Friday, February 12, 2010

Kembali Kepada Islam Yang Asal

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

          Apabila kita melihat umat islam sekarang dengan berdasarkan apa yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka kita akan menemukan umat itu sebagai umat yang lain, bukan sebagai umat Al-Quran yang digambarkankan oleh Allah s.w.t. sebagai umat yang terbaik diantara umat-umat yang lain. Untuk kembali kepada islam yang asal seperti apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat memang begitu sukar. Tetapi untuk itu, kita sebagai umat islam dengan semampu mungkin berkorban melakukan yang terbaik untuk mencapai ketahap itu. Kita tidak perlu mencapai tahap secara keseluruhannya tetapi sekurang-kurangnya dapat mencerminkan kepada dunia ini dan umat ini sehingga mereka dapat merasai dan melihat sendiri apa itu islam yang sebenarnya.

al-quran

Islam yang difahami sebagai Rahmatan lil 'aalamin itu bukanlah hanya memfokuskan kepada hukuman semata-mata tetapi realiti umat masa kini yang perlu diperbaharui supaya mereka dapat memahami islam itu secara tidak langsung iaitu perlu mewujudkan umat yang berkasih sayang, hormat menghormati, melakukan keadilan, tiada penindasan, tiada rasuah, tiada kezaliman dan malah dapat mengubah perspektif dikalangan bukan islam untuk menyanjungi islam itu sehingga dapat mereka merasai keindahan islam yang sebenarnya dan merasa takjub serta dapat membukakan hati mereka untuk menerima islam.

Maka setiap kerosakan yang berlaku perlulah umat islam memikul bersama walaupun berbeza parti , pandangan dan manhaj. Kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam buku kecilnya mengenai “Punca Kelemahan Umat Islam Masa kini ” beliau mengatakan kerosakan itu terdapat dalam batin kita, dalam diri kita masing-masing, kerana kita terlalu mencintai kita.  Kita masing-masing bertawaf di sekitar zat kita, seperti penyembah berhala dengan mengelilingi berhalanya, dalam usaha mencuci bersih diri sendiri dan menunding orang lain.  Orang lain selain dari kita sendiri dipersalahkan sebagai yang bertanggunjawab.  Kita melihat kotoran pada mata orang lain  tetapi tidak melihat kayu pada mata kita  sendiri.

Ya, kerosakan itu terdapat pada diri kita semua.  Kaum muslimin dituntutnya untuk bekerja, sedang dia sendiri tidak, mereka diperintahkan berjihad, dia sendiri duduk, mereka disuruh menyumbang, sedang dirinya sangat kikir dan mereka dituntut untuk berkorban, sedang dia sendiri menontoninya.

Penyakitnya ada dalam diri kita semua, kerana semuanya beriman kepada Allah dan sekaligus tidak patuh kepada perintahNya.  Kita mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi enggan mengikuti ajarannya.  Ingin masuk ke syurga, tetapi tidak menempuh jalan-jalannya dan takut pada api neraka, namun senang menempuh jalan yang dapat menghantarkan ke neraka.  Senang mengakui dirinya sebagai orang Islam, tetapi enggan bekerja untuk membela agamanya. Sungguh berbahagia orang yang telah mulai dengan  memperbaiki dirinya sendiri, kemudian mengajak orang lain.

Selain itu juga umat islam perlu berwaspada terhadap tiga penyakit ini. Maka dengan itu peranan para pendakwah dan masyarakat islam perlulah menerangkan akan kebatilan dan penyelewengan ajaran golongan ini yang boleh merosakkan agama islam itu sendiri. Daripada Ibn Jarir dan dilengkapkan dalam Fawa'idnya dan oleh Ibn 'Adi dan lain-lain dari­pada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda:

Maksudnya: “ Ilmu ini hendaklah dibawa oleh orang-orang yang adil daripada setiap  generasi. Mereka membersihkannya dari penyelewengan golongan pelampau, pendustaan orang-orang sesat dan ta'wilan orang-orang yang jahil. ”[ Riwayat al-Baihaqi, Ibn ‘Adi, al-Bazzar]

  • Penyelewengan golongan Pelampau

Golongan ini melampau dalam beragama melebihi apa yang diajar oleh Allah dan Rasulnya. Mereka menjadikan seolah agama islam ini hanya ekslusif bagi mereka.

Penyelewengan ini datang melalui cara yang melampau dan tokok tambah yang berubah daripada bentuk kesederhanaan (al-wasatiyyah) yang menjadi keistimewaan agama ini, berubah daripada konsep toleransi yang menjadi ciri agama yang mudah ini, dan berubah daripada konsep tidak menyulitkan yang merupakan ciri taklif syariat ini.Sikap melampau ini pernah dilakukan oleh Ahli Kitab sebelum ini, yang telah melampaui batas dalam aspek akidah, ibadat dan tingkah laku.[1]

Antara contohnya apabila baginda mengetahui ada di kalangan sahabah cuba ingin beribadah melebihi apa yang diajar, dimana seorangnya ingin bersolat sepanjang malam, seorang lagi ingin berpuasa setiap hari dan seorang yang lain pula tidak ingin lagi menggauli wanita, baginda berkata:

Maksudnya: Adakah kamu yang mengatakan sebegini? (baginda menyebut ucapan mereka). Demi Allah sesungguhnya aku orang yang paling takutkan Allah dan paling bertaqwa. Namun aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan menggauli wanita. Sesiapa yang berpaling dari sunnahku bukan daripadaku [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

  • Pendustaan orang-orang sesat

Golongan ini membuat dakwaan-dakwaan palsu atas nama agama. Hal itu dilakukan dengan cara mencipta hadis-hadis palsu atau menokok tambah ajaran agama tanpa dalil yang kukuh[2]

  • Ta'wilan orang-orang yang jahil

Golongan jahil mentakwil nas-nas agama tanpa menggunakan kaedah Islam yang betul. Perkataan jahil bukan hanya merujuk kepada golongan yang langsung tidak memiliki ilmu pengetahuan. Malah, individu atau golongan yang beriktikad atau bertindak menyanggahi hakikat ilmu juga dianggap jahil. [3]

Antaranya berkenaan zikir menari. Golongan sufi mentakwilkan bahawa terdapat dalil yang menunjukkan keharusan zikir menari. Bagi mereka jika tidak ada dalil pun maka ia tetap harus kerana setiap apa yang Nabi s.a.w diamkan maka ia bukannya menunjukkan larangan.Ini adalah satu dakwaan yang kurang tepat dan tidak berpandukan kepada hukum fiqh dengan betul. Zikir yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat mereka berzikir dalam keadaan tenang pada setiap keadaan dan sedar bukannya dilakukan dengan gerak-geri yang kasar , menjerit dan menghayunkan badan.

Berzikir juga tidak boleh sampai ketahap meniru amalan bukan islam kerana ia melibatkan ibadah khusus. Berzikir secara serentak beramai-ramai dengan nada berlagu dan bermelodi sambil mengayun badan atau kepala menyerupai upacara ‘hymns’ Yahudi dan ‘psalms’ Nasrani. Maka jelas ia dilarang dalam islam.

Kata Dr. Wahbah Az-Zuhaili berkenaan hukum zikir menari. Beliau mengatakan ini adalah bid’ah yang mungkar yang disebutkan oleh ulamak syariah pengharamannya. Meskipun para sufi mengerjakannya dengan berbagai takwil, namun Allah S.W.T lebih mengetahui dan ini tidak boleh dan tidak diterima di dalam syariat. Al-Qurthubi dan yang lainnya telah memperingatkan kemungkaran hal ini dan sepertinya didalam tafsirnya-Surah Luqman :6 [4]

Maka untuk itu setiap kaum muslimin berperanan melakukan perubahan atau tajdid dan perlu mengembalikan kekuatan umat islam kerana kekuatan itu tidak akan kembali melainkan dengan kembali pada agama yang sebenarnya sehingga pesanan Rasulullah s.a.w dilaksanakan iaitu , hatta tarji’u ila dinikum, hingga kalian mahu kembali kepada agama kalian. Kembali kepada agama bukan sekadar melaksanakan islam sebahagiannya kemudian ditinggalkan sebahagiannya tetapi kembali secara menyeluruh. Untuk meraih kembali agama ini perlulah dilaksanakan beberapa langkah. Antara adalah:

  1. Kembali pada agama dengan pemahaman yang sebenar sebagaimana yang difahami oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafusoleh kerana cara pelaksaan mereka dan pemahaman mereka terhadap islam itulah yang boleh membawa kepada agama islam yang sebenarnya,
  2. Menyeru dan mengamalkan ajaran islam itu dengan sebenar-benarnya tanpa tiga penyakit itu iaitu penyelewengan golongan pelampau, pendustaan orang-orang sesat dan ta'wilan orang-orang yang jahil,
  3. Melakukan Tarbiyah dan Tashfiyah. Tarbiyah adalah membersihkan ajaran agama dari kotoran yang boleh mengaburkan syariat islam. Tashfiyah ialah menyebarkan ajaran dan nilai-nilai agama yang telah dibersihkan yang telah diserap oleh musuh-musuh islam dan hawa nafsu,
  4. Melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar dengan bersungguh-sungguh.
  5. Menerapkan islam itu dengan secara yang tepat dan berkesan tanpa mengingkari sedikitpun baik perkara itu kecil atau besar.

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail

________________________________________________________________________________

Rujukan:

  1. Kayfa Nata’amalu ma’a ‘l-Sunnah al-Nabawwiyyah m/s 13 oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi
  2. Membela Islam-Tanggungjawab & Displin m/s 60,Cetakan Karya Bestari oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin
  3. Membela Islam-Tanggungjawab & Displin m/s 60,Cetakan Karya Bestari oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
  4. Prof Dr Wahbah Az Zuhaili, Fatwa-fatwa Semasa, al Fatawa al mu'asaroh, m/s 309 iBook Publication, 2005, Kuala Lumpur

Monday, February 8, 2010

Katakan Saya Islam Bukan Syafi’i, Maliki, Hanafi atau Hanbali

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

          Al-Quran menegaskan bahawa orang Islam sekalipun mereka berbeza parti, mazhab, bangsa, negara, warna kulit, bahasa, dan taraf adalah umat yang satu. Setiap umat islam perlu mematuhi Al-Quran dan hadis sahih dan tidak boleh berpecah belah sesama sendiri. Islam langsung tidak menyokong perpecahan. Islam menganjurkan perpaduan dikalangan pengikutnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai…” [Ali 'Imran:103]

Islam

Perselisihan yang boleh membawa perpecahan, permusuhan sesama umat, petelagahan antara parti, mazhab, kumpulan dan hentam menghentam sesama sendiri dilarang keras oleh Allah. Sejarah mencatatkan orang-orang sebelum kita telah berpecah belah dan berselisih dalam hal ehwal agama.Akibatnya, mereka dibinasakan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “ Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat..” [Ali 'Imran: 105]

Islam tidak menghalang kita daripada menyertai mana-mana jemaah, parti, dan bermazhab tetapi yang dilarangnya adalah taksub kepada mana-mana jemaah, parti dan mazhab. Dari taksublah menyebabkan umat ini berpuak-puak hingga menyebabkan memecahbelahkan agama. Al-Quran memerintahkan kita menjauhkan diri daripada perkara sebegitu. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agama-Nya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.” [Al An'aam: 159]

Al-Quran hanya menyeru kita memperkenalkan diri sebagai orang islam bukan PAS bukan UMNO bukan juga PKR. Jika anda ditanya seseorang islam persoalan agama seseorang itu perlu menjawab “ Saya seorang Islam bukan Syafi’i, Maliki, Hanafi atau Hanbali” . Alllah berfirman:

Maksudnya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [Fushshilat: 33]

Apakah seseorang pendakwah yang berdakwah kepada non-muslim perlu menyeru mereka kembali kepada Syafi’i , Maliki, Hanafi atau Hanbali? Sudah tentu tidak tetapi pendakwah hanya perlu menyeru kepada mereka agar mereka menerima islam bukan sebaliknya.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat berdakwah kepada non-muslim supaya mereka menerima islam. Tidak pernah berlaku mana-mana dikalangan para sahabat dan salafusoleh apabila berdakwah kepada non-muslim lalu mereka menerima islam tidak pula para sahabat memerintah mereka agar mengikutinya tetapi hanya mereka menyatakan “Patuhilah Allah dan patuhi Rasul”.

Para sahabat juga tidak pula berkata apabila masuk islam ikutlah pandangan aku jangan ambil pandangan sahabat lain. Perkara ini tidak pernah berlaku sama sekali hingga munculnya mazhab-mazhab yang empat ini. Munculnya mazhab-mazhab ini tidaklah salah tetapi yang salahnya taksub kepada mazhabnya. Seolah-olah ilmu Allah ini terkumpul pada satu mazhab tertentu sahaja. Sedangkan ilmu ini perlu dicari tanpa terikat pada satu pandangan sahaja dan ilmu ini perlu berdasarkan kepada dalil dan fakta bukan bertaklid buta. Syeikh Yusof al-Qaradhawi menyatakan mereka yang bertaqlid seolah-seolah imam mazhab mereka adalah seorang nabi yang diutuskan. Tindakan ini adalah tindakan yang terpesong daripada kebenaran dan salah. Mereka yang berakal pasti tidak akan merelakannya. (Al-Qaradhawi dalam buku Kebangkitan Islam, Cetakan Pustaka Salam m/s 236)

Apabila Al-Quran menyeru kita memperkenalkan diri sebagai islam maka yang dikatakan islam itu hanyalah yang patuh kepada Allah dan Rasulnya bukannya mazhab, parti atau jamaah tertentu. Jika pandangan dalam mazhabnya lemah hendaklah mereka pegang pandangan mazhab yang lebih menepati kepada Al-Quran dan Sunnah, jika pandangan parti atau jemaahnya tidak selari dengan Al-Quran dan Sunnah hendaklah mereka tolak dan patuhilah Al-Quran dan Sunnah. Maka itulah yang dinamakan seorang islam.

Dr. Zakir Abdul-Karim Naik pengasas dan President Islamic Research Foundation (IRF), Mumbai, India dalam buku kecilnya “Soalan paling lazim tentang Islam”Al-Quran menyatakan dalam beberapa ayat, “ Patuhi Allah dan patuhi Rasul.” Orang Islam yang sejati patut mematuhi hanya Al-Quran dan hadis Sahih. Dia boleh bersetuju dengan pandangan mana-mana ulamak selagi mereka mematuhi ajaran Al-Quran dan hadis sahih. Sekiranya pandangan tersebut menyalahi perintah Allah atau sunnah Rasulullah, maka ia tidak bermakna, walaupun betapa tingginya ilmu Ulamak tersebut.

Sekiranya semua orang islam memahami ajaran Al-Quran dan berpegang teguh dengan hadis Sahih, InsyaAllah masalah ini boleh diselesaikan dan kita boleh menjadi umat yang bersatu.

_______________________________________________________________________

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail

Thursday, February 4, 2010

Hukum Menghentikan Mesin Bantuan Pernafasan (Ventilator)

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

       Mati otak merujuk kepada keadaan tiadanya pengedaran darah dan oksigen (O2) ke otak yang menyebabkan keseluruhan sistem otak (termasuk batang otak, saraf tunjang dan bahagian-bahagian otak lain yang mengawal aktiviti-aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi dengan sempurna dan keseluruhannya. Kehilangan fungsi otak ini umumnya tidak lagi boleh dipulihkan, akhirnya membawa kepada masalah kematian otak. Bagi segelintir pesakit, kematian otak boleh terjadi dahulu sebelum denyutan jantung mereka berhenti sepenuhnya.

Hal ini mungkin terjadi apabila pesakit itu mengalami koma akibat keadaan-keadaan seperti yang dinyatakan berikut dan telah mendapat rawatan bantuan pernafasan dari mesin khas pernafasan (ventilator) seperti yang berlaku di unit rawatan rapi:[1]

  • Kecederaan otak yang menyebabkan bengkak otak atau pendarahan dalam kepala yang teruk;
  • Pendarahan otak yang terus secara spontan oleh kerana urat saluran darah ke otak yang terputus akibat darah tinggi atau saluran darah yang tidak normal (Arteriovenous malformation atau AVM);
  • Otak bengkak yang teruk oleh kerana jangkitan kuman atau virus (encephalitis) ataupun ketumbuhan seperti barah otak; dan
  • Strok (angin ahmar) teruk yang melibatkan seluruh otak kerana saluran darah yang tersekat oleh darah beku.[2]

Ulamak berselisih pendapat tentang hukum menghentikan alat bantuan pernafasan atau ventilator kepada pesakit yang mengalami mati otak. Bagi Doktor Ismail Kolkasal, hukumnya adalah haram dan sama dengan membunuh seseorang yang tidak berdosa. Antara alasan beliau ialah:

  1. Orang yang menyebabkan seseorang yang lain mati, dikira sebagai pembunuh.
  2. Ajal, kehidupan dan kesihatan di tangan Allah.
  3. Keputusan pakar-pakar perubatan adalah berdasarkan kepada sangkaan dan pengalaman dan kerapkali keputusan itu tidak sama dengan hasil yang sebenar.

Bagi Dr. Ahmad Syaraf al-Din (Ketua bahagian Undang-undang Sivil, Fakulti Undang-undang, Universiti Ain Syam, al-Qahirah, apabila pesakit telah diisytiharkan mengalami mati otak, pada masa itu bolehlah dihentikan mesin bantuan pernafasan yang diberikan kepada pesakit. Baliau beralasan bahawa orang yang mengalami mati otak, sudah tidak mampu lagi berinteraksi dengan dunia luar.Kehidupan kemanusiaannya sudah hilang. Beliau telah berada pada hukum orang yang telah meninggal. Oleh kerana mesin ventilator sudah tidak dapat mengembalikan segala fungsi elemen penting yang terdapat didalam tubuh badannya, kesedaran dan kemampuannya untuk berinteraksi dengan dunia luar, menghentikan mesin tersebut tidaklah dianggap menafikan haknya untuk hidup kepada pesakit berkenaan.

Doktor yang bertindak menghentikan mesin tersebut tidak dianggap sebagai membunuh pesakit, kerana perkiraan jenayah berlaku apabila mesin dihentikan daripada orang yang jelas masih belum mengalami mati otak. Pandangan belaiu ini juga dipersutujui oleh al-Qaradawi.

Akademi Fiqh Islam yang bersidang di Amman, Jordan pada tahun 1407 H bersamaan dengan 1986M memutuskan:

Seseorang dikira mati dan terkena segala hukum hakam yang diakui oleh syarak berhubung dengan orang yang mati, apabila nyata salah satu daripada dua tanda:

  1. Apabila denyutan jantung berhenti sama sekali dan pakar-pakar perubatan memutuskan, ia tidak akan kembali lagi.
  2. Apabila terhenti sama sekali segala fungsi otak dan pakar-pakar perubatan menghukumkan, ia tidak akan kembali lagi. Otaknya mula hancur.

Di dalam situasi ini, harus menghentikan alat bantuan pernafasan yang digunakan padanya, sekalipun sebahagian daripada anggota badannya masih berfungsi dengan bantuan alat tersebut.[3]

________________________________________________________________________________

Rujukan:

  1. Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa m/s 554-555 oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari