Thursday, October 22, 2009

Tiada Ketaatan Apabila Tidak Menegakkan Al-Quran Dan As-Sunnah

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail

http://din86.blogspot.com/

 

Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Min Fiqh Daulah Fil Islam mengatakan pada zaman sekarang para pemimpin dengan sengaja telah memakai undang-undang yang bercanggah dengan hukum Allah dengan memutuskan perkara-perkara yang berkaitan dengan harta, maruah dan darah orang ramai. Lebih dari itu, mereka juga mengeluarkan undang-undang yang memaksa umat islam mengamalkan undang-undang selain hukum Allah yang tertera dalam kitab-Nya dan dalam sunnah Rasul-Nya. Mereka lebih mementingkan hukum ciptaan orang kafir daripada hukum yang diturunkan Allah. Seolah-olah mereka sengaja ingin menentang hukum dan agama Allah.

Tidak ragu lagi, tindakan seperti inilah yang disebut sebagai KUFUR! Tidak ada satu orang islam pun berbeza pendapat dalam mengkafirkan orang seperti ini, meskipun mereka masih lagi berselisih pendapat mengenai kafirnya orang-orang yang memasarkan undang-undang moden ini dan menyeru kepadanya.

Perkara yang sedang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini ialah meninggalkan islam secara keseluruhan,memilih hukum lain selain hukum Allah dan rasul-Nya serta membekukan setiap peraturan dalam syariat Allah. Lebih dari itu, masyarakat kita juga telah pandai menyimpulkan bahawa undang-undang moden lebih utama berbanding hukum-hukum yang diturunkan Allah.Para pengkaji hukum moden berpendapat bahawa syariat Allah telah diturunkan bukan untuk dipraktikkan pada zaman kita. Zaman tersebut telah berlalu, dan atas sebab-sebab tertentu hukum-hukum yang dipraktikkan pada zaman itu telah pun terbatal.

Demikianlah pandangan penganalisis dan pelaksanaan hukum pada zaman ini dan Dr Yusuf Al-Qaradawi juga menjelaskan lagi tidak pernah berlaku pada zaman Abu Majlaz (tabi’in) atau zaman sebelumnya, bahawa seorang pemimpin telah memutuskan satu perkara kerana sengaja mengingkari hukum syariah, atau kerana lebih mengutamakan hukum orang kafir berbanding hukum Allah. Perkara seumpama iu tidak pernah berlaku sama sekali!

Maka sepertimana yang telah dijelaskan oleh al-Qaradawi boleh penulis merumuskan bahawa tiada lagi ketaatan bagi pemerintah yang tidak  menyakini keunggulan syariat islam lalu melaksanakan hukum bukan islam lebih tinggi daripada hukum islam dan berterusan melakukannya sedangkan sudah ada kemampuan untuk melaksanakannya maka ia termasuk suatu kemungkaran yang tersangat jelas yang membawa kepada kekufuran. Maka dibolehkan menarik kesetiaan kepadanya dan wajib ditukar pemimpin tersebut jika sudah berusaha manasihatinya. Ini berdasarkan dari hadis Ubadah bin Somit ra :

Maksudnya: “Nabi s.a.w telah memanggil kami, lalu kami berbaiah dengannya. Baginda berkata ketika berbaiah, supaya kami dengar dan taat, samada ketika kami dalam keadaan cergas (senang), atau dalam keadaan benci, keadaan susah atau dalam keadaan mudah, Dan kami dipesan agar tidak menanggalkan urusan kepada ahlinya (mencabut ketaatan kami kepadanya) melainkan setelah kamu melihat kekufuran yang nyata disisi kamu daripada Allah yang menjadi bukti (keterangan).” (Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. [Al Ma'idah:44]

Begitu juga pemerintah yang mengingkari akan kewajipan melaksanakan solat maka wajib dipecat kerana dia telah menzahirkan akan kekufurannya iatu dalil yang tidak boleh dibuat sebarang takwilan lagi.. Telah bersabda baginda Nabi s.a.w :

Maksudnya : “Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Sahih Muslim no.1482 Jilid 3 )

Maka jika sudah jelas akan kekufurannya maka islam membenarkan memecat dan menjatuhkan pemerintah tersebut berdasarkan kaedah-kaedah islam iaitu tindakan memecat itu hendaklah dengan cara yang tidak menimbulkan bencana fitnah yang lebih besar. Inilah kaedah yang telah disepekati oleh para fuqaha.

Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa tiada kesetiaan kepada pemimpin yang melakukan kekufuran dan berikutnya juga  tidak boleh taat kepada pemerintah yang tidak menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam kepimpinannya walaupun ia fasik atau zalim. Ia berbeza jika seorang pemimpin yang menetapkan satu keputusan bertentangan dengan hukum Allah kemungkinan kesalahannya dalam takwilan, mengikut hawa nafsu atau jahil dan sebagainya tetapi dalam suasana yang terakhir ini dia masih lagi bertumpu kepada teks Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya maka kesetiaan masih diberi kepadanya.

Jika terjadi salah satu antara kedua-dua kategori itu iaitu jelas kekufurannya dan tidak menegakkan Kitabullah maka tiada lagi diberi ketaatan kepada pemimpin tersebut.

Ummil Husain berkata :

Maksudnya : “Aku pernah dengar Rasulullah bersabda sekiranya kamu diperintah oleh hamba sahaya dari golongan habsyi yang cacat, maka hendaklah kamu dengar dan taat terhadapnya selama dia memimpin kalian dengan Al-Quran.” [ Shahih: Azh-Zhilal:1062 dan 1063, HR. Muslim dan Shahih Sunan Ibn Majah:2328 oleh Al-Albani]

Maka hadis-hadis yang mewajibkan ketaatan pada pemerintah  ianya masih terikat jika pemerintah memimpin berdasarkan kitabullah dalam dasar pentadbirannya sepertimana yang dinyatakan dalam hadis tersebut.

Sebab itu ketika Saidina Abu Bakar r.a menjadi Khalifah pernah berkata dalam pidatonya:

Setelah Abu Bakar memuji Allah, “amma ba’du, para hadirin sekalian, sesungguhnya aku telah dipilih sebagai pimpinan atas kalian dan bukanlah aku yang terbaik, maka jika aku berbuat kebaikan maka bantulah aku. Dan jika aku bertindak keliru maka luruskanlah aku. Kejujuran adalah amanah, sementara dusta adalah satu pengkhianatan. Orang yang lemah di antara kalian sesungguhnya kuat di sisiku sehingga aku dapat mengembalikan haknya kepadanya insyaAllah. Sebaliknya siapa yang kuat di antara kalian maka dialah yang lemah di sisiku hingga aku akan mengambil darinya hak milik orang lain yang diambilnya. Tidaklah suatu kaum meninggalkan jihad di jalan Allah kecuali Allah akan timpakan kepada mereka kehinaan, dan tidaklah suatu kekejian tersebar di tengah suatu kaum kecuali azab Allah akan ditimpakan kepada seluruh kaum tersebut. Patuhilah aku selama aku mematuhi ALlah dan Rasul-Nya. tetapi jika aku tidak mematuhinya keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian terhadapku. Sekarang berdirilah kalian untuk melaksanakan solat semoga Allah merahmati kalian.”  (Al Bidayah wan Nihayah - m/s 53 . Imam Ibnu Katsir mengatakan sanad itu sahih)

Perhatikan kandungan pidatonya itu. “Patuhilah aku selama aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Tetapi jika aku tidak mematuhinya keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian terhadapku.” Berdasarkan dari ucapannya itu dapat dirumuskan bahawa syarat kesetiaan kepada pemimpin itu jika pemerintah menegakkan Kitabullah. Ini bersesuaian dengan hadis Ummil Husain sebagaimana sabda baginda Nabi s.aw. iaitu  " dengar dan taat terhadapnya selama dia memimpin kalian dengan Al-Quran"

Maka hadis Ummil Husain dengan hadis ketaatan kepada pemimpin zalim itu masih terikat antara satu sama lain. Ini kerana Hadis Ummil Husain itu jelas iaitu menjadi syarat keutamaan kesetiaan kepada pemimpin itu jika pemerintah menegakkan Kitabullah. Jika tidak maka kesetiaan kepadanya akan tercabut. Antara hadis-hadis ketaatan kepada pemimpin zalim adalah seperti berikut.

Sabda baginda Nabi s.a.w;

Maksudnya: Akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak mengikut sunnahku dan akan ada dalam mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan berbadan manusia”. Kata Huzaifah:’Aku bertanya: Maka bagaimana aku harus lakukan wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: “Kamu dengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia menyebat belakangmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah”. [Bukhari & Muslim]

Dan juga daripada Abdullah bin Mas’ud.Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya “Sesungguhnya kamu akan melihat selepasku sikap (pemerintah) mementingkan diri dan kamu akan melihat perkara-perkara yang kamu ketahui ia mungkar (pada pemerintah). Mereka berkata: Apa yang engkau perintahkan kami (lakukan) wahai Rasulullah? Sabda baginda: Tunaikan untuk mereka hak mereka dan mintalah kepada ALLAH hak kamu.” [Riwayat al-Bukhari, jil 6, no.2588]

Apabila seseorang itu mengkritik perbuatan pemimpin bukan bermakna mereka tidak taat kerana dalam ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ diwajibkan untuk dicegah jika perkara itu mungkar tetapi ketaatan masih diberi kepada pemimpin itu jika ia masih menegakkan kitabullah walaupun disebalik kezalimannya.Setiap arahan yang bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah tidak wajib ditaati tetapi arahan yang tidak bercanggah dengan syariat maka wajib ditaati dengan syarat agama masih ditegakkan.

Maka apabila bertembung dengan hadis seperti ini: “Kamu dengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia menyebat belakangmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah” maka kita perlu melihat dalam konteks maqasid. Dalam maqasid, islam menjaga maslahat agama, nyawa, keturunan, akal dan harta . Jika pemimpin itu melaksanakan kitabullah iaitu masih mempertahankan agama tetapi ada kezaliman disebaliknya iaitu merampas harta rakyat maka secara kaedahnya ia termasuk kategori 'Dharuriyyat' yakni melibatkan mudharat harta tetapi disebalik kezaliman itu, agama masih ditegakkan oleh pemimpin. Maka apabila bertembung kedua-duanya ia perlu dilihat dalam konteks neraca muwazanat, yakni menjaga agama itu lebih diutamakan berbanding menjaga harta. Maka ketaatan masih diberi kepada pemimpin itu kerana masih menegakkan agama tetapi disebalik kemungkaran yakni merampas harta rakyat maka ia perlu ditentang kerana ia termasuk dalamAmar Makruf Nahi Mungkar’ kerana ia melibatkan harta rakyat bukannya yang membabitkan pemimpin dengan tuhannya [1] dan juga tidak sampai kepada menjatuhkannya kerana kepimpinannya masih berdasarkan kitabullah melainkan tidak ditegakkan agama maka wajib dipecat dan dijatuhkan berdasarkan kaedah-kaedah islam.

Sesuatu kemungkaran yang dilakukan pemimpin dan rakyat tidak bertindak dengan sebetulnya yakni masih taat dan mengharapkan doa kepada Allah maka tidak dimakbulkan doa tersebut dan adzab Allah yang selayak bagi mereka semua. Hudzaifah Bin Al-Yaman berkata bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda:

Maksudnya: “Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya, perintahkanlah oleh kalian kepada yang ma’ruf dan laranglah kemungkaran.Aku khawatir Allah akan mengirimkan adzab kepada kalian semua kerana kemungkaran, kalian kemudian berdoa kepada-Nya , akan tetapi Dia tidak memakbulkan doa kalian” [Ash-Shahihah : 2868 ; Muttafaq alaih].

______________________________________________________________________

[1] Sudah dijelaskan dalam artikel:“Kaedah Menasihati pemimpin:Pandangan Ketiga”

Wallahua'lam

Muhammad Fakhruddin Ismail

No comments: