Monday, June 22, 2009

Belum Masanya Membentuk Kerajaan Perpaduan

 

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Penulisan ini hanya pandangan peribadi penulis. Sesiapa yang tidak setuju terpulang tetapi yang setuju maka perlulah memperbaiki semula sikap-sikap kita sesama muslim kearah perpaduan rakyat. Maka tidak perlu melabelkan parti tersebut sebagai jijik,kotor, syaitan atau sikap yang tidak membawa kepada umat dan pemerintah pada yang makruf. Isu kerajaan perpaduan semakin hangat dibincangkan. Saya sendiri tidak pasti maksud sebenar Kerajaan Perpaduan atau Unity Government. Tapi yang pasti ia membawa kepada politik perdamaian.Bagi saya cadangan apa sahaja untuk mencari dan mencapai kemaslahatan umat dan membawa pendamaian sesama muslim maka saya sokong. Tetapi apakah bukti bagi UMNO untuk tidak mengkhianati PAS lagi?Adakah krisis perak dan ISA yang melahirkan kemarahan rakyat terhadap UMNO merupakan satu bukti mereka ingin berdamai?

hadi-dan-najib

Sebagai contohnya seseorang yang merampas hak milik orang lain kemudian mengharapkan perdamaian kepada pemiliknya tersebut dengan memberikan sebahagian rampasan tersebut kepada pemiliknya sebagai bukti perdamaian. Padahal sebahagian hak yang diberikan tersebut adalah hak pemilik tersebut. Apakah perampas yang terus mempertahankan rampasannya seperti itu boleh dianggap menginginkan perdamaian? Maka dari permasalahan tersebut jelas apabila seseorang yang merampas hak milik orang lain, tidak boleh dianggap bahawa ia menginginkan perdamaian sehingga ia mengembalikan hak tersebut kepada pemiliknya.

Bagi saya cadangan membentuk kerajaan perpaduan tidaklah saya sokong sepenuhnya dan tidaklah terus menolak. Apa saja yang membawa kepada kebaikan perlulah disokong tetapi perlulah dilihat pada realiti atau waqi’ politik sekarang.

Memang tidak dinafikan islam menyuruh melakukan perdamaian sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Juga sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

“Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Memang penetapan hukum syar’i dan pengambilan dalil tersebut adalah benar akan tetapi perlu dilihat juga penerapan hukum tersebut pada realitinya . Ini kerana tidak semua perdamaian membawa kebaikan sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

Perdamaian antara kaum muslimin adalah diperbolehkan kecuali perdamaian yang mengharamkan sesuatu yang halal atau menghalalkan sesuatu yang haram…” (HR. Ahlu Sunan kecuali An Nasa’i, disahihkan oleh Al Albani dalam Shahihul Jami’ 3862)

Adakah setelah mewujudkan kerajaan perpaduan sikap rakyat terhadap sesama muslim dan juga pemerintah akan menghilangkan sikap kebencian, perbalahan, buruk sangka, fitnah-memfitnah dan pelbagai lagi yang telah lama menimbulkan kemarahan rakyat dan perbalahan antara parti-parti tersebut? Jika PAS mewujudkan kerajaan perpaduan maka pelbagai kemungkinan dan kebimbangan yang akan menyelubungi fikiran mereka. Kemungkinan sukar untuk menegakkan islam, ditakuti sejarah-sejarah hitam bersama UMNO akan berulang kembali, atau kemungkinan cadangan-cadangan mereka tidak akan diterima sama sekali walaupun jelas ia untuk kemaslahatan umat dan pelbagai lagi persoalan yang masih ditahap yang samar untuk dijawab melainkan mereka diberi beberapa kerusi yang penting. Maka perlu dilihat dari timbangan manfaat dan mudaratnya. Jika membentuk kerajaan perpaduan tetapi sukar untuk melaksanakan islam maka ia tidak perlu.

