh umat manusia.Ulamak sedunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi pernah mengeluarkan kenyataan di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 bahawa:

Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekalian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekalian manusia, Yang Menguasai sekalian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja) .[3]

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa berlaku zalim kepada seorang kafir 'ahdi( kafir dzimmi), atau mengurangi haknya, atau memberi beban melebihi kemampuannya, atau merampas hak daripadanya dengan niat yang tidak baik, maka saya adalah pembelanya nanti di hari kiamat." (Riwayat Abu Daud) [4]

Manakala kemudaratan yang tidak jelas ialah tiada suatu kepastian dan fakta bahawa umat islam boleh murtad dan merosakkan akidah mereka jika golongan kristian menggunakannya sedangkan sudah lama golongan Kristian menggunakannya sepertimana yang berlaku di Sabah dan Sarawak dan negara-negara lain malah pegangan umat melayu islam dari dahulu berpegang bahawa Allah itu Esa maka tidak mudah untuk diubah semula, kemudaratan ini dilihat pada masa hadapan maka masih banyak peluang jabatan-jabatan agama dan selainnya menjelaskan akidah islam yang sebenarnya, banyaknya jabatan-jabatan agama, majoriti di negara ini ialah umat islam  dan kedudukan Islam dijamin oleh Perlembagaan dan banyak lagi sangkaan yang tidak pasti bahawa Kalimah Allah itu jika digunakan oleh kristian boleh mambahayakan akidah umat islam sedangkan realiti yang berlaku didunia sekarang tidaklah sedemikian.

Berdasarkan dari kaedah jika tidak diizinkan non-muslim menggunakan Kalimah Allah tersebut akan menyebabkan kemudaratan yang jelas iaitu merampas dan mengurangi hak mereka yang dilarang dalam islam dan sebagainya maka kemudaratan itu hendaklah didahulukan daripada mengutamakan kemudaratan yang masih tidak jelas. Maka menjadi hak non-muslim untuk menuntut balik hak mereka kepada kerajaan islam maka menjadi kewajipan kerajaan islam untuk memenuhi hak mereka semula dengan beberapa syarat jika itulah cara yang boleh dipastikan tidak menimbulkan masalah-masalah lain dikemudian hari. Jika ini dilakukan maka sudah tentu mereka dapat penuhinya kerana ia mencerminkan unsur-insur toleransi islam itu kepada mereka daripada menyekat terus akan menampakkan lagi ketidakadilan maka akan lebih menimbulkan ketidakpuashatian non-muslim kepada islam itu sendiri. Maka itu adalah suatu kerugian yang besar kepada umat islam.

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail

_______________________________________________________________________

Rujukan:

  1. Asbabun Nuzul m/s 933 oleh Imam Jalaluddin As-Suyuthi
  2. Fiqh Al-Awlawiyyat: Bab "Pertimbangan Antara Berbagai Kemaslahatan Satu Dengan Lainnya" oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi
  3. Halal dan Haram dalam Islam: Bab "Orang Kafir yang Berada di Wilayah Pemerintahan Islam" oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi

2 comments:

Anonymous said...

Kalimah Allah siapapun boleh pakai.
Kenapa nak pakai kalimah Allah kalau tak kenal Allah?

DIN said...

Permasalahn sekarang ini adakah mereka dilarang menggunakan Kalimah Allah? Jika ya perlu dikemukan dalilnya.

Siapa kata mereka tidak kenal Allah?

Pada mereka, kalimah Allah itu merujuk kepada tuhan yang mempunyai anak, yang sama sekali tidak sama dengan Allah yang diesakan oleh umat islam. Ia kalimah yang sama, tetapi ia merupakan dua zat yang berbeda

Semua kefahaman sebegini berpunca daripada penyelewengan ahli-ahli kitab terdahulu seperti yang difirmankan oleh Allah:

"Celakalah mereka yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka dakwa, "ini datang dari sisi Allah"(Surah Al-baqarah : 79)

Itulah perbedaan i'tiqad yahudi, nasrani dengan pemahaman islam dalam memahami maksud kalimah Allah itu.

Maka kerja pendakwah menerangkan kepada mereka apa itu Allah yg sebenarnya. Itu lagi memudahkan kerana mereka pun percayakan Allah.

Ada dikalangn daripada non-muslim masuk islam kerana Kalimah Allah itu. Islam sebut Allah mereka pun sebut Allah. Daripada situ apabila dikemukakan fakta pada mereka yg jelas maka mereka akan berfikir dan menilai sendiri apakah benar Allah itu ada anak?

Sbb itu kita perlu ambil sifat bermubahalah dengan mereka, iaitu seperti firman Allah:

Maksudnya;
“Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah) * Hai Ahli Kitab, mengapa kamu bantah membantah tentang hal Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim. Apakah kamu tidak berfikir? "