Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Mati otak merujuk kepada keadaan tiadanya pengedaran darah dan oksigen (O2) ke otak yang menyebabkan keseluruhan sistem otak (termasuk batang otak, saraf tunjang dan bahagian-bahagian otak lain yang mengawal aktiviti-aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi dengan sempurna dan keseluruhannya. Kehilangan fungsi otak ini umumnya tidak lagi boleh dipulihkan, akhirnya membawa kepada masalah kematian otak. Bagi segelintir pesakit, kematian otak boleh terjadi dahulu sebelum denyutan jantung mereka berhenti sepenuhnya.
Hal ini mungkin terjadi apabila pesakit itu mengalami koma akibat keadaan-keadaan seperti yang dinyatakan berikut dan telah mendapat rawatan bantuan pernafasan dari mesin khas pernafasan (ventilator) seperti yang berlaku di unit rawatan rapi:[1]
- Kecederaan otak yang menyebabkan bengkak otak atau pendarahan dalam kepala yang teruk;
- Pendarahan otak yang terus secara spontan oleh kerana urat saluran darah ke otak yang terputus akibat darah tinggi atau saluran darah yang tidak normal (Arteriovenous malformation atau AVM);
- Otak bengkak yang teruk oleh kerana jangkitan kuman atau virus (encephalitis) ataupun ketumbuhan seperti barah otak; dan
- Strok (angin ahmar) teruk yang melibatkan seluruh otak kerana saluran darah yang tersekat oleh darah beku.[2]
Ulamak berselisih pendapat tentang hukum menghentikan alat bantuan pernafasan atau ventilator kepada pesakit yang mengalami mati otak. Bagi Doktor Ismail Kolkasal, hukumnya adalah haram dan sama dengan membunuh seseorang yang tidak berdosa. Antara alasan beliau ialah:
- Orang yang menyebabkan seseorang yang lain mati, dikira sebagai pembunuh.
- Ajal, kehidupan dan kesihatan di tangan Allah.
- Keputusan pakar-pakar perubatan adalah berdasarkan kepada sangkaan dan pengalaman dan kerapkali keputusan itu tidak sama dengan hasil yang sebenar.
Bagi Dr. Ahmad Syaraf al-Din (Ketua bahagian Undang-undang Sivil, Fakulti Undang-undang, Universiti Ain Syam, al-Qahirah, apabila pesakit telah diisytiharkan mengalami mati otak, pada masa itu bolehlah dihentikan mesin bantuan pernafasan yang diberikan kepada pesakit. Baliau beralasan bahawa orang yang mengalami mati otak, sudah tidak mampu lagi berinteraksi dengan dunia luar.Kehidupan kemanusiaannya sudah hilang. Beliau telah berada pada hukum orang yang telah meninggal. Oleh kerana mesin ventilator sudah tidak dapat mengembalikan segala fungsi elemen penting yang terdapat didalam tubuh badannya, kesedaran dan kemampuannya untuk berinteraksi dengan dunia luar, menghentikan mesin tersebut tidaklah dianggap menafikan haknya untuk hidup kepada pesakit berkenaan.
Doktor yang bertindak menghentikan mesin tersebut tidak dianggap sebagai membunuh pesakit, kerana perkiraan jenayah berlaku apabila mesin dihentikan daripada orang yang jelas masih belum mengalami mati otak. Pandangan belaiu ini juga dipersutujui oleh al-Qaradawi.
Akademi Fiqh Islam yang bersidang di Amman, Jordan pada tahun 1407 H bersamaan dengan 1986M memutuskan:
Seseorang dikira mati dan terkena segala hukum hakam yang diakui oleh syarak berhubung dengan orang yang mati, apabila nyata salah satu daripada dua tanda:
- Apabila denyutan jantung berhenti sama sekali dan pakar-pakar perubatan memutuskan, ia tidak akan kembali lagi.
- Apabila terhenti sama sekali segala fungsi otak dan pakar-pakar perubatan menghukumkan, ia tidak akan kembali lagi. Otaknya mula hancur.
Di dalam situasi ini, harus menghentikan alat bantuan pernafasan yang digunakan padanya, sekalipun sebahagian daripada anggota badannya masih berfungsi dengan bantuan alat tersebut.[3]
________________________________________________________________________________
Rujukan:
- Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa m/s 554-555 oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari
No comments:
Post a Comment