Maka mengapa kita tidak mewujudkan sahaja sikap perpaduan rakyat terhadap pemerintah dan sesama muslim seperti mana yang digariskan dalam al-Quran dan sunnah Rasul-Nya atau mewujudkan Ishlah yang paling agung dengan menyatukan manusia di atas kalimat tauhid dan mengajak umat Islam dari parti manapun untuk tunduk kepada Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan melepaskan diri dari berbagai tradisi dan keyakinan bid’ah yang menodai kesucian syari’at Islam. Apabila sikap buruk terhadap sesama muslim dapat dihakis maka itu juga satu perpaduan rakyat. Rakyat seharusnya bersikap dengan rasional dan bijak terhadap sesuatu perkara. Janganlah disebabkan kebencian kita terhadap parti tertentu mewujudkan suatu perpecahan dan perbalahan yang tidak berkesudahan. Hilangkan sikap mencerca, memaki anda itu kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan keburukan. Perkara-perkara yang boleh mewujudkan suatu kemungkaran terhadap pemerintah perlu dihentikan segera. . Ibn al-Jauzi r.h berkata:

“Tujuan amar makruf nahi mungkar ialah menghapuskan mungkar. Menggunakan perkataan yang keras akan menyebabkab pemerintah bertindak balas dengan melakukan perbuatan mungkar. Ini lebih mungkar daripada kemungkaran yang hendak dihapuskan.” [Ibn Muflih, al-Adab al-Syar’iyyah jil:1,m/s:197 dinukilkan oleh Dr Asri Zainul Abidin “Membela Islam Tanggungjawab & Dispilin].

Bagi saya perpaduan rakyat lebih diutamakan dari kerajaan perpaduan. Ia seperti juga dalam konsep jual beli. Sebagai contohnya kita mempunyai rakan yang suka menipu apabila berurusan berjual beli dengannya. Tetapi kita sebagai kawan yang sudah tahu sikapnya tidak perlulah berurusan dengannya dalam sesuatu jual beli tetapi bukan menunjukkan dia itu musuh kita. Sebagimana dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu.”[ An Nisaa' :29].

Maka dilarang kita berjual beli dengannya melainkan tiada lagi unsur penindasan dan redha kedua belah pihak. Begitu juga dalam kerajaan perpaduan jika parti tersebut masih tidak membuktikan kesungguhan mereka untuk berdamai dan masih melakukan penindasan maka bagi saya tidak perlu mewujudkan kerajaan perpaduan tetapi sikap rakyat terhadap pemerintah dan sesama muslim itu perlu diwujudkan. Tidak kita lihatkah bagaimana parti PAS, PKR dan DAP dapat bekerjasama walaupun amat banyak berlainan ideologi dan perjuangannya? Ini kerana sikap diantara mereka yang tidak menuding jari, memfitnah itulah yang menyatukan mereka walaupun ideologi dan perjuangan mereka berbeza.

Sesuatu perpecahan itu berlaku apabila sikap kita yang suka fitnah-memfitnah, berburuk sangka dan mempercayai gosip dusta itulah yang membawa kepada keburukan sebagaimana Firman Allah s.w.t:

Dan katakanlah kepada hamha-hamba-Ku,supaya mereka berkata dengan kata-kata yang baik; Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. [ al-Isra’ : 53]

Maka belum tiba masanya membentuk kerajaan perpaduan melainkan dibuktikan secara jelas perdamaian tersebut. Ia juga boleh diibaratkan seperti pelaksanaan dalam hukum hudud kerana penolakan dalam pelaksanaan hukum hudud dibolehkan apabila berlakunya syubhat seperti mana tindakan umar ra. tidak memotong tangan pencuri kerana berlakunya musim kebuluran. Apabila sudah hilangnya punca kepada pelaksanaan hukum hudud maka secara tidak langsung pelaksanaannya dikembalikan. Begitu juga dengan kerajaan perpaduan apabila pelaksaaan kearah itu masih ditahap syubhat maka ia tidak perlu dilaksanakan melainkan dihilangkan punca kepada pelaksaaan tersebut iaitu dibuktikan dengan jelas bahawa parti tersebut memang bersedia untuk mewujudkan perdamaian itu.

Wallahua'lam

 

Muhammad Fakhruddin Ismail

 

No comments: