Thursday, June 18, 2009

Saya tidak Menyukai ESQ 165

Oleh: Ustaz Emran Ahmad

Bismillahirahmanirahim, pada kali ini biarlah pandangan seorang ustaz berbicara tentang ESQ sebuah training dan modul yang dinamakan The ESQ 165 Way.

Sebelum apa-apa yang buruk hendak diperkatakan tentang peribadi saya, biarlah saya menjelaskan bahawa apa yang termuat di dalam blog ini ialah pendapat peribadi saya.

Saya juga menyeru kepada mana-mana pihak yang tidak pernah mendalami manhaj salafus soleh, tidak pernah memahami kitab dan sunnah rasul melalui tafsiran salaf agar tidak perlu membuang masa membaca tulisan saya kerana tuan-tuan tidak akan memahami pun mengapa saya mengatakan saya tidak menyukai ESQ.

Saudara dan saudari pembaca,

Saya telah menghadiri kursus ESQ Basic Training di bawah modul Eksekutif angkatan ke – 33 di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC- Kuala Lumpur pada 15- 17 Mei 2009 baru-baru ini.
Pakar modul yang mengajarkan kami tentang ESQ WAY 165 ketika itu ialah Pak Legisan Sugimin.

Secara umumnya saya berpendapat bahawa Training ESQ 165 yang telah dilalui oleh saya sewaktu itu bertentangan dengan Islam menurut kefahaman manhaj salafus soleh yang dipegang oleh saya.

Sabda rasulullah : "Barang siapa mengada-adakan satu perkara (dalam agama) yang sebelumnya belum pernah ada, maka ianya tertolak ". (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Saya berpendapat bahawa apa yang diajarkan oleh pihak ESQ Leadership Training mungkin benar dan tiada salahnya menurut kefahaman ilmu kalam dan pemikiran asya’irah yang pastinya akan menyetujui program ini. Golongan ilmu kalam sangat terkenal suka mengaitkan apa sahaja yang terlintas oleh akal dengan tuhan dan agama.

Selain itu, golongan sufi dan ahli tasauf juga tidak terkecuali daripada menjadi peminat setia kepada ajaran ESQ 165.

Saudara dan saudari pembaca,

Sepanjang perjalanan program selama 3 hari itu saya kerap kali terpaksa keluar daripada dewan PWTC disebabkan oleh kerana tidak bersetuju dengan program yang berlangsung, kerana sejuk dan asyik mahu ke tandas atau kerana sakit kepala akibat mata berpinar dengan lampu yang ditutup oleh pihak ESQ.

Pada asalnya saya berkeras tidak mahu pergi ke program ini namun terbaca komen Ustaz Zaharuddin di laman webnya telah melembutkan hati saya lalu menyebabkan saya menjejakkan kaki juga ke program ini.

Alhamdulillah, saya tertarik dan kagum dengan kepetahan dan kebijaksanaan orang-orang Indonesia di dalam kepandaian mereka menggunakan segala peluang dan kebolehan mereka ketika melakukan sesuatu.

Apapun ini bukanlah kali pertama saya melihat lelaki Indonesia pintar seperti Pak Ary Ginanjar atau Pak Legisan Sugimin kerana sejak di tanah arab lagi saya kerap berjumpa dengan pelajar-pelajar pintar Indonesia yang tak pernah jemu membuatkan saya kagum kepada mereka.

Walaubagaimanapun,Setelah program berlangsung saya mula perlahan-lahan berfikir, agaknya Ustaz Zaharuddin tersilap ?

Biarlah saya ceritakan apa yang saya tidak suka tentang ESQ 165 ini.

Pertama : Ajaran ESQ pada pendapat peribadi saya lebih menyerupai Kultus Gaya Baru

Melihat di skrin besar gambar Dr Ary Ginanjar Agustian sejak daripada mula sehingga akhir dan gaya para pelatih serta cara pembawaan ESQ Modul 165 telah menyedarkan saya akan hal ini.

Untuk apa disebut-sebut Dr Ary Ginanjar sebagai penemu dan pencipta modul ESQ 165 ? Sedang jika benar 1 itu merujuk kepada “Satu hati dan Ihsan” , 6 itu merujuk kepada “enam rukun Iman” dan 5 itu pula merujuk kepada “lima rukun Islam” ?

Bukankah ianya sudah ada di dalam Al-quran dan As-Sunnah ? bukankah ianya sudah pun puas di syarah dan jenuh sudah ditekuni oleh para salaf dan tiada yang tinggal daripada agama ini segala kebaikkannya melainkan yang sudah diterangkan kepada kita ?

  1. Rukun Iman, Islam dan ehsan bukankah sudah dijelaskan oleh Nabi Muhammad jadi kenapa Pak Ary ialah penciptanya jika ESQ 165 itu ialah hal yang disebutkan tadi ?
  2. Apakah syarahan baru atau ulasan baru terhadap Islam, Iman dan Ehsan itu ? Apakah wujud penambahan oleh Pak Ary ? jika tidak kenapa mesti dia diangkat-angkat sebagai seorang tokoh yang memperkenalkan modul ini ? Jika dia tidak membuat penambahan apa-apa kenapa kecoh ?
  3. Bukankah kita membayar beliau kerana dia ibarat guru yang datang mengajar ? Pandai menghiburkan dan mempersembahkan ilmu dalam bentuk yang menarik ? Ya, dalam bentuk yang menarik dan mempesona. Dalam erti kata lain beliau hanyalah orang yang pandai mempromosikan dirinya, syarikat trainingnya dan pandai "memarketkan" (memasarkan) perkhidmatan beliau dengan cara-cara yang menarik. Justeru tiada apa-apa pun yang "hebatnya" tentang training ESQ ini bukan kecuali promosinya sahaja ?
  4. Oh ada yang mengatakan ianya hebat sebab kesannya, lantas kita perlu lihat bahawa bukankah dakwah Al-Arqam juga berjaya memberi kesan dan menarik ramai orang ? Bukankah dakwah dan seruan tabligh juga berjaya menginsafkan ramai penagih dadah ? Bukankah ajaran ayah Pin dan tariqat-tariqat kesufian juga berjaya menarik pengikut yang terdiri daripada ramai tokoh ? Apa bezanya daripada ajaran ESQ ?
  5. Pada saya semuanya kembali kepada sebab "Marketing" dan kemahiran Pak Ary dan rakan-rakannya di dalam memasarkan kursus mereka dengan cemerlang dan tidak lebih dari itu kerana bagi saya modulnya adalah biasa sahaja cuma cara mereka mengendalikannya dengan baik yang menyebabkan ianya berhasil lumayan.

Bahkan pada slide dan video kebenaran Al-quran (yang disebut mukjizat ilmu) kebenaran Al-Quran daripada bukti sainstifik itu sebenarnya bukanlah kajian Pak Ary tetapi sudah dibuat oleh ramai orang seperti Harun Yahya dan ramai lagi pakar-pakar kajian sains Islam.

Tiada apa yang baru yang saya temui daripada ESQ 165 selain gayanya yang mantap dan persembahan yang dibantu dengan peralatan canggih dan pekerja serta perancangan yang rapi dan teliti.

Apapun saya yakin orang-orang Melaysia yang terdiri daripada kelas professional seperti “orang-orang daripada gerakan dan badan NGO Islam seperti JIM, ABIM dan seumpamanya pasti berbondong-bondong memasuki latihan ESQ ini dan bertempik bersorak menyatakan kesukaan mereka.

Mereka ini mahu dilihat beragama, mahu merasa dirinya beragama dan mahu “dianggap beragama” tanpa mahu pula bersusah payah, tanpa mahu pula berkorban derita dan menjalani jerit payah.

Golongan ini akan suka ke program Pak Ary ini, mendapat sentuhan zikir dan fikir, melihat kebesaran tuhan dan menangis beramai-ramai di dalam sesi muhasabah dan berkongsi cerita duka insan lain lalu keluar daripada dewan dengan rasa puas, rasa beragama, rasa lega dan rasa kepuasan dan keindahan bahawa dirinya beragama, punyai kesedaran bahawa hidupnya sekarang sudah untuk tuhan.

Mereka lupa ibadah untuk tuhan itu perlu didasari oleh sunnah, dilaksanakan dengan kaedah tetapi para pejuang ESQ, ibadah itu cukup dengan suara hati dan niat yang suci..itu pendapat mereka.

Gaya ini mirip keletah Tok Guru Tariqat yang mendakwa menemu zikir-zikir khusus dan rahsia ilahi melalui tafakurnya, pengalaman hidupnya, pertapaannya lalu tampil mengajarkan orang cara-cara kreatif beribadah atau cara-cara merasai “kewujudan tuhan” melalui penghayatan kepada jalan-jalan rekaan diri beliau.

Saya tidak hairan Pak Ary punya ESQ ini dipersetujui oleh JAKIM dan Pihak Jabatan agama atau Mufti memandangkan ramai sahaja para agamawan dan mufti tanah melayu ini yang termasuk penyokong kepada faham Sufism.

Kenapa saya katakan ESQ tidak disukai oleh saya :

  • Wujud gaya zikir beramai-ramai di dalam gelap dengan diketuai oleh seorang tukang suara.
  • Berusaha membuatkan para hadirin menangis dengan cara yang tidak berlandaskan ajaran salaf dengan mengadakan cerita-cerita tentang manusia-manusia yang susah, bernasib malang dan menimbulkan perasaan sedih dengan mengingatkan peserta tentang ibubapa dan lain-lain. Pada saya latihan kerohanian seperti ini tidak pernah dibuat oleh nabi sebaliknya ianya dilakukan oleh para ahli sufi dan tariqat yang “bersuluk” di dalam kubur, bilik gelap dan sebagainya.
  • Membawa kefahaman tentang “Suara hati” yang kononnya didasari oleh asmaul husna tetapi hakikatnya suara hati yang ditampilkan lebih mirip kepada ajaran sufi yang di dasari kepada ilmu ladunni dan ungkapan seperti hakikat dan makrifat yang membawa maksud manusia boleh mendapat dan mengenali tuhan melalui suara hati dan pemerhatian.
  • Tafsiran Asmaul Husna yang menyimpang dan salah, bukan sekali tetapi banyak kali dan trainer telah membuat kesalahan fatal dengan mengaitkan asmaul husna dengan suara hati. Kaedah apa yang digunakan ? guna akal ? ini soal aqidah tetapi sambil lewa hal itu dilakukan tanpa risau.
  • Nama-nama Allah di kaitkan dengan perkara yang tidak masuk akal misalnya mengatakan bendera Malaysia , iaitu Jalur gemilang ialah berasal daripada suara hati dan asmaul husna. Pada saya ini gila kerana bendera Malaysia itu dibuat dengan kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950 dan tiada kena mengena dengan nama Allah jauh sekali mengatakan ianya bendera Allah dengan menafsirkan makna jalurnya kepada asmaul husna.
  • Saya melihat kepada sijil yang diterima oleh saya, ternyata masih banyak baki training yang dikendalikan oleh mereka yang perlu saya lalui sehingga dapat mencapai ESQ Star Leader. Saya tersenyum kerana gaya Pak Ary menguruskan ESQ persis sebuah kumpulan Kultus yang membawa satu faham baru di dalam menuju Allah. Kecerdikannya jelas apabila setiap peserta yang selesai kursus akan digelar “Alumni” dan punyai majlis forum atau koperasi tersendiri. Bukan sekadar itu, melalui program ESQ, dengan pengaruh yang ada beliau telah berjaya merekrut ramai sukarelawan dan pembantu setia yang sanggup menyumbang kepada dakwah ESQ.
  • Tafsiran Al-quran dan as-sunnah yang tidak menurut pedoman ulama salaf
    Ada beberapa hal yang saya kurang sudi bincangkan secara jelas di sini mengapa ESQ tidak disukai oleh saya tetapi biarlah saya simpan sahaja sebaliknya lebih baiklah anda menghukum sendiri setelah menghadirinya.

Sekiranya anda telah hadir dan tidak merasakan apa-apa kesalahan di dalamnya, maka bagi saya tiada guna pun saya menerangkan akan salah dan silap ESQ ini kerana sejak mula ianya tidak pernah bermanfaat kepada anda disebabkan anda tidak akan memahami pun penerangan saya.

Kalau setelah menghadirinya maka anda terasa sesuatu yang tidak kena dan tidak suka maka insyaAllah anda akan memahami sendiri apa yang saya telah maksudkan di sini.
Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

 

Sumber:  Pandangan Seorang Ustaz

8 comments:

Anonymous said...

Benar kata saudara.. apa yang telah diberi oleh Allah dalam Islam yakni nikmatNYA telah lengkap dan sempurna...

mengapa perlu diada2kan yang baharu ini?

Ibnu Husain El-Qahiry said...

assalamualaikum,
aqal manusia sememangnya mencari-cari kebenaran.. bila mereka tidak mencapai kepuasan, mereka akan mencipta kaedah2 yang kadang2 bertentangan dengan aqidah islamiyyah dan tersasar jauh dr sunnah.. org2 sufi terlalu yakin dengan suara hati, ilham.. memang saya dari dulu lagi merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan ESQ165 ini, tetapi tidak pernah join programnya...

terima kasih atas info..

Anonymous said...

kenapa Ary Ginanjar mengawali MODEL ESQ WAY 165, atau katakanlah ESQ WAY merupakan Metode yang di temukan Oleh Ary G. Dan awal berjalan nya saat training training berlangsung pasti ada Slide Promosi model ESQWAY yang telah ditemukan Ary G.Bukanlah kemungkinan namun kewajiban bahwa Model itu akan Di pertanggung jawabkan kelak Di Akhirat, dan tanggung jawab di dunia, ketika ada orang yang kritis menanyakan siapa orang yang telah telah menciptakan cara itu????? itu sangat penting sekali bukan untuk mempromosikan , namun untuk tetap satu jalur, tidak menyimpang.(ustadz...ID)

Adam Huud said...

Assalamualaikum.

Perkembangan terbaru kini, ESQ sudah mempunyai panel-panel shariah sendiri yang memantau setiap training ESQ dari sudut shariah dan akidah.Panel-panel tersebut terdiri daripada:

1. Dr. Adnan Mohamed Yusoff (Dekan Pengajian Quran & Sunnah USIM).
2. Dato’ Mustafa Abdul Rahman (Ketua Pengarah JAKIM).
3. Dato’ Noh Gadut (Mufti negeri Johor).
4. Dato’ Paduka Sheikh Hasbullah Abdul Halim (Mufti negeri Kedah).

Justeru, saya kira ini adalah suatu perkembangan yang sangat baik dalam merungkai segala keraguan, salah sangka dan salah faham yang sedang hangat dibincangkan kini.

Wallahu’alam.

Sila rujuk: (http://esq.com.my/v1/2010/02/panel-shariah-esq-2/)

Adam Huud said...

Assalamualaikum.

Info tambahan, kini TV9 dengan kerjasama ESQ menyiarkan program 13 episod rancangan ‘Halaqah Sentuhan Qalbu’ yang disiarkan pada setiap hari selasa jam 10 malam di TV9 bermula dari 15 Jun 2010 yang lepas.

Datuk Nooh Gadot, Tan Sri Dr. Harussani, Ustaz Badli Shah Alaudin, Dr. Rubiah K. Hamzah, Dr. Amnah Bohari dan ramai lagi adalah di antara yang diundang untuk menjadi ahli panel untuk program tersebut.

Halaqah: Sentuhan Qalbu yang dihoskan oleh penerbitnya sendiri, Ahmad Noor Sulaiman memberitahu topik-topik yang akan dibentangkan akan menyentuh tentang kecerdasan intelektual, kecerdasan emosi dan pencerahan kerohanian supaya bersyukur dengan pemberian Allah SWT.

Sila rujuk (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0602&pub=utusan_malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm&arc=hive) untuk maklumat lanjut.

Semoga kita semua mendapat manfaat dari program ini, inshaAllah :)

Adam Huud said...

perkongsian tambahan:

http://www.zaharuddin.net/content/view/828/72/

maybe panjang ulasan ust zaharuddin ni tp klu mls nk bc, bc pd part penutup. moga sama2 mendpt manfaat =)... See More

wallahu'alam~

mujahidah said...

salam ustaz,

saya bersetuju dengan post ustaz ini..

cuma,saya tidak begitu bersetuju apabila ustaz menyamakan program esq ini dengan tariqat..
tarikat berlandaskan quran dan sunnah serta pengkajian kitab2 lama,berbbeza dengan esq..

zikir beramai-ramai dalam tarikat juga diberikan secara suri oleh rasulullah kepada ulama2 tertentu....berbeza dnegan esq

efek serta kesan tarikat sangat berbeza dengan esq...

mohon penjelasan ustaz

GR33N said...

Mufti wilayah dh keluarkan fatwa pengharaman ESQ.

Bagaimana dgn seminar motivasi berasaskan REIKI?