Monday, October 25, 2010

Fiqh Melintasi Agama

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

             Perlu diakui atau tidak di antara dilema fiqh paling serius ialah tatkala berhubungan dengan perbahasan yang melibatkan kalangan di luar komunitinya, iaitu non-Muslim,apapun agama dan aliran kepercayaannya.Dimensi keuniversalan fiqh seakan-akan tersimpan di laci atau mungkin hilang entah kemana.Fiqh ini telah menyebarkan kebencian dan kecurigaan terhadap agama lain.

Ada beberapa istilah yang selalu dianggap musuh dalam fiqh klasik iaitu “musyrik”, “murtad” dan “kafir” seolah-olah memberi peringatan keras dalam menghadapi kalangan tersebut. Apakah islam memang benar-benar sebagai agama yang menyebarkan permusuhan dan kekerasan, sebagaimana dituduh banyak orientalis?

Pertanyaan-pertanyaan ini membuat kita harus bekerja keras dalam membaca fiqh klasik.Perlu perspektif baru terhadap fiqh, iaitu meletakkannya kembali sebagai produk budaya dan produk hadir dalam zaman tertentu untuk komuniti tertentu pula. Selama ni bila membaca kitab-kitab fiqh, maka fiqh seakan-akan terlalu “dimanja” oleh pembacanya.Selain itu ada juga fiqh dijadikan supaya kepatuhan dan ketundukan terhadap sebuah aliran dan mazhab tertentu. Fiqh seakan-akan harus menentukan pilihan: Syafi’yah, malikiyah, Hanabilah atau hanafiyah.

Dalam hal pembaharuan fiqh, sebenarnya telah muncul beberapa tokoh besar antara lain Dr Yusuf al-Qaradhawi, Jamal al-Banna, Dr. Ali Jum’ah, Muhammad Syahrur dan beberapa tokoh lain.Mereka melihat betapa pentingnya membaca fiqh klasik secara mendalam, bukan dalam hal membongkar-pasang fiqh yang ada, melainkan dalam hal memperbaharui fiqh dan ushul fiqh untuk menjawab beberapa realiti problem zaman ini.Malah ada sebahagian kalangan,yang ingin menjadikan fiqh bukan cara atau alat untuk memahami doktrin keagamaan,melainkan sebagai dogma yang kaku dan keras.

Faktor terpenting yang menyebabkan kebekuan pemahaman itu ialah kecenderungan untuk mengagungkan suatu masa tertentu sebagai masa yang paling islami. Dikalangan aktiviti gerakan islam berkembang suatu trend untuk menjadikan masa tertentu yang diidentifikasi sebagai golangan “al-salaf al-shalih” sebagai the golden ages Islam, sehingga diposisikan sebagai suatu kebenaran bagi setiap pemikiran bagi umat Islam generasi berikutnya. Apapun pemikiran atau praktik keberagamaan yang berkembang saat itu dianggap sebagai yang paling benar, kerana paling dekat dengan petunjuk Nabi. Akibatnya, setiap perkembangan yang muncul seiring dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi dianggap sebagai “ancaman” terhadap Islam tetapi tidaklah kesemua mereka seperti itu.

Kecenderungan itu menyebabkan rumusan hukum dan metode istinbath yang diperkenalkan ulamak terdahulu dianggap final, sehingga tidak dimungkinkan lagi untuk dikembangkan secara dinamik,kreatif,apalagi dimodifikasikan. Sejumlah sarjana yang berupaya menawarkan kemestian pemikiran (re-thinking) atau tajdid dalam bidang ushul fiqh bukannya disambut, melainkan dicemoh dan dicerla malah seolah-olah ingin menyesatkan tokoh-tokoh tersebut.

Dr. Hasan al-Turabi pemikir utama Republik Islam Sudan menyatakan kesimpulannya, fiqh kita saat ini lebih berorientasi pada ijtihad dalam persoalan ibadah ritual dan masalah-masalah kekeluargaan, sementara persoalan hukum, ekonomi, hubungan luar negeri, dan sebagainya belum memiliki tempat yang semestinya dalam kajian fiqh.

Tentu sahaja, konteks dimasa lalu dengan masa kini dan masa yang akan datang pasti berbeza. Masyarakat modern mempunyai sikap yang jauh berbeza dengan apa yang dihadapi masyarakat Arab di zaman dahulu.Mungkin juga letak geografi dimana Islam diturunkan dengan letaknya geografi beberapa Negara lainnya memberikan inspirasi bagi lahirnya sebuah tafsir baharu terhadap doktrin dan dogma keagamaan.

Perbezaan konteks dan sejarah inilah yang menyebabkan perlunya pembacaan yang bersifat antara syari’ah dan maqasid al-Syari’ah. Jika tidak, akibatnya syariat akan mengalami kemandulan. Yang tampak ke permukaan adalah wajah fiqh yang keras dan kaku. Fiqh sebagai cara mengambil kesimpulan sebuah hukum yang berasal dari sumber asli agama (al-Quran dan Hadis) pada akhirnya juga menjadi suatu pengetahuan daripada upaya memfungsikankan doktrin keagamaan untuk mnyelesaikan ketegangan yang terjadi dalam realiti sehari-hari.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi melihat kenyataan mandulnya fiqh yang dimulai dengan perbahasan mengenai ibadah.Menurutnya kerakteristik fiqh seperti ini telah memandulkan cara pandang fiqh terhadap masalah-masalah sosial,politik dan ekonomi. Kerananya, Qardhawi mengajukan alternative pemikiran agar priority (fiqh al-awlawiyat), iaitu fiqh yang dapat dijadikan sinaran baru bagi problem kemanusiaan yang muncul di tengah-tengah masyarakat. Dalam hal ini, Syariat diharapkan tidak lagi hanya mengupas masalah hubungan manusia dengan tuhan, melainkan mencuba dalam perkara masalah-masalah kemanusiaan. Fiqh didesak untuk menyentuh isu-isu kesetaraan gender (fiqh al-mar’ah), kenegaraan (fiqh al-dawlah), kewarganegaraan (fiqh al-muwathanah) dan lain-lain.

Oleh itu fiqh harus mempertimbangkan faktor keragaman masyarakat, dan harus memberikan perhatian yang lebih terhadap non-muslim. Jika ini boleh dilakukan, maka akan membawa ke arah positif bagi fiqh dan Islam pada umumnya, kerana sesuai dengan semangatnya yang mampu mengharungi zaman.Bahkan Imam al-Syatibi menyatakan kemaslahatan yang berkaitan syariat dan masalah-masalah ketuhanan pun harus memperhatikan adat dan tradisi. Kerana pada hakikatnya antara kemaslahatan duniawi dan memaslahatan ukhrawi tidak bertentangan.Keduanya ibarat dua belah mata wang logam dan saling menyempurnakan.

Selain itu fiqh semestinya boleh menjadi teori-teori sosial modern sebagai rujukan dalam mengambil sebuah hukum. Contohnya yang sangat tepat dalam hal ini adalah fiqh terhadap kewarganegaraan dan demokrasi. Agar fiqh dapat berinteraksi dengan konsep-konsep modern, seharusnya “membuka diri” dan memahami konsep tersebut secara mendasar dan tidak sempit. Fiqh tidak hadir sebagai konsep yang menafikan konsep lain, melainkan dapat memberikan ruh terhadap teori-teori modern.

Di antara konsep yang masih dipertahankan para ulamak fiqh dan belum mendapat perhatian serius untuk dicermati secara seksama, iaitu berkaitan masalah hubungan umat Muslim dengan non-Muslim. Bahkan bila ditanya persoalan apa dalam fiqh yang belum mendapatkan penyelesaian secara adil? Tentau sahaja, jawapannya adalah fiqh hubungan antara agama. Lihat sahaja symbol-simbol keagamaan yang secara sempit menganjurkan sikap keras terhadap agama lain. Dalam banyak ayat, terutama bila dibaca secara harfiah, maka akan disimpulkan secara kaku dan keras. Misalnya ayat 120 surah al-Baqarah. Allah berfirman:

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (al-Baqarah:120)

Menurut Syaikh Muhammad Thahir bin Asyur dalam tafsirnya menjelaskan kalimat hatta tattabi’a milltahum (hingga kamu mengikuti agama mereka) adalah kinayah kalimat yang mengandung makna bukan bunyi teksnya) dan tidak adanya kemungkinan bagi orang Yahudi dan Nasrani untuk memeluk Islam ketika itu kerana mereka tidak rela kepada Rasul kecuali (kalau Rasul) mengikuti agama/tatacara mereka. Maka ini bererti bahawa mereka tidak mungkin mengikuti agama beliau; dan kerana keikutan Nabi pada ajaran mereka merupakan sesuatu yang mustahil, maka kerelaan mereka terhadap beliau (Nabi) pun demikian. Ini sama dengan (firman-Nya)

Maksudnya: “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan menyembah Tuhan yang aku sembah” (al-Kaafiruun 2-3)

Disisi lain kerana ayat ini menggunakan cara yang menunjukkan kepastian yang berlanjutan terus-menerus , “ tidak akan rela kepadamu sepanjang masa” sedangkan terbukti kemudian bahawa ada diantara mereka yang memeluk Islam maka demikian yang dimaksudkan dengan Yahudi dan Nasrani oleh ayat ini adalah orang-orang tertentu diantara mereka bukan semua Ahl Al-Kitab.

Malah jika dilihat sebab turunnya surah Al-Baqarah 120 di atas berkenaan dengan pemindahan kiblat solat kaum Muslim kearah Ka’bah, yang ketika itu kaum Yahudi Madinah dan kaum Nasrani Najran mengharapkan agar Nabi dan kaum Muslim mengarahkan solat mereka ke kiblat mereka. Demikian pendapat Ibnu Abbas sebagaimana dikemukakan oleh As-Sayuthi dalam karyanya Asbab Al-Nuzul.

qordowi yahudi

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh Jihad dan Nahnu wa Al-Ghrab menyatakan bahawa ramai umat islam yang taat beragama tetapi tidak mentadbburi dan mendalami ayat-ayat itu.Mereka memandang ayat-ayat tersebut sebagai halangan untuk saling memahami, hidup berdampingan, serta membuat perdamaian dengan Yahudi dan Nasrani (Ahli Zimmi-yang tidak memerangi islam). Pemahaman tersebut keliru dan tidak lahir dari pemahaman yang benar terhadap ayat-ayat Al-Quran. Hal tersebut kerana beberapa sebab:

  1. Ayat tersebut secara khusus ditujukan kepada Rasulullah, iaitu “ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu”. Ayat tersebut sama sekali tidak menggunakan Lafaz Am yang sudah dikenal dalam kaedah bahasa Arab.
  2. Andai kata kita terima bahawa ayat tersebut ditujukan kepada semua orang, maka tidak lebih ayat itu hanya menunjukkan ketidakredhaan mereka secara mutlak hingga kita mahu mengikuti agama mereka. Sudah wajar sikap seperti ini ditunjukkan oleh orang yang memegang teguh ajaran agamanya. Begitupun dengan kita. Kita tidak akan secara mutlak redha kepada mereka, kecuali jika mereka mahu mengikuti agama kita. Itulah sikap alami dan timbale-balik yang sering dilakukan oleh seluruh pelusuk agama. Allah berfirman: Maksudnya: “Dan sesungguhnya jika kamu mendatangkan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al Kitab (Taurat dan Injil), semua ayat (keterangan), mereka tidak akan mengikuti kiblatmu, dan kamupun tidak akan mengikuti kiblat mereka, dan sebahagian merekapun tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain” (Al-Baqarah: 145)
  1. Tujuan kita bukan mencari keredhaan Yahudi dan Nasrani. Jika mereka tidak redha, bukan bererti mereka akan manjadi batu penghalang bagi saling kesefahaman dan hidup berdampingan. Namun, tujuan kita adalah mencari keredhaan Allah, baik manusia redha kepada kita mahupun tidak. Kita tidak boleh menjual keredhaan Allah dengan keredhaan makhluk dan harga materi atau non-materi mana pun. Jika orang-orang menyimpan matahari dengan tangan kanan kita dan bulan di tangan kiri kita, tidak akan hilang sedikit pun keinginan kita untuk mencari redha Allah.
  2. Meskipun ada ayat di atas, tetapi Islam tidak melarang umat Islam untuk memakan makanan Yahudi dan Nasrani serta menjadikan mereka sebagai keluarga. Ertinya kita boleh menikah dengan anak saudari, dan kerabat perempuan mereka. Dengan demikian, dari perempuan tersebut akan lahir anak-anak yang berbakti kepada ibu, nenek dari pihak ibu dan selain daripada mereka. Memperlakukan mereka sesuai dengan hak dan kewajipan kita terhadap kerabat dan keluarga. Sebagaimana Firman Allah: Maksudnya: “Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat)di dalam kitab Allah” ( Al-Anfal:75)

Selain itu, masih terdapat sejumlah ayat al-quran yang lain seperti Al-Maidah:82,  Al-Maidah:51,Ali Imran:28, Al-Mujaadilah;22, Al-Mumtahanah:1 dan beberapa ayat yang lain disalah fahami serta sejumlah hadis yang juga mengisyaratkan kebencian pada agama lain. Disini semakin tergambar bahawa fiqh hubungan antara agama merupakan problem serius yang dihadapi masyarakat modern.

Oleh kerana itu, seharusnya wilayah fleksibiliti syariat itu diperluaskan. Kerana itu, tidak ada alasan untuk menuding berbagai perubahan dan perkambangan baru sebagai “ancaman” bagi Islam. Maulana Mohammed Taqi Amini menyatakan:

The end of Shariah is equity and justice and every measure which may be employed therefore, shall be a part of the Faith and not a violation thereof

Al-Quran dan Nabi Muhammad sendiri memerintahkan sendiri agar umat manusia menggunakan akalnya dan berijtihad untuk mewujudkan kemaslahatan di dunia dan akhirat. Al-Quran tidak diturunkan sekaligus, tetapi diwahyukan sesuai konteks tertentu untuk menjawab pelbagai persoalan selama dua puluh tiga tahun kenabian Muhammad. Sistem pewahyuan yang progresif ini membenarkan bahawa hukum dan kehidupan harus saling terkait, aturan-aturan dan hendaknya melihat pada perubahan untuk memenuhi perubahan keperluan masyarakat.

 

Rujukan: Fiqh Jihad-Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Nahnu wa Al-Ghrab - Dr Yusuf Al- Qaradhawi,Asbabun Nuzul-Imam Jalaluddin As-Sayuthi, 1001 Soal Keislamaan-M.Quraish Shihab, Fiqh Lintas Agama-Nurcholish Madjid,Kautsar Azhari Noer,Komaruddin Hidayat,Masdar F. Mas’udi, Zainun Kamal, Zuhairi Misrawi, Budhy Munawar-Rachman dan Ahmad Gaus AF

No comments: