Oleh
Muhammad Fakhruddin Ismail
Al-Quran menegaskan bahawa orang Islam sekalipun mereka berbeza parti, mazhab, bangsa, negara, warna kulit, bahasa, dan taraf adalah umat yang satu. Setiap umat islam perlu mematuhi Al-Quran dan hadis sahih dan tidak boleh berpecah belah sesama sendiri. Islam langsung tidak menyokong perpecahan. Islam menganjurkan perpaduan dikalangan pengikutnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai…” [Ali 'Imran:103]
Perselisihan yang boleh membawa perpecahan, permusuhan sesama umat, petelagahan antara parti, mazhab, kumpulan dan hentam menghentam sesama sendiri dilarang keras oleh Allah. Sejarah mencatatkan orang-orang sebelum kita telah berpecah belah dan berselisih dalam hal ehwal agama.Akibatnya, mereka dibinasakan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat..” [Ali 'Imran: 105]
Islam tidak menghalang kita daripada menyertai mana-mana jemaah, parti, dan bermazhab tetapi yang dilarangnya adalah taksub kepada mana-mana jemaah, parti dan mazhab. Dari taksublah menyebabkan umat ini berpuak-puak hingga menyebabkan memecahbelahkan agama. Al-Quran memerintahkan kita menjauhkan diri daripada perkara sebegitu. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agama-Nya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.” [Al An'aam: 159]
Al-Quran hanya menyeru kita memperkenalkan diri sebagai orang islam bukan PAS bukan UMNO bukan juga PKR. Jika anda ditanya seseorang islam persoalan agama seseorang itu perlu menjawab “ Saya seorang Islam bukan Syafi’i, Maliki, Hanafi atau Hanbali” . Alllah berfirman:
Maksudnya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [Fushshilat: 33]
Apakah seseorang pendakwah yang berdakwah kepada non-muslim perlu menyeru mereka kembali kepada Syafi’i , Maliki, Hanafi atau Hanbali? Sudah tentu tidak tetapi pendakwah hanya perlu menyeru kepada mereka agar mereka menerima islam bukan sebaliknya.
Rasulullah s.a.w dan para sahabat berdakwah kepada non-muslim supaya mereka menerima islam. Tidak pernah berlaku mana-mana dikalangan para sahabat dan salafusoleh apabila berdakwah kepada non-muslim lalu mereka menerima islam tidak pula para sahabat memerintah mereka agar mengikutinya tetapi hanya mereka menyatakan “Patuhilah Allah dan patuhi Rasul”.
Para sahabat juga tidak pula berkata apabila masuk islam ikutlah pandangan aku jangan ambil pandangan sahabat lain. Perkara ini tidak pernah berlaku sama sekali hingga munculnya mazhab-mazhab yang empat ini. Munculnya mazhab-mazhab ini tidaklah salah tetapi yang salahnya taksub kepada mazhabnya. Seolah-olah ilmu Allah ini terkumpul pada satu mazhab tertentu sahaja. Sedangkan ilmu ini perlu dicari tanpa terikat pada satu pandangan sahaja dan ilmu ini perlu berdasarkan kepada dalil dan fakta bukan bertaklid buta. Syeikh Yusof al-Qaradhawi menyatakan mereka yang bertaqlid seolah-seolah imam mazhab mereka adalah seorang nabi yang diutuskan. Tindakan ini adalah tindakan yang terpesong daripada kebenaran dan salah. Mereka yang berakal pasti tidak akan merelakannya. (Al-Qaradhawi dalam buku Kebangkitan Islam, Cetakan Pustaka Salam m/s 236)
Apabila Al-Quran menyeru kita memperkenalkan diri sebagai islam maka yang dikatakan islam itu hanyalah yang patuh kepada Allah dan Rasulnya bukannya mazhab, parti atau jamaah tertentu. Jika pandangan dalam mazhabnya lemah hendaklah mereka pegang pandangan mazhab yang lebih menepati kepada Al-Quran dan Sunnah, jika pandangan parti atau jemaahnya tidak selari dengan Al-Quran dan Sunnah hendaklah mereka tolak dan patuhilah Al-Quran dan Sunnah. Maka itulah yang dinamakan seorang islam.
Dr. Zakir Abdul-Karim Naik pengasas dan President Islamic Research Foundation (IRF), Mumbai, India dalam buku kecilnya “Soalan paling lazim tentang Islam”Al-Quran menyatakan dalam beberapa ayat, “ Patuhi Allah dan patuhi Rasul.” Orang Islam yang sejati patut mematuhi hanya Al-Quran dan hadis Sahih. Dia boleh bersetuju dengan pandangan mana-mana ulamak selagi mereka mematuhi ajaran Al-Quran dan hadis sahih. Sekiranya pandangan tersebut menyalahi perintah Allah atau sunnah Rasulullah, maka ia tidak bermakna, walaupun betapa tingginya ilmu Ulamak tersebut.
Sekiranya semua orang islam memahami ajaran Al-Quran dan berpegang teguh dengan hadis Sahih, InsyaAllah masalah ini boleh diselesaikan dan kita boleh menjadi umat yang bersatu.
_______________________________________________________________________
Wallahua'lam
Muhammad Fakhruddin Ismail
No comments:
Post a Comment