Thursday, May 7, 2009

Antara Akidah dan Kerohanian Keajaiban

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Terdapat pelbagai teori-teori kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Ada yang mengatakan sumbangan saudagar India-Muslim yang bergerak dari Gujerat India, ada juga yang mengatakan peranan saudagar Islam dari China dan teori terbaru mengatakan agama islam pada awalnya dikaitkan dengan kedatangan pengikut Syiah yang terdiri daripada orang Arab yang merupakan pelarian politik selepas kemunculan Bani Umayyah. Jika lihat, seperti teori awal dan akhir itu seakan yang benar. Buktinya amalan-amalan masyarakat Islam khususnya di Malaysia dengan pelbagai amalan yang bercampur seperti kenduri Asyura, tepung tawar, biji tasbih zikir yang mirip kepada jibmala (Hindu), rosary (Kristian) dan ( wisnuisme) Budha. Begitu juga berzikir secara serentak beramai-ramai dengan nada berlagu dan bermelodi sambil mengayun badan atau kepala menyerupai upacara ‘hymns’ Yahudi dan ‘psalms’ Nasrani dan yang terbaru konsep keajaiban Aura, Chakra, Tenaga Dalam dan pelbagai lagi sehingga amalan tersebut dianggap satu amalan dalam agama islam dan boleh dikategorikan sesetengah amalan masyarakat islam di Malaysia adalah islam campur bukannya islam tulen.

Perlu dijelaskan dalam konsep agama islam bukan yang utama diajarnya perkara-perkara ajaib seperti golongan tarikat-tarikat dan tasawwuf yang menyeleweng dengan pelbagai cerita-cerita ajaib mereka tetapi yang menjadi teras utama dalam agama islam ialah akidah Islam bukannya keajaiban. Seperti juga Yahudi dan Kristian teras utama agama mereka ialah akidah Yahudi dan Kristian. Tidak ada dalam mana-mana agama samawi(langit) iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani teras utamanya adalah kejaiban tetapi akidah.

Ini berbeza dengan ajaran agama seperti Budha dan Hindu. Agama mereka tidak ada akidah tetapi kepercayaan yang ajaib.Seperti Budha teras agama mereka kepada Sami Budha yang ajaib tersebut. Lihat sahajalah keyakinan mereka terhadap kehebatan Sami Budha itu yang boleh mengubati pesakit, boleh melakukan ajaib yang berbagai-bagai kerana teras utama mereka ialah kerohanian keajaiban bukannya akidah Budha. Seperti juga agama Hindu yang mempercayai berbagai-bagai kepercayaan seperti ditanda dahinya, tangkal gelang benangnya, amalan-amalan yang berunsur keajaiban dan spiritual yang menjadi terasnya.

Apabila kerohanian yang pelik itu seperti Hindu dan Budha duduk dalam agama islam maka dia berada dipinggiran bukan dilubuk agama. Apabila seseorang ingin mengamalkan kerohanian ia perlu dinilai semula apakah amalan tersebut bertepatan dengan teras akidah Islam?

Sebab itu apabila kita lihat seperti golongan tarikat, tasawwuf yang menyeleweng dan ditambah dengan ajaran ayah pin dan al-arqam juga yang pertama sekali diceritakan keajaiban gurunya seperti dia berada diatas langit, boleh jalan diatas air, boleh menyalakan lampu dengan menggunakan tangan dan pelbagai lagi cerita-cerita dongeng mereka seperti juga golongan-golongan yang mempercayai keajaiban tenaga dalam. Bila dilihat bentuk amalan mereka ini bukannya berada dalam teras akidah tetapi amalan itu berada dalam teras agama Hindu dan Budha iaitu kerohanian keajaiban.

Lihat saja keajaiban yang dilakukan mereka dengan kebalnya, boleh mengetahui perkara-perkara ghaib, menyembuhkan manusia dari jarak jauh dan berbagai-bagai keajaiban yang memang menakjubkan. Memang tidak dinafikan wujudnya Aura tetapi bila sudah ketahap melampau sehingga dapat mengetahui ghaib maka islam melarang dengan keras.

Selalunya orang yang mengetahui perkara ghaib  akan menambahkan lagi senarai-senarai kedustaannya dari boleh mempercepatkan jodoh sampai kedustaan-kedustaan berikutnya. Lihat sahajalah senarai-senarai kedustaan yang dilakukan oleh bomoh-bomoh tersebut yang ada juga berlabelkan ustaz yang kononya menggunakan tenaga dalam boleh mengubati dan menyelesaikan 1001 macam masalah.

Saya ingin bertanya kepada penyokong-penyokong yang masih mempertahankan perkara tersebut. Adakah anda ingin mempercayai kata-kata Rasulullah SAW atau guru anda tersebut? Sedangkan Rasulullah SAW bersabda dari A’isyah radhiallahu 'anha,:

Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar!” Rasulullah menjawab:“Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no:2228 (Kitab al-Salam, Bab larangan menilik nasi)]

Oleh itu apabila ada sahaja perubatan dan amalan yang bercanggah dengan akidah islam maka Rasulullah SAW melarang kita daripada menggunakan dan mengunjungi orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.Seorang sahabat, Muawiyah bin al-Hakam radhiallahu ‘anh pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami lakukan zaman Jahiliyyah (seperti) mengunjungi orang yang mengetahui ilmu ghaib.” Rasulullah menjawab: Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” [ Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya-hadis no: 537-1 (kitab al-Salam,Bab larangan menilik nasib].

 

 

Muhammad Fakhruddin Ismail

_______________________________________________________________

Rujukan:

  1. 11 Perkara yang Mencemarkan Kemurnian Tauhid oleh Hafiz Firdaus Abdullah.
  2. Amalan Berzikir “ Antara Sunnah & Rekaan Manusia oleh Mohd Khairil Anwar bin Abdul Latif.
  3. Yoga antara penyerupaan dan peniruan oleh Dr Azwira Abdul Aziz.
  4. Kuliah Dr Asri Zainul Abidin

No comments: